Cantiknya Bunga Raya Bunga Kebangsaan Malaysia

by - Saturday, August 26, 2017

Mengambil sempena beradanya kita dalam bulan Ogos, bulan kemerdekaan negara kita, tanahair kita yang tercinta, ana tertarik untuk menulis tentang bunga raya sebagai bunga kebangsaan negara kita Malaysia. Gambar kuntuman bunga raya ini ana ambil di perkarangan Masjid di Bandar Country Homes di suatu pagi yang cerah. Kuntumannya yang merah mekar, sungguh mempersonakan pandangan kita mengkagumi kesempurnaan dan keindahan ciptaan Tuhan Sekalian Alam. Subhanallah.... cantik sangat dengan begitu sempurna ciptaanNya.

Lima kelopak bunga raya mekar berwarna merah yang pastinya menarik perhatian siapa juga yang memandangnya. Dan pastinya sang kumbang dan lebah terus tertawan untuk menghisap madunya disebalik keindahan warnanya yang menggoda. Itulah simboliknya mekar sekuntum bunga yang pasti memukau pandangan. Namun pandanglah setiap keindahan alam ini dengan mata hati, melihat sebagai seorang hambaNya yang amat-amat mengagungkan kebesaran dan keesaan Tuhan menjadikan setiap kejadian dengan Maha Sempurna. 

Itulah yang ana lihat pada sekuntum bunga raya  merah yang mekar berkembang di pagi yang cerah. Amatlah indah dan sempurna pada setiap zarah kejadiannya. Dari kelopaknya yang lima, ukiran pada setiap kelopak dengan padanan warna yang Maha Indah. Juntaian stigma dengan debunga halus berwarna kuning yang ada fungsinya untuk sang bunga. Dan yakinlah tiada satu pun ciptaanNya yang sia-sia melainkan ada hikmahnya pada alam dan kehidupan.

Bunga Raya sebagai Bunga Kebangsaan Malaysia



Merujuk kepada sumber penerangan.gov.my - Pada akhir tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mengemukakan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan. Bunga-bunga berkenaan ialah bunga raya, bunga kenanga, bunga melur, bunga cempaka, bunga teratai, bunga mawar dan bunga tanjung.

Untuk memilih bunga mana yang diangkat sebagai Bunga Kebangsaan, satu kajian telah dijalankan oleh Jabatan Penerangan untuk mendapatkan reaksi orang ramai. Kajian ini dijalankan oleh unit-unit bergerak Jabatan Penerangan di seluruh bandar dan desa di Semenanjung Malaysia. Hasil kajian tersebut mendapati bahawa penduduk Pantai Timur memilih bunga mawar manakala penduduk Pantai Barat memilih bunga melur.

Walau bagaimanapun akhirnya kerajaan membuat keputusan untuk memilih bunga raya berdasarkan kriteria bunga raya yang sudah terkenal di seluruh negara, warna dan bentuk yang menarik, nama panggilan yang sama di seluruh negara, mudah didapati di seluruh negara, dan yang paling penting ia bukan menjadi Bunga Kebangsaan mana-mana negara lain di dunia ketika itu.

Berdasarkan kriteria-kriteria tersebut, pada 28 Julai 1960, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengisytiharkan bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan. Hari ini, pemilihan bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan kelihatan begitu tepat kerana lima kelopak yang ada padanya melambangkan lima pecahan prinsip Rukun Negara dan bunga ini juga dilambangkan sebagai bunga perpaduan.

Menarik kan, kita mengimbas kembali sejarah, mengapa Bunga Raya dipilih sebagai bunga kebangsaan negara kita Malaysia. Pastinya lah kerana ciri-ciri istimewanya yang sesuai untuk diangkat sebagai satu simbolik bunga kebangsaan tanahair tercinta.Lima kelopaknya juga melambangkan lima prinsip rukun negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan. 

Image result for bunga raya bunga kebangsaan malaysia
kredit foo : Jabatan Penerangan Malaysia 

Sepanjang hayat ana di atas mukabumiNya ini, ana pernah melihat pelbagai jenis dan spisis bunga raya dengan pelbagai bentuk dan warna. Ana selalu ke nurseri tanaman di Sungai Buluh, Masyaa Allah..terdapat pelbagai corak dan warna dan tambahan pula dengan pelbagai kajian dari pihak dapat menghasilkan pelbagai corak dan kombinasi terbaharu benih bunga raya. 

You May Also Like

4 comments

  1. Cantiknya bunga raya..dekat rumah mak dan jugak mil kat kg mmg ada tanam macam2 jenis pokok bunga raya ..

    ReplyDelete
    Replies
    1. dulu memang banyak orang tanam kan Lya, sekarang ni kat sesetengah tempat je ada, memang cantik

      Delete
  2. Tapi sekarang ni dah susah juga nak cari bunga raya

    Dulu banyak jumpa di tepi jalan sebagai hiasan

    ReplyDelete
    Replies
    1. kan Mazniza, cantik sangat kuntuman bunga raya ni diciptakanNya dengan pelbagai warna , Subhanaallah

      Delete