Lama sungguh kak ana ambil masa nak siap kan entri ziarah Madinah ni. Selepas hampir 9 bulan berlalu baru lah nak sambung lagi coretan perjalanan umrah kak ana bersama suami dan Adik Ika pada Februari yang lalu. 

Sebenar nya inilah pasport pertama, visa pertama dan flight pertama untuk kak ana dan telah pun kak ana ceritakan dalam entri-entri persediaan umrah sehinggalah ke sampainya kami ke bumi Madinah Al Munawarah yang lalu. 

Berikut adalah entri-entri persiapan sebelum umrah Part 1, Part 2 , Part 3 dan Penerbangan Saudia Airline . Kali ini kak ana sambung pula dengan coretan indah ziarah di bumi Madinah selama 5 hari 4 malam bermula sampai pada 4hb Februari dan meninggalkan kota suci ini pada 8hb Februari 2026. 


aktiviti ziarah umrah di Madinah


Ziarah umrah Madinah Al-Munawarah 


Kami selamat mendarat di lapangan terbang Prince Mohammad Bin Abdulaziz International Airport (MED) pada jam 9:45 malam waktu Saudi. Bila melangkah keluar Masya Allah.. di sambut kedinginan angin malam dan selain ucapan syukur Alhamdulillah selamatnya kami sampai tak henti di bibir berselawat dan mengucapkan Assalamualaikum Ya Rasulullah kerana kak ana berasa makin hampir dengan baginda. 


masjid Nabawi Madinah


Selesai urusan di lapangan terbang dengan bimbingan dan pengawasan mutawif kami, Ustaz Syafiq Ikhwan kami menuju ke bas dan terus ke hotel penginapan iaitu di Hayah Plaza . Sampai di lobi , mutawif dan petugas Andalusia menyerahkan kunci bilik , mengambil passport untuk di simpan dan memberikan salinan passport untuk kami bawa sepanjang berada di tanah haram Madinah dan Mekah kelak. 

Kami juga di berikan sebungkus nasi arab dan air untuk makan malam di dalam bilik kerana waktu makan telah habis. Kami naik ke bilik , mandi , solat dan berehat selepas perjalanan penerbangan 8 jam dari KLIA. 


aktiviti ziarah Madinah


Masjid Nabawi dan Raudhah 

Seawal jam 4 pagi kami dah bangun dan tak sabar untuk terus ke Masjid Nabawi yang jaraknya hanya beberapa meter sahaja dari hotel penginapan. Melangkah keluar dari lobi dalam suasana yang paling nyaman dingin dan terus masuk melalui pintu atau Gate 310 dan terpandang kubah hijau dengan linangan airmata merasakan terlalu rindu dan dekat denganmu Ya Rasulullah... 

Untuk ke masjid jemaah akan pergi sendiri mengikut kesesuaian masa masing-masing. Selesai solat subuh dan ibadah sunat lain kami kembali ke hotel untuk sarapan dan di dalam group whatsapp ustaz  minta berkumpul di hadapan hotel untuk ziarah sekitar Masjid Nabawi. 


ziarah umrah Madinah Andalusia


Sesuatu yang sangat menarik perhatian kak ana di sini adalah kehadiran burung merpati yang banyak sekali namun tidak pula tercemar dengan bauan dan najis di sekitar kawasan Masjid Nabawi dan kawasan lapang sekelilingnya. 

Pagi itu cuaca sangat indah dan dingin kerana kami masih berada di musim sejuk di tanah haram sekitar awal Februari ini. Kami berkumpul di hadapan masjid Al Ghamamah dan ustaz bercerita tentang sirah dan kisah-kisah mengenai masjid Ghamamah dan sekitaranya. 


Masjid Al-Ghamamah dan sekitar Madinah 


Masjid Ghamamah , Madinah.


Dari catatan itinerary yang di berikan ziarah kami pagi itu merangkumi kisah Saqifah Bani Saedah , menziarahi Masjid Al Ghamamah , Masjid Abu Bakar, Masjid Ali, kemudian jemaah lelaki di bawa ke pingiran maqam Rasulullah saw dan para sahabat serta memberi salam dan melihat dari jauh perkuburan Baqi. 

Selepas itu kami bebas semula untuk ke masjid atau aktiviti sendiri dan pulang ke hotel untuk makan tengahari dan malam yang di sediakan. Makanan di hotel Hayah Plaza, Madinah ni kalau tak silap kak ana adalah katering dari Indonesia dan menu yang di sediakan bukanlah makanan Arab atau Malaysia. 


ziarah Madinah


Tapi okay sahaja lah, kita di sini tak boleh banyak merungut kan, kalau nak makan luar banyak sahaja di sekitar kawasan ni kedai-kedai menjual makanan dan minuman serta cafe dan aneka jualan di sekitar hotel dan Masjid Nabawi ni sahaja. 

