Selepas selesai urusan tempahan pakej umrah dengan travel agen Andalusia serta pembayaran penuh pakej yang kak ana telah cerita kan di ( Part 1 ) , kemudian persiapan dan persediaan jiwa dan fizikal yang juga telah kak ana terbit di ( Part 2 ) , kali ni kak ana sambung dengan persiapan kelengkapan barang yang perlu di bawa dan di isi di dalam hand carry atay check-in luggade serta proses dokumentasi yang perlu di selesaikan.. 

Dokumen yang diperlukan untuk urusan umrah 


Urusan dokumentasi yang telah kami siapkan perlu di hantar ke pejabat cawangan Andalusia terdekat 60 hari sebelum tarikh penerbangan. Namun pihak Andalusia memberikan kelonggaran untuk semua urusan selesai dalam tempoh minima 45 hari sebelum tarikh penerbangan.  Urusan passport dah siap untuk kak ana dan suami, Adik Ika pula dah ada passportnya lebih awal. 


persiapan sebelum menunaikan umrah kali pertama


Seterusnya kami ke kedai gambar fizikal untuk mengambil gambar bersaiz passport ukuran 4 x 6 , berlatar belakang putih . Wanita bertudung hitam dan lelaki tidak boleh memakai kupiah atau songkok.

Gambar-gambar ni diperlukan sebanyak 4 keping untuk urusan Visa Umrah dan tag nama yang akan di uruskan oleh pejabat travel agen kami Andalusia. Waktu kami ambil gambar di Oscar satu set 4 keping gambar berharga RM12 dan jumlah RM36 pada waktu itu lah... mungkin lain kedai lain harganya.. 




Seterusnya kak ana dan adik Ika survey pula untuk urusan suntikan vaksin umrah. Rupanya lain klinik lain harga suntikan vaksin dan ada perbezaan yang hampir puluhan ringgit. Hasil survey, kami ke Klinik Anda untuk mendapatkan suntikan vaksin umrah ACWY135 atau vaksin wajib Meningococcal .

Kami ke Klinik Anda di Bandar Country Homes yang berdekatan dengan kediaman dan menerima suntikan vaksin pada waktu malam selepas balik kerja pada 23hb Disember 2025 . Harga untuk satu suntikan vaksin wajib untuk umrah adalah RM165 seorang. Vaksin ini valid untuk tempoh masa 5 tahun. 

Kami diberikan kad bukti suntikan vaksin dan akan di serahkan kepada pegawai di pejabat Andalusia 60/45 hari sebelum tarikh penerbangan. Kos untuk bertiga adalah RM495. 


dokumen yang di perlukan untuk perjalanan umrah


Sebelum menerima vaksin, kami terlebih dahulu menyelesaikan urusan dokumentasi mendapatkan pengesahan email untuk permohonan biometric visa umrah Saudi pada 21hb Disember 2025. Hat ni lah paling mencabar sekali, berkali-kali kami mencuba untuk mendapatkan pengesahan kerana urusan biometric yang sangat terperinci. 

Pihak travel agen ada mengajar kami cara-cara untuk melakukannya dan semua itu tidak lah sukar untuk akses ke pautan yang di berikan. Yang paling kritikal adalah pengecaman wajah dan cap jari kedua belah tangan. Berkali-kali lah kami mencuba dan akhirnya berjaya juga mendapatkan pengesahan melalui email. Cetak atau ambil gambar dan serahkan ke pejabat travel agen bersama passport, gambar, kad vaksin dan pengesahan email biometric. 

Maka selesailah urusan dokumentasi yang sangat penting untuk dilengkapkan awal dan buat penyerahan supaya tidak ada halangan untuk proses penerbangan dan urusan visa umrah oleh pihak agen kita. Semua itu kami selesaikan sebelum masuk bulan Januari 2026. Alhamdulillah. 

Barang-barang check-list untuk perjalanan umrah 

Lepas dari itu, kami mulakan lah urusan pembelian barang-barang dan pakaian yang perlu di bawa untuk perjalanan umrah kami. Hampir separuhnya kami beli secara online sahaja kerana mudah dan cepat daripada mencarinya di kedai-kedai fizikal dan harga pun jauh lebih murah. 

