Selesai sudah 3 entri persiapan kak ana dari proses pendaftaran dengan travel agent Andalusia di Part 1 , kemudian persediaan mental dan fizikal di part 2 serta persiapan check list barang untuk perjalanan umrah di part 3.
Hari ini kak ana akan cuba ingatkan kembali perjalanan yang paling berharga buat kami 3 sekeluarga , saat yang di nanti-nantikan perjalanan kami dari rumah ke KLIA dan penerbangan terus bersama Saudia Airline ke bumi suci Madinah Al Munawarah pada 4hb Februari 2026 yang lalu.
 |
| Lapangan terbang Madinah Al Munawarah |
Pengalaman penerbangan umrah bersama Saudia Airline, KLIA - Madinah
Melalui Andalusia kami telah pun di masukkan ke dalam group whatsapp pada 28hb Januari lagi mengikut jemaah bas dan seorang mutawif. Kak ana sekeluarga bersama group Bas 2 dan Mutawif Ustaz Syafiq Ikhwan. Di dalam group kami di bimbing untuk memeriksa sekatan perjalanan dengan Jabatan Imigresen dan tempahan slot Raudhah melalui aplikasi Nusuk dari tanahair lagi.
Tempahan slot masuk Raudhah melalui Nusuk
Mulanya agak sukar untuk dapatkan slot kerana ustaz dah berikan waktu dan tarikh untuk group kami membuat permohonan, ramai yang tak lepas namun aplikasi Nusuk ni di buka setiap 30 minit dan akhirat kesemua jemaah mendapat slot masuk pada tarikh yang sama cuma pada waktu yang berbeza, Alhamdulillah.
Pengalaman terindah ketika berebut slot Nusuk ialah apabila ada saja jemaah yang dapat tarikh akan share di group dan yang lain akan cuba masuk. Adik Ika yang paling banyak membantu jemaah wanita mendapatkan slot termasuklah ibunya sendiri.
Perjalanan dari rumah ke KLIA
Dari malam 4hb Februari 2026 tu, dah tak berapa lena nak tidur kerana keesokkan pagi kami akan bertolak ke KLIA dan meneruskan perjalanan ke kota Madinah dengan izinNya. Sejujurnya kami berlepas pada hari Rabu dan kak ana dah pesan pada adik , kak long dan Aiman supaya tidak perlu untuk menghantar kami ke KLIA sebab kak ana tak nak susahkan depa semua yang bekerja dan perlu datang dari jauh semata nak hantar kami.
Selain itu sebenarnya kak ana sendiri tak nak depa hantar sebab pasti kak ana akan sedih dan menangis kerana ini merupakan perjalanan paling jauh kak ana akan tinggalkan adik dan anak menantu serta cucu. Jadi kak ana dan suami dah janji dengan pemandu grab iaitu jiran taman kami sendiri untuk hantar ke KLIA.
Lebih mudah juga kerana kalau melalui aplikasi grab kami tak boleh bawa 3 luggage besar dan 3 luggage kecil nanti akan lebih muatan. Di sebab kan jiran yang memang biasa membawa MPV Exoranya ke KLIA mudah kami gunakan khidmatnya dan bayaran pun standard tambang grab sahaja.
Selepas solat subuh, kami check kali terakhir semua dokumen perjalanan dan luggage. Kesemua dokumen perjalanan telah pun kami serahkan kepada cawangan Andalusia lebih awal jadi tak lah bimbang sangat kerana depa akan serahkan passport di KLIA kelak sebelum berlepas.
Kami sarapan pagi sedikit dalam jam 10 pagi lebih kurang, kami solat sunat musafir di rumah. Jiran terdekat Zura, Abang Yaya dan Man datang ke rumah bersalaman dan borak sekejap sementara menunggu driver grab sampai. Sedih sangat rasanya lebih-lebih lagi kak ana meninggalkan 4 elor kucing di belakang rumah.
Alhamdulillah di jaga baik oleh Zura dan Abang Yaya kerana kak ana dah minta tolong dan sediakan 3 pek kibbles dan pasir untuk bekalan makanan depa. Syukur sangat dan terima kasih pada mereka berdua kerana kami memang saling menjaga kucing bila salah seorang out-station tapi kali ni paling lama lah meninggalkan anak-anak bulus kak ana.
Dalam jam 11:33, Proton Exora grab kami pun sampai. Luggage di naikkan ke dalam kereta , suami duk di hadapan bersama pemandu , kak ana dan Adik Ika duduk di belakang. Terasa lama sangat perjalanan ke KLIA kali ini. Ada dua rasa yang bersilih ganti, suka teramat akan ke tanah haram namun ada sedikit sedih meninggalkan keluarga tercinta di tanahair.
Perjalanan umrah di KLIA sebelum penerbangan
Dalam sejam perjalanan lebih kurang, kami sampai ke terminal berlepas KLIA. Luggage di turunkan dan kami menuju ke pintu masuk terminal berlepas. Masih awal kami turun ke bawah di food court dan mencari makan tengahari terlebih dahulu kerana taklimat akan berlangsung pada jam 1.30 pm.
