Pulut Kuning Dan Rendang 




Ada kalanya kembali kepada selera tradisional Melayu yang jarang-jarang dah dinikmati. Sarapan pagi dengan pulut kuning dan rendang. Ana memilih rendang ayam sekali-sekala. Bukan apa jemu pula asyik sarapan nasi lemak dengan aneka lauk yang ada, pagi tu ana memilih menu pulut kuning atau orang Perak panggil pulut kunyit. Sebab pulut tu direndam dengan kunyit dahulu sebelum di kukus atau di tanak. Bila makan bersama rendang, Subhanaallah, kena sangat dengan selera Melayu ana ni. 

Jika suami bekerja syif petang, selalunya kami 'dating' sarapan pagi di luar. Merata kedai kami pergi mencari menu-menu sarapan pagi yang lain dari kebiasaannya. Pagi tu, kami sarapan di Warung Aboh, Bandar Country Homes cawangan keduanya yang terletak betul-betul di simpang masuk ke Bandar Country Homes ni. Pelbagai sajian di jual disini sama ada untuk sarapan, makan tengahari atau pun makan malam. Seronok juga bila terdapat banyak restoran Melayu yang ada di sekitar tempat tinggal, bolehlah bertukar-tukar selera.

Pulut kuning ni, sinonim sangat dengan tradisi Melayu kita kan. Jika dahulu arwah opah ana memang akan mempastikan kami menyajikan pulut kuning ni untuk sebarang acara majlis, tak kiralah majlis bertunang, perkahwinan, kenduri doa selamat, cukur jambul atau lain-lain majlis keraian. Penyeri majlis katanya. 

Jika tidak di hidangkan, kami akan memberi buah tangan untuk di bawa pulang oleh para tetamu yang hadir. Pulut kuning ni memang sinonimlah di makan dengan rendang, sama ada rendang ayam atau rendang daging. Sedap sehingga tak terkata. Cuma ana ni tak tahan sangat jika makan pulut dengan kuantiti yang banyak. Kesannya sakit urat pada badan. Kata orang tua-tua 'angin' satu badan. Faktor usia barangkali, kian meningkat kian banyaklah kelemahan imunisasi tubuh agaknya kan..

Terus terang ana nyatakan, ana memang 'fail' bab menanak pulut ni. Pernah dua tiga kali mencuba pasti berkerak hasilnya. Jadi ana pilih teknik mengukus jika hendak masak pulut kuning atau apa-apa menu pulut sekalipun. Cuma prosesnya lebih sukar jika di bandingkan dengan menanak ni. Selalu ana lihat mak menanak pulut dengan memasaknya dengan santan terus di atas api perlahan atau di dalam periuk nasi elektrik. 

Jika mengukus pulut pula, selepas direndam semalaman, dikukus, kemudian di 'arung' atau digaul dengan santan, kemudian dikukus semula. Selepas masak, gaul sekali lagi dengan santan pekat. Rumit jugalah kan. Namun jika dah biasa tidak menjadi masalah. Cuma masalahnya di rumah ni, jika ana masak pulut pun, anak-anak kurang berminat, jadi adalah lebih afdal makan di kedai sahaja kan.