Aktiviti ziarah Madinah ini berlangsung selama kami berada di sini 5 hari 4 malam termasuk hari ketibaan dan kemudian bergerak ke Mekah . Cuma sekadar sedikit tips dari kak Ana, refresh semula kisah-kisah sirah kerana apabila kita berada di lokasi-lokasi bersejarah ni akan lebih rasa feel dan seolah mengambarkan betapa payahnya perjalanan dakwah baginda Rasul saw dan para sahabat lalui ketika itu. Ia menambahkan lagi rasa cinta pada baginda saw. 




Masjid Al-Syaikhain


Masjid Al Syaikhain, Madinah


Sekitar tengahari Khamis 5hb Februari 2026 , selepas Zohor dan makan tengahari , kami menaiki bas untuk aktiviti ziarah luar Madinah . Antara singgahan kami yang pertama adalah Masjid Al-Syaikhain. 

Lokasi di mana Nabi Muhammad ﷺ solat pada malam sebelum Peperangan Uhud, pada 14 Sha’ban 3AH (625 M). Di sinilah persiapan perang dilakukan serta kisah pengkhianatan Abdullah Bin Ubai. Menarik sangat untuk kita pelajari dan berada sendiri di lokasi ini. 


Masjid Al Syaikhain Madinah


Masjid Qiblatain, Madinah 


Masjid Qiblatain, Madinah

Seterusnya kami meneruskan ziarah ke Masjid Qiblatain . Masjid Qiblatain adalah sebuah masjid yang terletak di Madinah, Arab Saudi. Masjid ini mempunyai sejarah yang sangat penting dalam Islam kerana ia menjadi saksi peristiwa perubahan kiblat umat Islam dari Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis (Jerusalem) ke Kaabah di Makkah.

Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua Hijrah (sekitar tahun 624 Masihi), ketika Nabi Muhammad SAW sedang mengimamkan solat berjemaah di masjid ini. Semasa solat tersebut, turun wahyu daripada Allah melalui ayat 144 surah Al-Baqarah yang memerintahkan perubahan arah kiblat. 




Nabi Muhammad SAW lantas mengubah arah kiblat dari Baitulmaqdis ke Kaabah semasa dalam rakaat kedua solat, dan para sahabat yang berada di belakang baginda juga turut serta mengubah arah solat mereka.

Oleh kerana peristiwa inilah, masjid ini dinamakan Masjid Qiblatain yang bermaksud "Masjid Dua Kiblat". Sebelum peristiwa ini, umat Islam menghadap ke arah Baitulmaqdis dalam solat mereka, tetapi selepas itu, mereka mula menghadap ke arah Kaabah yang terletak di Makkah.

Pada kak ana Masjid Qiblatain antara masjid yang tercantik di Madinah selepas Masjid Nabawi dan Masjid Quba'. Senibina yang menggunakan warna putih bersih melambangkan kesucian agama Islam itu sendiri yang tersergam indah dan penuh keberkatan dengan kisah sirahnya.. 

Ziarah Raudhah , Masjid An Nabawi 

Subuh Jumaat 6hb Februari 2026 adalah tarikh terindah dalam riwayat perjalanan hidup kak ana apabila di rezekikanNya bersama anak kak ana, Adik Ika kami memasuki Raudhah di Masjid Nabawi. Selepas sahaja solat subuh kami terus berlari menuju Gate 362 di mana ustaz meminta bantuan Ustazah Faizah memimpin kami jemaah wanita masuk ke Raudhah. 

Memang hebat ujian untuk masuk ke Raudhah dan kak ana memilih untuk menyimpan nya sahaja namun hikmatnya teramat lah indah kerana berada paling hampir dengan jasad Baginda Rasul saw. Ujian ini bermula di tanahair lagi ketika cubaan untuk mendapatkan slot Nusuk beberapa hari sebelum berangkat. 


Ziarah Raudhah Masjid Nabawi


Syukur dan penuh kegembiraan yang tak dapat di gambar kan dengan kata-kata ketika di rezekikanNya berada di sana bersama anak yang sentiasa memimpin dan menjaga ibunya. Tak dapat di gambarkan dengan kata-kata. 

