Allahu..bila terlintas sahaja di ingatan, tersebut sahaja nama mereka dibibir, bergelora rindu yang teramat sangat di jiwa lara. Tuhan sahaja yang mengetahui apa yang tersirat di dalam benak hati insan yang merindui seseorang yang tak mungkin akan dipertemukanNya semula. Hanya airmata menjadi saksi, bahawa aku sedang sangat merindui mereka. Bicara kian kelu , bait-bait kenangan menjadi tinggalan untuk dikenangi. Segalanya yang indah-indah sahaja. Kerana mereka tidak ada lagi disisi kerana telah kembali kepada Sang Pencipta. 



Kehidupan ini amat melekakan. Di sepanjang perjalanannya penuh ujian bukan sahaja untuk diri sendiri namun juga mereka yang disisi. Beberapa tahun telah berlalu, lama rasanya tidak singgah ke sini. Menziarahi mereka yang telah tiada di setiap kali munculnya hari raya mahupun hari raya Haji. Leka sangat dengan keseronokan dunia, berlalu hari-hari tanpa kunjungan ke sini seperti dahulu kala.


Jika dahulu selesai sahaja solat sunat hari raya, berduyun kami menuju ke sini, tanah perkuburan Islam, Kampung Durian Sebatang, Teluk Intan. Kami ziarah mereka yang pernah menjadi sebahagian dari kehidupan kami. Mereka darah daging kami, yang melengkapkan salah silah keturunan kami.Antara yang menjadi penghuni abadi di sini adalah Arwah Tok, Opah, Opah Teh, Opah Cik, Opah Alang, We, Wan Esah, Cik, Cik Timah dan ramai lagi. Masyaa Allah..rindunya saat-saat manis ketika hayat mereka bersama dahulu. Aku adalah sebahagian dari kenangan lalu. Dari kecil hingga ke saat kepergian mereka dijemput kembali. Terlalu banyak memori tercipta.

Namun, Alhamdulillah...aku tak pernah melupai mereka.Kali ini, aku ke sini semula, menziarahi pusara mereka dengan penuh rasa rindu yang tak pernah akan berakhir. Biarpun jarang menziarahi sang pusara, doa dan tahlil sentiasa ku kirimkan. Hanya Allah swt sahaja yang mengetahuinya, sama ada sampai atau tidak kepada mereka. Aku hambaNya hanya berbuat apa yang di ajarkan, mengirimkan doa, bacaan ayat suci Al-Quran setiap ruang waktu yang terluang, memohon kepadaMu agar di ampunkan setiap kesalahan mereka, ditempatkan mereka disisi hamba-hambaMu yang beramal soleh. Aamiin Ya Rabb.


Tempat mereka telah ada disini, aku..entah di mana jasad ini bakal disemadi. Perjalanan hidup dengan penuh ujian masih ku jalani di ketika ini. Destinasi akhir masih belum pasti di mana akan terjadi. Dan seandainya ingin meluahkan rasa kasih sayang, zahirkanlah ketika masih berkesempatan bernyawa di atas muka bumi Tuhan. Selagi hayat di kandung badan, curahkan lah kecintaan, berbaktilah kepada mereka saudara disekelilingmu sebaik mungkin, In Shaa Allah. 

Untuk saudaraku yang telah tiada, rindu ini teramat mencengkam jiwa..hanya iringan doa dan Al-Fatihah terdaya ku utuskan semoga rohmu tenang di sana menghadap Tuhan Yang Maha Esa.Tuhanku..ampuni mereka, ampuni aku..makhlukMu yang berdosa. Jadikan iman sentiasa didada agar aku tidak jauh dariMu, tidak terus leka dengan kenikmatan dunia. Aamiinn..Ya Rabbul Alamiin....

14 Comments

  1. Alfatihah buat yang telah pergi...masa kita entahkan bila

    ReplyDelete
  2. penulisan yang indah kak ana..betul2 menggambarkan isi hati.al-fatihah untuk mereka dan doa untuk kita supaya mendpat khusnul khatimah

    ReplyDelete
  3. Al fatihah buat semua yang telah pergi...

    ReplyDelete
  4. Al fatihah untuk semua muslimin dn muslimat yang telah pergi meninggalkan kita

    ReplyDelete
  5. Inna lillahi wa inna ilai rajiun

    Allahumma urjuni fi musibati

    wa akhlifli khairan minha

    ReplyDelete
  6. Sampai masanya kita semua akan jadi arwah

    semoga kita ikhlas beramal untuk dijadikan bekalan kemudian hari

    ReplyDelete
  7. Orang dah berlalu pergi

    Kenangan silam hidup bersama sentiasa ada

    ReplyDelete
    Replies
    1. hanya iringan doa menjadi penyambungnya Ibu Zaid

      Delete