Permainan Tradisional - Jan Jan Jala


Dibesarkan sekitar era 80an ke 90an, kami tidak bermain dengan gajet seperti sekarang.Permainan kami apa yang ada disekeliling kami.Bermain bersama jiran-jiran dan kawan-kawan sekolah secara fizikal.Seperti ana sendiri, rakan sepermainan di rumah hanyalah sepupu-sepupu dan juga mak-mak saudara.Seronok bermain dan leka selagi tidak kedengaran jeritan mak atau opah yang menyuruh balik, selagi itulah bermain dengan riangnya.Tak puas hati bergaduh seketika, lepas tu elok bermain semula.Selain dari main masak-masak, anak patung kertas, aci kejar, aci nyorok, batu seremban yang paling kerap di mainkan bersama ialah jan jan jala.Pernah dengar tak permainan jan jan jala ni?

jan jan jala itik
kredit: google image

Untuk bermain permainan tradisional jan jan jala ni memerlukan lebih dari empat orang.Lagi ramai lagi meriah.Selalunya ini permainan tradisional budak-budak perempuan. Setelah sepakat memilih dua orang ketua, kedua-dua ketua akan berbisik mendapatkan kata kunci rahsia yang mewakili kumpulan masing-masing supaya tidak di dengari ahli pemain yang lain.Biasanya kami menggunakan nama bunga atau buah.Contohnya si A akan memilih buah mawar dan si B memilih bunga Cempaka sebagai kata kunci rahsia.

Kemudian kedua-dua ketua akan meregangkan tangan dan memberi laluan kepada ahli-ahli permainan untuk melalui di bawahnya.Sambil itu kedua-dua ketua akan menyanyikan lagu jan jan jala sehingga tamat.Apabila habis sahaja lagu jan jan jala, ahli yang terperangkap didalam regangan akan dibawa jauh dan ditanya sama ada hendak bunga mawar atau bunga cempaka. Jika memilih bunga mawar, ahli tersebut milik ketua A.

Begitulah proses seterusnya sehinggalah ke peserta terakhir.Kumpulan yang memiliki ahli yang paling ramai di kira pemenang.Ha ha.. bukan dapat hadiah apa pun, namun itulah kegembiraan kami bermain.Kerana pada waktu itu,hanya inilah antara permainan yang ada.Semua permainan tradisional ini meninggalkan nostalgia yang amat indah dalam catatan perjalanan hidup ana.Masih segar di ingatan.

Masih ana ingati bait-bait lagu dari permainan tradisional jan jan jala ini.Baris lirinya pendek sahaja.Jom ana imbas kembali.

Lagu Jan Jan Jala:


Jan jan jala
Jala itik jala ayam
Berapa lubang kancil
Seratus lima puluh
Singgah dayang singgah
Makan sireh mulut merah


Wah nostalgia pula perkongsian ana kali ini.Jika yang terbaca entri kali ini seusia ana atau lebih senior dari ana, pasti tahu dan pernah bermain permainan tradisional jan jan jala ini kan.Kini tiada lagi kelihatan anak-anak bermain sebegini. Segalanya sudah tidak relevan lagi bagi mereka.Yang tinggal kenangan silam yang menggamit seribu satu kisah indah mengiringi perjalanan usia.

~berkongsi kisah silam disini~