Foto di atas adalah dari group jemaah lelaki kerana kak ana memang tak keluarkan handphone sepanjang berada dalam Raudhah selepas selesai urusan pemeriksaan Nusuk ketika memasukinya sahaja.. Lebih seronok bila giliran suami kak ana dan jemaah lelaki group kami di rezekikan solat Asar dalam Raudhah dan berada lama di sana tanpa gangguan , Masyaa Allah. 

Solat Jumaat wanita di Masjid Nabawi



solat Jumaat wanita di Madinah

Satu lagi kenangan paling indah dan pertama kali kami berdua rasai di bumi Madinah ini adalah mengerjakan solat Jumaat . Tengahari seawal jam 10 pagi kami dah berada semula di perkarangan Masjid Nabawi untuk merasai sendiri mengerjakan solat Jumaat. Di tanah haram Madinah dan Mekah, jemaah muslimah juga boleh melakukan solat Jumaat. 

Ustaz sediakan link untuk mendengar terjemahan khutbah kerana dalam bahasa Arab lah kan. Dan satu pengalaman juga bila selesai solat Jumaat, ribuan umat berjalan keluar dari masjid dan seronok sangat berada di kalangan mereka tengahari itu. 

Ziarah Masjid Quba , Madinah 



ziarah masjid Quba , Madinah


Pagi Sabtu 7hb Februari 2026, ustaz pesan dalam group whatsapp jemaah Bas 2 untuk kami ambil wuduk siap-siap di hotel kerana akan menuju ke Masjid Quba dan solat sunat di sana. Ini juga salah satu rezeki dan kelebihan kami pergi dengan Andalusia di mana mereka mengaturkan lawatan begitu terperinci sekali untuk mendapatkan ganjaran pahala bukan sekadar lawatan. 

Ia bertepatan dengan satu pendapat ( rujukan FB Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi ) : Amalan Rutin Rasulullah ﷺ: Dalam riwayat sahih (termasuk hadis daripada Ibnu Umar RA), Rasulullah ﷺ lazim mengunjungi Masjid Quba pada setiap hari Sabtu—sama ada berjalan kaki atau menaiki tunggangan—lalu menunaikan solat di sana.



masjid Quba , Madinah


Kak ana rujuk juga sumber ( FB Tabung Haji )  menyatakan : Hadis Sahl bin Hunaif: Rasulullah SAW bersabda bahawa sesiapa yang bersuci (berwuduk) di rumahnya (bagi jemaah tempat penginapan hotel )  dengan sebaik-baik wuduk, kemudian mendatangi Masjid Quba lalu solat di dalamnya dua rakaat, maka baginya pahala seperti pahala umrah (HR. Ibn Majah & Tirmidzi).

Masjid Quba ialah masjid pertama yang dibina dalam sejarah Islam oleh Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa hijrah pada tahun 1 Hijrah / 622 Masihi di pinggir Madinah.  Dibina di atas tanah seluas sekitar 1,200 m² milik Kalsum bin Hadam daripada kabilah Amru bin Auf. Rasulullah SAW singgah selama empat hari (Isnin hingga Khamis) dan turut menyumbang tenaga membina masjid ini bersama para sahabat. ( Rujukan ikhlas.com )

Melawat ladang dan pasar kurma Madinah


melawat pasar kurma Madinah


Kemudian kami menuju ke salah satu ladang dan pasar kurma di pinggir Madinah. Kalau tak silap kak ana Aryaf Taibah nama tempat ni. Nak kata ladang kurma pun bukan lah sebab tak banyak pun pokok kurma sekitar ni. Lebih sesuai di katakan pasar jualan kurma dan coklat dan ada lah ruang riadah dan cafe di luarnya dengan beberapa pokok kurma . 


pusat jualan kurma dan coklat

Kat sini memang meriah dengan jualan aneka jenis kurma, coklat, kekacang dan sebagainya untuk di bawa pulang ke tanahair. Kak ana sekeluarga banyak juga memborong coklat kat sini beratus riyal juga lah tak de lah murah sangat . 

Yang menariknya semua ni boleh di rasa dan makan sampai kenyang pun depa tak kisah. Halal! Halal! Katanya. Kami juga minum kopi dan ada jualan bakso serta aneka juadah dan cenderahati untuk di bawa pulang. 

Melawat Jabal Uhud, Madinah 


melawat Jabal Uhud , Madinah


Hentian seterusnya adalah ke Jabal Uhud, Madinah. Sebelum ini lupa kak ana nak update yang kami juga telah sampai ke bahagian lain Jabal Uhud dalam ziarah sebelum ni tetapi kali ni betul-betul singgah dan berhenti di lokasi Jabal Uhud di hadapan pintu masuk. 