Selesai makan tengahari kami naik ke terminal dan Abang sepupu kak ana yang juga berkhidmat dengan MAS datang untuk teman kami. Banyak yang Yop pesan pada kami memandangkan ini merupakan pertama kali untuk kak ana menaiki pesawat. Suami dan Adik Ika dah ada beberapa kali penerbangan sebelum ini.
Lebih kurang pukul 1;30 kami mendapat info melalui group whatsapp untuk berkumpul di tingkat 5 Kaunter K . Di sini passport dan tag nama serta tag luggage di berikan oleh pegawai Andalusia serta beg goodies berisi makanan ringan dan ubat-ubatan.
Kami bergerak ke satu kawasan dalam berkumpulan untuk mendengar taklimat akhir dan selepas itu terus melakukan urusan check-in luggage dan tiket. Memang agak lama dan panjang sungguh queue untuk jemaah Andalusia sahaja dan beberapa line. Alhamdulillah semua selesai check in dan imigresen dan kami bergerak ke aerotrain untuk ke bangunan satelit yang mengambil masa dalam 2 minit perjalanan aerotrain.
Sampai di bangunan satelit, adik ipar kak ana, Julia Alisya dah pesan dari pengalamannya untuk kami terus cari surau dan solat jamak Zohor & Asar terlebih dahulu. Selesai solat kami bergerak perlahan ke Gate C1 . Waktu menanti untuk berlepas di balai menunggu, kak ana tak dapat tahan lagi airmata, memang menangis teringat kan kak long, Aiman dan cucu HNH yang bakal kak ana tinggalkan jauh.
Bermula dari saat inilah kak ana serahkan sebulat-bulatnya perjalanan ini kepada Allah swt dan kerana Allah swt. Apa sahaja yang bakal kak ana lalui sepanjang beberapa jam penerbangan dan berada di tanah haram semuanya kak ana berserah pada Allah swt. Redha seredhanya.. Allahu Rabbi.
Selepas pengumuman untuk masuk ke pesawat , kami membaca doa musafir dan doa menaiki kenderaan bersama. Kak ana , suami dan Adik Ika duduk bertiga dan mendapat window seat. Adik Ika lah duk tepi tingkap, ayah nya di tengah dan kak ana tepi kerana mudah nak berurusan dengan pramugari bila menghantar makanan kelak.
Selepas boarding, kami di berikan sehelai tisu panas untuk refreshing dan bersihkan tangan. Diberikan juga ear phone untuk kami gunakan dalam pesawat melalui monitor di kerusi . Kemudian di berikan set stokin dan penutup mata untuk tidur.
Turut di berikan sebiji bantal kecil dan selimut. Hat ni tak boleh bawa balik, naa kena tinggalkan waktu sampai Madinah nanti, hehe! Itupun adik ipar dah pesan sebab dia dah pergi 2 bulan sebelum penerbangan kami, ada jemaah yang nak bawa bantal dan selimut tu katanya.
Dan selepas itu satu demi satu menu yang di berikan sepanjang 8 atau 9 jam penerbangan KL ke Madinah. Ada yang sedap pada selera kami dan ada yang tak kena juga dengan selera Melayu kak ana. Tapi apapun syukur
Alhamdulillah atas segala nikmat yang di berikan. Kak ana tak ingat sangat menu-menu namun sempat lah ambil foto-foto untuk kenangan di masa akan datang.
Paling kak ana ingat selalunya ada dua pilihan air sama ada apple juice atau orange juice. Kak ana selang-selang lah minum antara dua juice ni. Ada pilihan nasi arab daging, ayam atau pasta kalau tak silap. Dan beberapa side dishes lain.
Sepanjang penerbangan 8 jam lebih di dalam pesawat waktu bagaikan terhenti. Memang tak tahu nak buat apa sangat. Tambah lagi ini pengalaman pertama kak ana. Duk skroll juga monitor di seat tu, jauh lagi perjalanan, paling lama berada di perairan Lautan Hindi tu lah.
Tapi tak ada rasa takut atau anxiety , redha je . Kak ana cuba nak baca quran kecil yang di bawa tapi selepas beberapa jam lampu dipadamkan dalam pesawat. Kak ana cuma dengan bacaan al quran dari earphone melalui monitor di seat tu.
Di bawah ni merupakan menu terakhir sebelum kami sampai di bumi Madinah. Sepanjang penerbangan kak ana cuba untuk tidur tetapi sekadar tidur-tidur ayam sahaja. Suami pun yang jenis mudah tidur pun tak berapa lena. Adik Ika pula tak berapa sihat berulang ke toilet juga dia.