Kerana luggage hand carry dan check in telah di sediakan oleh Andalusia , kami dah tak perlu pening bab tersebut. Bukan setakad 2 luggage kecil dan besar, kami diberikan juga beg sandang untuk meletakkan barang-barang ke masjid dan poket depan yang transparent diletakkan salinan passport untuk urusan keselamatan, malahan turut di berikan beg uncang kasut yang akan kita gunakan untuk bawa selipar masuk ke masjid kelak. 

Bab ini memang detail lah Andalusia menyediakan jemaah mereka, Alhamdulillah. Dan bila sampai di KLIA untuk penerbangan sampailah hari sampai dari Jeddah masih lagi dapat pelbagai goodies dari mereka. Sangat meriah dan membantu persediaan jemaah nak nak yang pertama kali macam kami. 


luggage tag


Persiapan luggage untuk umrah 


Kak ana dan Adik Ika juga banyak mendapat ilmu dan info dari perkongsian pengalaman jemaah di platform tiktok untuk check list barang yang perlu di bawa untuk menunaikan umrah. 

Kak ana dan Adik Ika mulai packed luggage pada 1.1.2026. Memang teruja sangat kami berdua dan penyudahnya sebelum 4hb Feb 2026 tarikh penerbangan tu, entah berapa puluh kali kami keluar masuk barang dalam luggage, hehe! Ada sahaja yang di tambah sedikit demi sedikit. 

Kami siap beli timbang luggage portable untuk mempastikan berat setiap luggage tidak melebihi berat yang di benarkan. Kami bakal menaiki penerbangan Saudia Airline jadi telah di nyatakan berat untuk check in luggage kami adalah 23 kilogram dan untuk hand carry pula adalah sebanyak 7 kilogram. 

Untuk persediaan luggage sendiri, kami beli luggage tagged bernama dan adik ika siap beli luggage cover. Andalusia sendiri telah membekalkan kami dengan plastic cover untuk check-in luggage jadi tak perlu lah kami beli lagi. 

Memandangkan jemaah Andalusia memang ramai, dan bimbang akan tertukar luggage, kak ana nak share kan cara kak ana tagged luggage kami hasil perkongsian Sue Razak di Tiktoknya.  Untuk mempastikan kami mudah mengenali luggage kami, suami kak ana menulis pada sehelai musking tape lebar , nombor penerbangan dan nombor bas, di bawahnya adalah nama ketua keluarga. 

Ini kerana bila kita di sana nanti, bukan satu bas sahaja jemaah Andalusia dengan beg yang sama ada berpuluh lagi, jadi penting untuk tahu luggage kepunyaan group penerbangan dan bas mana serta nama ketua keluarga sekiranya berlaku pertukaran. Alhamdulillah semua baik-baik untuk kami. 


persiapan kelengkapa luggage untuk umrah

Selesai bab luggage kak ana sertakan di sini antara check-list yang kami buat untuk barang dan pakaian yang di bawa untuk umrah . 

Pakaian & kelengkapan umrah untuk lelaki:

- 2 pasang pakaian ihram
- Tali pinggang khas untuk ihram
- Pakaian dalam 4 helai dan spare yang pakai buang 
- Beberapa helai seluar panjang, jubah, kurta atau baju yang selesa untuk pakaian harian ke masjid dan ziarah kecuali ketika di dalam ihram lelaki ada pakain ihram khusus. 

Pakaian & kelengkapan umrah untuk wanita :

- 4 atau 5 helai jubah atau set baju yang longgar dan selesa mengikut cuaca di sana. 
- 4 atau 5 helai tudung labuh (kak ana bawa tudung jenis sarung kerana cepat dan tidak ada masa untuk gosok di sana )
- 4 pasang Stokin (yang selesa dan tebal untuk tawaf kerana kak ana tidak menggunakan stokin tawaf). 
- Inner tudung dan sarung lengan ( perlu kerana kita tawaf memakai telekung dan bila waktu istilam akan mengangkat tangan bimbang terdedah aurat dalam telekung, perlu hati-hati ) 
- 2 atau 3 telekung tanpa kain kerana kita berpakaian mesra solat dan untuk tawaf dan saei lebih selesa memakai jubah dan atas telekung sahaja tanpa kain telekung memudahkan pergerakan jemaah yang terlalu padat di mataf. 

