kuih bangkit

Kuih bakar atau kuih bangkit 


Lama sungguh ana tak makan kuih bakar ni. Kami di Teluk Intan, panggil biskut ni kuih bakar namun ada juga yang memanggilnya kuih bangkit. Ikut dialek daerah masing-masing kan. Ada kisah yang penuh nostalgia apabila ana melihat semula kuih bakar ni. Teringat kembali zaman kanak-kanak ketika penghujung Ramadan. Arwah mak saudara ana wajib nak menyediakan kuih bakar ni untuk hidangan di pagi raya. Caranya bukan lah semudah masa kini. 


Bayangkan diketika kita sedang berpuasa dipenghujung Ramadan, mak saudara ana ni menyediakan kuih bakar dengan cara yang sungguh tradisional. Mula-mula tepung-tepung yang hendak di adun tu akan dijemur di panas terik. Kemudian di adun, diuli sehingga lembut dengan tangan. Bukan macam sekarang semua guna 'mixer' sahaja. Hampir setengah jam jugalah arwah menguli tepung ni.

Setelah itu di canai di belakang talam, di terap dengan acuan yang dikehendaki, kemudia di bakar dengan arang. Memandangkan pada masa itu tiada oven elektrik di rumah, cara membakar kuih bakar dan kuih bahulu di buat secara manual dan tradisional.

Api kayu arang dinyalakan di bawah sebuah periuk besar yang di alas pasir dalamnya. Ini untuk mengawal kepanasan api tidak terlalu terus ke adunan kuih. Kemudian di isi adunan kuih yang di terap dengan acuan tadi di dalam tudung periuk atau dulang kecil yang disapu minyak agar tidak melekat. Isi kan ke dalam periuk yang beralas pasir tadi. Kemudian ia ditutup dengan satu lagi lapisan bara dari nyalaan sabut kelapa yang di letakkan di atas satu lagi tudung periuk besar, atau talam atau juga kadang-kadang tin biskut yang belah dua.

Pasti anak-anak muda masa kini tidak dapat bayangkan apa yang ana maksudkan di atas. Tak tercapai akalmu kan :) Ia sama seperti teknik oven yang menggunakan haba dari api atas dan bawah untuk memasak biskut. Cuma segalanya secara manual. Penyepit arang digunakan untuk mengangkat lapisan api atas untuk melihat sama ada adunan sudah masak atau belum. Dan yang paling perit ialah haba panas dan asap yang terpaksa dirasai sepanjang proses menyediakan kuih bakar ni. Apatah lagi ketika itu kita sedang berpuasa.


Terjumpa juga imej di Google Image; kredit foto forum.com

Inilah nostalgia yang bermain di fikiran ana ketika terpandang kuih bakar yang ana dapat dari sebuah majlis perkahwinan jiran baru-baru ni. Alhamdulillah sekarang semua nya mudah. Letakkan sahaja di dalam oven, tentukan suhu dan selaraskan 'timer'. Tak perlu duduk menghadap bahang panas seperti yang pernah dilakukan oleh arwah mak saudara ana dahulu ketika ana masih lagi kanak-kanak. Semangat mereka untuk menyediakan pelbagai juadah hari raya begitu tinggi sekali. Allahu Akbar. Al-Fatihah buat arwah yang telah lama meninggalkan kami semua, Allahyarhamah Esah binti Saidin.