Pagi ni, ana menulis dengan penuh emosi marah buat pertama kalinya di anajingga.com.Kesal, marah dan bercampur baur emosi ketika jari pantas menari di papan kekunci ni. Bukan sahaja kerana ia terjadi pada saudara terdekat sendiri tetapi jika berlaku pada sesiapapun pasti perasaan yang sama kembali menerpa.Ana benci pada kebiadapan, ana tak suka dengan manusia yang menyusahkan hidup orang lain.Ana benci pada kekejaman.Bukan hanya pada manusia malah pada penghuni alam yang lain seperti haiwan dan tumbuhan.Selalu ana ingatkan pada diri sendiri dan anak-anak, hidup biarlah menyenangkan sesama manusia, dunia bukan kita sahaja penghuninya,Allah dan para malaikat sentiasa ada,In shaa Allah hidup kita selamat dunia akhirat.



Kisah ni terjadi beberapa hari yang lepas, perkongsian adik sepupu ana di group whatsapp keluarga kami.Adik sepupu ana balik kerja selepas syif malam pagi tu.Tanpa menyedari motornya kehabisan minyak.Dia berjalan kaki ke stesen minyak yang terdekat untuk mendapatkan minyak.Namun apabila sampai semula ke motor yang di parkirkan di tepi lebuhraya, kedua-dua tayar dan sportrim telah hilang di ambil manusia durjana.

Allahu Rabbi, sedih sangat mendengar apa yang diceritakan.Bukan lama pun sekejap saja, sampainya hati kau wahai pencuri.Ambillah ,berapa ringgit sangatlah engkau dapat dengan duit tu, mati kau azab hingga akhirat.Tak kiralah siapapun kamu.

Bila ana ceritakan semula dengan suami, katanya memang selalu macam tu terjadi.Ada motor yang kemalangan sekali pun mereka akan ambil bahagian dari motor yang boleh di jual.Macam tu sekali manusia jadi hamba duit kan.Bayangkan kalau duit tu digunakan untuk menyara anak-isteri,makan dengan duit dari sumber yang haram, Nauzubillahi Min Zalik, kekal jadi darah daging.

Ana tak pandai berhujah soal hukum hakam kerana ana bukan tinggi ilmu agama,masih belajar dari hari ke hari meniti usia.Cuma meluahkan rasa kekesalan dengan peradaban hidup manusia akhir zaman ni.Kejam, tidak berperikemanusiaan langsung.

Semoga Allah swt sentiasa melindungi kita semua dari segala perkara yang mendekatkan ke azab Allah swt.Yakinlah azabNya benar.Didiklah anak-anak kita dengan sifat-sifat kasih sayang dan mengenali Yang Maha Pencipta dengan sifat-sifatNya.In Shaa Allah kita tidak akan sesat di pertengahan jalan menuju destinasi abadi.Waallahu a'lam.