* Dari pengalaman kak ana, kami bawa 5 helai pakaian sahaja kerana waktu di hotel, kita boleh hantar dobi untuk di cuci dan kita juga akan membeli belah di Madinah atau Mekah, jadi tidak perlu bawa pakaian sehingga 10 helai mengikut hari di sana. Cuma sediakan duit lebih kerana dobi di sana waktu kami berada adalah SR12 sekilo dan mencecah SR70 sekali cuci.. huhu . 
 

selipar yang sesuai untuk umrah



Keperluan Ibadah & Peribadi : 

- Sejadah travel  yang nipis & mudah dilipat ( untuk kegunaan di masjid sekiranya tidak dapat masuk ke dalam masjid dan solat di luar. 
- Botol spray wuduk ( kegunaan untuk mengambil wuduk sekiranya terbatal ketika berada di masjid atau sedang melakukan tawaf kerana tandas jauh ) 
- Slipper yang selesa untuk ke masjid yang mudah di buka bila sampai pintu masjid dan kasut yang selesa untuk berjalan khasnya waktu ziarah dan dalam penerbangan. 
-Tasbih digital atau biasa & buku doa/wirid, kak ana bawa juga Al-Quran terjemahan sendiri untuk bacaan di masjid dan dalam perjalanan atau di hotel. 
- Personal Care: Ubat gigi, berus gigi, sabun/syampu tanpa pewangi (semasa ihram), dan pelembap bibir (lip balm), Tuala mandi (spare sahaja kerana biasanya hotel sediakan namun ada kes yang hotel lambat letak dalam bilik), Krim pelembap (elak kulit kering/pecah di Tanah Suci), Gunting kecil / nail clipper (untuk bercukur tahallul - pastikan tidak diletakkan di hand carry luggage kerana ia adalah perlu di check-in luggage ), Safety pins (pin kerongsang) & penyangkut baju. 
- Kesihatan & Ubat-ubatan : (Penting! Ubat yang wajib di ambil kahsnya mereka yang ada sakit kronik , ubat kencing manis, kolestrol atau darah tinggi) . Ubat-ubatan asas (ubat demam, batuk, selsema, cirit-birit) Inhaler (bagi yang ada asma), Vitamin / Energy booster (seperti Vitamin C atau kurma) , Plaster (band-aid) & Vicks/Tiger balm (untuk lenguh-lenguh), Krim sunblock tanpa pewangi5. 
- Keperluan Elektronik : Power bank (kapasiti tinggi untuk kegunaan seharian)Universal travel adapter (untuk soket di Arab Saudi) Kabel pengecas telefon yang panjang

Untuk lebih detail , boleh cari info di tiktok yang banyak di kongsikan oleh jemaah yang telah pernah ke sana. Sedikit sebanyak memberikan pelbagai lagi tips dan keperluan yang perlu di bawa. 

Pertukaran matawang RM kepada Saudi Riyal 


tuksr duit kepada Saudi Riyal sebelum umrah


Beberapa hari sebelum tarikh penerbangan, kak ana , suami dan Adik Ika ke beberapa buah money changer untuk membuat pertukaran wang Ringgit Malaysia kepada wang Saudi Riyal. Memang perlu juga untuk mendapatkan nilai pertukaran yang lebih baik kerana lain money changer lain pula kadar tukaran yang bakal kita dapat walaupun sedikit tetapi dalam jumlah wang yang banyak, ia boleh memberikan perbezaan yang agak besar juga. 

Jumlah yang kami tukar waktu itu adalah lebih kurang RM3k untuk perbelanjaan di sana termasuk membeli belah. Kami juga sediakan untuk wang sedekah atau sabil serta sekiranya perlu membayar dam. Selebihnya adalah untuk membeli-belah di sana mengikut keperluan bajet masing-masing.

 Walau bagaimana pun Alhamdulillah, kami tidak habiskan kesemua wang dan ada baki di bawa pulang kerana pakej kami adalah fullboard di mana makan di sediakan 3 kali sehari oleh Andalusia. Cuma bila kita teringin nak makan lain tu, belilah sendiri nanti. 

Setakad ini sahaja yang kak ana terlintas di fikiran untuk di kongsikan buat kali ini. Selesai semua persiapan, kami cuma berdoa dan menunggu tarikh penerbangan dengan rasa yang tak sabar sangat. In Syaa Allah, kak ana akan sambung lagi di entri akan datang, perjalanan umrah kami dari rumah ke KLIA dan pengalaman di dalam pesawat Saudia Airline sehingga mencecah ke bumi Madinatul Al Munawarah yang mengambil masa perjalanan 8 jam lebih kurang... 

0 Comments