Buah-buahan Tempatan 





Alhamdulillah..Segala Puji Bagi Allah swt Tuhan Sekalian alam. Di ketika musim panas terik melanda sepanjang bulan Januari ini, Dia Yang Maha Adil dan Bijaksana mengurniakan hamba-hambaNya musim buah-buahan sebagai makanan yang sangat sesuai di kala musim panas. Buah jambu air dan mangga telur di dalam gambar adalah dari tuaian kami bersama jiran Zura dari kebun sekangkang kera belakang rumah sahaja. Kedua-dua pokok mangga dan jambu air sedang ranum berbuah sedap sebagai makanan kami penghilang dahaga.

Benarlah bila berbakti pada tanah, lambat laun akan membuahkan hasil, In Shaa Allah. Pokok mangga jiran ana, Zura ni pertama kali berbuah dengan lebat dan masak ranum. Rezeki kami lah, bila pokok yang kami tanam di sekitar belakang rumah ni kami nikmati bersama. Tak kira sama ada herba atau tanaman lain, masing-masing telah memberi keizinan untuk mengambilnya bila perlu. Maklumlah ruang yang terhad membataskan kami bertanam banyak jenis tanaman, maka kami berkongsi ruang dan tanaman yang ada sebaiknya.

Buah Mangga Telur


buah mangga telur ,buah mangga padi


Buah mangga telur ini dan ada juga yang memanggilnya buah mangga padi, ketika muda memang masam ya amat rasanya. Sedap makan dijadikan jeruk atau di makan bersama gula,kicap dan cili padi, dicicah. Namun apabila masak ranum sebegini, ana kupaskan siap-siap isi dalam petisejuk. Bila suami dan adik Ika ada di rumah senang untuk mereka memakannya begitu sahaja.Rasanyapun manis. Namun makan berhati-hati juga takut tertelan biji , naya nanti. Tak sesuai untuk anak-anak kecil, jika ada anak-anak kecil lebih elok di hiris sahaja untuk memberi mereka makan kan.


Buah Jambu Air



buah jambu air


Buah jambu air ini pula memang setiap tahun dua tiga kali berbuah. Banyak yang berguguran di bawah pokok kerana di usik tupai atau ketika di timpa hujan lebat. Selain dari terus makan sebegitu, ana juga gemar makan dengan mencicahnya dengan gula dan kicap. Sedap, laju sahaja habis beberapa butir. Kalau ada serbuk asam boi pun sedap kan di makan bersama.


Buah Ciku 



buah ciku


Satu lagi buah tempatan yang tak kurang sedapnya ialah buah ciku atau di pantai timur memanggilnya buah sawo nilo , unikkan . Buah ciku ni kami beli di pasaraya. Sebab pokok ciku tak ada di kebun belakang rumah. :) Sedap kan di makan ketika cuaca panas sekarang ni. Alhamdulillah masak ranum dan manis sekali rasanya. Kupas dan simpan dalam petisejuk sebelum di makan, segarnya terasa bila kita makan di tengahari, Subhanallah. Tips membeli buah ciku yang masak ranum, pastikan ianya agak lembut dan warna kulitnya gelap. In shaa Allah , kita dapat menikmati buah ciku yang enak sebegini.


Buah Cempedak 



buah cempedak



Buah cempedak di luar pagar ni pemberian dari jiran kami yang di bawa dari kampung halamannya. Memang manis isinya, banyak dan sedap juga di makan sebegitu sahaja. Selebihnya ana goreng sahaja buat santapan petang hari. Cempedak goreng merupakan kesukaan adik Ika. 

Inilah dinamakan rezeki bila berbaik-baik sesama jiran tetangga. Mungkin inilah juga kemanisan ukhuwah antara kami sesama dengan ikatan umpama sebuah keluarga besar. Saling memberi dan merasa kan.. Dalam kita sedang diuji dengan cuaca panas saat ini, pastikan minum banyak air kosong, hadkan masa berada di luar rumah, khasnya untuk anak-anak dan makanlah banyak sayur-sayuran dan buah-buahan. In shaa Allah. Jangan banyak merungut kerana sebagai hambaNya, redhalah dengan segala nikmat yang diberiNya...Waallahu a'lam.