Ada beberapa kali juga kami mengalami turbulence atau air pocket sepanjang penerbangan. Kak ana tak pasti lah ye atau tidak tapi terasa lah kapal terhayun seketika. Kami ikut sahaja arahan pramugara dan mereka sangat baik dan melayan jemaah dengan senyuman dan mesra. Kacak-kacak pak Arab dan pramugari wanita Melayu dan Indonesia yang cantik-cantik.
Alhamdulillah jam demi jam yang kami lalui, sampailah kami mendarat di lapangan terbang Prince Mohammad Bin Abdulaziz International Airport (MED) pada jam 9:45 malam waktu Saudi .
Dibuka sahaja pintu pesawat dan kak ana melangkah kaki ke tangga untuk turun ke aerobas, Allahu Akhbar angin dingin menyambut kedatangan kami. Sejuk sangat cuaca malam tu sekitar 18 atau 16' Celcius.
Kak ana tak ambil gambar atau videa waktu ni kerana kak ana begitu menikmati saat pertama kali kak ana jejak kaki ke bumi teragung Madinah Al Munawarah. Dalam hati tak henti mengucapkan syukur dan memberi salam kepada Junjungan Rasul saw. Ya Allah! Makin hampirnya aku dengan jasad kekasih agong kita semua Nabi Muhammad saw.
Sampai di balai ketibaan kami terus berurusan dengan imigresen dan menunggu luggage sampai. Agak cuak dah masa ni sebab semua luggage dah sampai, luggage Adik Ika yang kecil belum dapat lagi. Tapi akhirnya dapat juga. Ustaz dah beri arahan kami semua dah siap berkumpul group bas 2 lebih kurang 48 orang jemaah.
Kami semua bergerak dengan luggage masing-masing mengikut ustaz Syafiq dan membawa kami ke terminal bas. Pastikan luggage-luggage di masukkan ke bas yang betul naa, kerana sekiranya salah bas naya akan tersalah hantar ke hotel.
Kami naik bas dan menuju ke tanah haram Madinah dan sampai di hotel dalam sejam lebih kurang perjalanan lebih kurang 20km melalui King Salman Road dan King Abd Aziz Road. ( Info dari internet ). Kami menginap di Hayah Plaza Hotel di Madinah untuk 5 hari 4 malam.
Semua urusan check-in hotel di uruskan oleh mutawif dan pegawai Andalusia yang berada di sana. Kami menunggu di lobi sementara ustaz menyerahkan salinan passport muka depan kerana sampai di hotel, ustaz akan ambil semula passport untuk keselamatan . Takut juga kan terhilang atau tercicir. Kami di bekalkan salinan gambar copy passport sahaja untuk di selit di beg sandang Andalusia.
Ustaz menyerahkan kunci bilik kepada setiap ketua keluarga. Kami juga di berikan set makanan malam nasi Arab dan air di dalam tapau. Seperti pakej yang kami ambil, kami menginap di bilik bertiga sekeluarga di Hayah Plaza. Rezeki agakya walaupun kami ambil bilik bertiga tapi kami dapat bilik yang ada empat katil. Satu katil kami jadikan tempat letak beg sebab hotel ni agak sempit dan tak ada almari beg.
Inilah bilik kami tiga sekeluarga untuk 5 hari 4 malam di bumi Madinah. Jarak antara Hayah Plaza ke Masjid An Nabawi sangatlah dekat sekitar 200 meter sahaja dah sampai ke dataran melalui pintu 309 atau 310 . Masyaa Allah... dekatnya kami dengan mu Ya Rasulullah saw..
Malahan setiap waktu solat, Azannya kedengaran dari bilik kami dan paling indah di waktu subuh yang dingin sepanjang kami di Madinah pada suhu sejuk 16-18'C setiap hari. Kerana kami mengambil pakej fullboard , makan minum di sedia kan 3 kali sehari .
Jika ada ziarah luar, kami juga di sediakan makanan di restoran yang di tetapkan. In Syaa Allah kak ana akan sambung di entri akan datang kisah umrah di Madinah dan Mekah kelak.
Untuk kenang-kenangan kak ana letakkan di sini jadual makan semasa di Hayah Plaza seperti berikut : Waktu sarapan selepas solat Subuh sehingga jam 8 am. Makan tengahari selepas Zohor sehingga 3 petang dan makan malam selepas Maghrib sehingga 10 malam.
Mudah sebenarnya dan sangat fleksible untuk kita makan. Sekiranya nak makan luar pun boleh sahaja kerana sekitar kompleks hotel dan Masjid An Nabawi memang banyak restoran dan kiosk makanan. In Syaa Allah kak ana sambung kemudian.
Kami mandi bersihkan diri, salin pakaian, solat jamak Isyak dan Maghrib di bilik dan tidur sementara menunggu waktu Subuh pertama di bumi Madinah.... tak sabar nak ke masjid An Nabawi dan memberi salam buat baginda Rasul, sahabat dan kaum keluarga baginda....
1 Comments
wahh hayah plaza, hotel yg sama saya duduk masa pergi umrah tahun lepas. sama jugak pergi dgn andalusia
ReplyDelete