Setiap kali pergi balik dari Rawang ke Teluk Intan, kami pasti melalui pekan Tanjung Malim.Dah memang itu laluannya kan, tambahan pula kami jarang menggunakan lebuhraya sepanjang perjalanan terutama jika waktu pagi. Jimat tol, lagipun sepanjang perjalanan Tanjung Malim ke Teluk Intan keadaan jalan sangat selesa, kebanyakkannya dua lorong di setiap hala. Jika kebetulan kami bertolak pagi, suami dan anak-anak pasti bercadang untuk singgah sarapan di sini, di mana lagi kalau bukan di Gerai Nasi Lemak Haji Din lah.

Nasi Lemak Haji Din, Tanjung Malim





Ana pernah terbitkan sebuah entri dengan tajuk yang sama pada tahun 2013 yang lalu di SINI . Ianya memang tak berubah dari segi rasa dan yang istimewanya nasi lemak  Haji Din ini ialah sambalnya. Ia di hidangkan dengan telur goreng mata kerbau sebiji, sambal dan ulam-ulaman kacang panjang dan timun. Sambal nasi lemak Haji Din ni sangat unik rasanya dan sedap. Ia tidak pedas dan berminyak dan rasanya sama sahaja sejak dahulu sampai lah entri ini di terbitkan.Gabungan sambal dan telur mata kerbau itulah yang membuatkan ana dan keluarga tidak jemu-jemu untuk singgah sarapan di sini.

Gerai nasi lemak Haji Din terletak di medan selera Tanjung Malim berhadapan dengan masjid dan balai polis. Atau lebih senang ia betul-betul bersebelahan UPSI di bandar Tanjung Malim ni. Gerainya di bahagian hujung belakang sekali.Harga sepinggan cuma RM2.50. Adik Ika dan suami kalau sarapan di sini pasti akan makan dua pinggan seorang. Suka sangat mereka.Alhamdulillah.

Bagi yang tinggal berdekatan atau yang melalui pekan Tanjung Malim khususnya pada waktu pagi, cubalah menikmati nasi lemak istimewa ini. Setiap kali kami ke sini, gerai ini pasti akan penuh dan selalu sahaja geng motor-motor berkuasa besar singgah sarapan.Malah ia bukan sahaja dikunjungi oleh orang-orang kita Melayu, kelihatan ramai yang berbangsa Cina turut menggemari nasi lemak Haji Din. Ermm tak cuba tak tahu kan...sekali cuba pasti nak lagi ...