Ustaz banyak bercerita sirah tentang Jabal Uhud dari dalam bas lagi dan sampai ke sini. Jabal Uhud adalah bukit berbatu kemerahan sekitar 5 km di sebelah utara Madinah yang disebut dalam riwayat hadis sebagai salah satu bukit yang akan ada di syurga .



ziarah Jabal Uhud

Ketika berada di sini, Adik Ika dan ayahnya sempat juga mendaki Jabal Ar-Rumat secara percuma kerana selepas ziarah kami di fahamkan untuk naik sudahpun di kenakan bayaran. 

Bukit Pemanah (juga dikenali sebagai Jabal ar-Rumat atau Jabal 'Ainain) ialah sebuah bukit kecil yang terletak berhampiran Gunung Uhud di utara Madinah, sekitar 4 kilometer dari Masjid Nabawi. Bukit ini menjadi titik penting dalam Perang Uhud pada tahun ke-3 Hijrah.

Dan di situ juga terletaknya perkuburan Syuhadaa mereka yang terkorban semasa peperangan Uhud. Sayu hati walaupun yang ada hanyalah batuan dan pasir yang gersang berpagar. Yang dimakamkan di Makam Syuhadaa Uhud adalah sekitar 70 sahabat Nabi Muhammad ﷺ yang gugur sebagai syuhada pada Perang Uhud termasuklah Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib . 


ziarah umrah Madinah

Itulah sahaja yang dapat kak ana kongsikan aktiviti ziarah Madinah selama kami berada di sana. Pada sekita pukul 3 petang 8hb Februari 2026 dengan linangan airmata kami menaiki bas dengan siap berpakaian ihram untuk jemaah lelaki menuju ke bumi Mekah Al Mukarramah . 

Sebelum itu kami lakukan ziarah Wada' di Masjid Nabawi mengucapkan salam perpisahan kepada baginda Rasul saw. Sedih sangat meninggalkan bumi Madinah yang tenang dan indah. Menangis kak ana sayu hati rasanya. 


miqad di Bir Ali


Kami singgah di Masjid Bir Ali dan miqat di sana dan berihram sampailah ke bumi Mekah sekitar jam 11 malam lebih kurang selepas berhenti makan malam di RnR Mat'am Muhammadiah , Wadi Qudaid. Apa yang kak ana kongsikan di sini adalah coretan ziarah kami di kota Madinah dan sekitarnya. 

Segala ibadah yang kami lakukan biarlah menjadi rahsia antara kami dan Allah swt sahaja yang Maha Mengetahuinya. Semoga perkongsian ini dapat memberi sedikit gambaran untuk mereka yang pertama kali akan menunaikan umrah. 


perfume OSMA Madinah


Kami juga sempat membeli beberapa barang dan perfume Osma untuk di bawa pulang. Ole-ole dari Madinah lah kan. Jenama Osma antara yang viral lah untuk jemaah Malaysia membelinya dan boleh dapat pada harga promosi di sana. 

Segala yang baik adalah dari Allah swt dan andai ada sebarang kesilapan fakta dan sebagainya adalah dari kekerdilan kak ana sebagai hambaNya jua. Minta maaf zahir dan batin, naa... Boleh perbetulkan di ruang komen, jika ada. Untuk pengetahuan semua kak ana sekeluarga ke sana bersama Andalusia Travel pakej jarak Sederhana bilik bertiga sekeluarga. 






8 Comments

  1. Indahnya pengalaman di sana. Baca pengalaman kak ana pun Cie dah rasa seronok.

    ReplyDelete
  2. Gambar yang buat saya rindu nak ke sana....

    ReplyDelete
  3. Rindu sungguh dengan Madinah dan Mekah. Pengalaman terindah kan Kak Ana dapat ke sana. Mudah-mudahan ada rezeki kita semua menjadi tetamu-Nya 🤲🏻

    ReplyDelete
  4. Bila baca catatan umrah Kak Ana ni, terus terbayang pengalaman di Madinah dan Makkah masa saya pergi dulu sebab kebanyakan tempat yg Kak Ana tulis ni pun kiteorg pergi jugak. Bagusnya ustaz siap bagi link terjemahan khutbah solat Jumaat.

    ReplyDelete
  5. alhamdulillah kembara ziarah jejak Rasul n beribadah

    ReplyDelete
  6. Rindu bertandang lagi di hati....

    ReplyDelete
  7. alhamdulillah.. seronoknya dpt ke snaa.. insyaALLAH Liez pun tengah kumpul duit utk ke sana nnt

    ReplyDelete
  8. Sama juga saya pun, rindu juga ingin bertandang ke sana lagi.

    ReplyDelete