Ana dilahirkan di Teluk Intan, Perak. Sebuah pekan yang di kelilingi Sungai Perak. Pastilah sebagai anak kampung, lauk ikan sungai ni tak asing pada kami. Malah ketika kecil dahulu, arwah tok walaupun ada pencen tentera tetapi suka menangkap ikan di sungai bersama arwah bapa saudara. Setakad udang galah , ikan baung, ikan duri, ikan seluang, ikan belida tu memang dah jadi lauk pauk kami waktu itu. Memang sedap kalau dapat ikan sungai segar. 

Cuma sekarang ni agak payah dah nak makan ikan sungai segar khasnya bila di sekitar kediaman ana di Selangor ni. Mujur juga kalau balik kampung sekali sekala, besan mak, Tok Ya ada menjalankan aktiviti menangkap ikan dan udang sungai menggunakan bubu. Bila ada kesempatan balik kampung dapatlah merasa makan udang galah dan ikan baung kesukaan ana.


Gulai masam ikan baung sungai

Gulai masam ikan baung sungai

Ikan baung masam asam rebus ni pun pemberian besan mak. Bulan lepas ana diizinkanNya balik waktu mak di masukkan ke wad. Dengan kebenaran permit polis untuk rentas balik, ana berdua dengan Kak Long dapatlah menjaga mak selama dua minggu sehingga mak dah beransur sihat. Mak memang tinggal berdua dengan abah, adik ana pula di Manjung dan waktu itu belum lagi ada kebenaran rentas daerah. 

Besan mak datang hantar sebekas lauk untuk kami tengahari tu. Allahu.. sedapnya rindu sangat nak makan. Juadah istimewa ikan baung masak asam rebus. Asam rebus ni lebih kurang masak gulai masam tempoyak cuma yang ni tidak di masukkan tempoyak. 

Bahan asasnya sama, bawang merah, serai, kunyit dan cili masak di tumbuk lumat. Masukkan air secukupnya dan rebus di dalam periuk bersama ikan ikan baung. Masukkan asam keping untuk memberikan rasa masam kerana ia tidak menggunakan tempoyak. Lebih sedap masukkan daun kesum. 

Inilah resepi gulai masam ikan baung cara kami di Perak ni. Tak sama dengan asam pedas. Lain negeri lain lah caranya kan. Gulai masam ni sedap juga kalau menggunakan ikan kembung, ikan patin dan sebagainya. Makan dengan ulam, sambal belacan dan nasi putih pun dah sangat menyelerakan. 

Begitu lah kisah kami anak kampung. Dibesarkan dekat dengan alam. Segala yang ada di keliling rumah boleh sahaja di jadikan menu dalam hidangan membesarkan anak-anak dan keluarga. Bila sekali sekala di beriNya peluang untuk kembali menikmati juadah seindah dan penuh nostalgia ini adalah nikmat yang amat di syukuri atas pinjaman usia. Syukur Ya Allah....