Lama juga memendam entri ini sebelum dapat di publish kan. Mencari ilham untuk mengimbas kenangan silam di sini. Lama memang lama telah ana tinggalkan bangunan usang yang menjadi kesayangan dan kebanggaan kami sampai bila-bila. Biarlah sampai ke akhir hayat nanti HMSS Teluk Intan akan kekal dihati dan menjadi satu catatan dalam perjalanan hidup ana. Alhamdulillah, ana kembali ke sini beberapa waktu yang lalu, singgah mengimbas kisah silam tujuh tahun menjadi penghuni setia setiap sudut HMSS Teluk Intan.




Horley Methodist, Teluk Intan




Hidup Berbakti, Live To Serve.. motto sekolah Horley Methodist,Teluk Intan yang pernah ana pakai lencananya selama tujuh tahun dan menggalas tanggung-jawab sebagai seorang murid dan pelajar disini. Tujuh tahun....kenapa tujuh tahun?? Kerana ana bersekolah disini dari Tingkatan satu sehinggalah menamatkan STPM di Tingkatan Enam Atas Sastera Satu. 




Banyak kisah suka duka terpahat dihati disini, namun bila dikenangkan kembali, rasanya kini segalanya manis-manis belaka untuk dikenang.Disinilah mula mengenali erti persahabatan yang mematangkan, menjadikan diri lebih dewasa, kisah cinta pertama yang indah untuk diimbas kembali walaupun telah tiada lagi kesan rasa yang berbaki. 

Pertama kali hati ini dicuri, perasaan bergetar bila berpandangan dan berputiknya rasa rindu. Hari-hari ingin sahaja menatap wajahnya biar cuma sekejap pun dah memadai. Tertarik dengan penampilannya, tinggi lampai, berkulit cerah dan seorang pengawas serta atlit di sekolah. Haha..nostalgia sungguh. Inilah detik-detik indah cinta pertama di alam sekolah menengah. Namun kecundang ditengah jalan apabila terpisah kerana 'dia' melanjutkan pelajaran ke UTM, Skudai dan ana masih di bangku sekolah.

Apabila ana kembali semula ke sini, terlalu syahdu rasa jiwa. Setiap sudut sekolah ada kisahnya, menerpa di ruang ingatan. Biarpun telah berpuluh tahun ana tinggalkan, bila terpandang semula ruang-ruang yang pernah ana lewati, terasa baru semalam seolah-olah ianya berlaku. Ana dahulunya memang lebih ramai berkawan dengan murid-murid bukan Melayu. Kawan sekelas dari Tingkatan satu sehingga ke Tingkatan lima terdiri dari pelajar Cina dan India. Ini kerana ana berada di aliran sains. 

Setelah masuk ke Tingkatan Enam Rendah, barulah dapat berkawan rapat dengan pelajar-pelajar Melayu yang masuk dari sekolah lain, antaranya SM Sultan Abdul Aziz dan SM Raja Muda Musa. Tingkatan Enam adalah detik-detik  paling indah dalam persahabatan. Kami akrab dan banyak masa dihabiskan di sekolah dari di rumah sendiri. Kami sering kali stay back hingga petang menyiapkan tugasan yang diberikan secara study group. 




Meskipun usia kian hari kian meningkat namun persahabatan kami kekal terjalin hingga ke hari ini. Terasa sayu bila mengenangkan ada di antara mereka yang telah pergi dahulu dari kami menemui Tuhan Yang Maha Pencipta. Kenangan manis bersama kalian akan tetap ana ingati sehingga tiba masanya untuk ana jua kembali ke destinasi abadi.

Horley Methodist, antara beberapa sekolah mubaligh yang ada disekitar Teluk Intan. Selain Horley Methodist, bersebelahan nya ialah SM St Anthony dan dihadapan nya pula SM Convent. Biar pun zaman ketika itu tidak begitu Islamik seperti sekarang, namun kami tetap ada ustaz dan ustazah yang mengajar asas Agama dan sehingga hari ini, kebanyakkan ilmu merekalah yang kami praktikkan dalam hidup. Alhamdulillah..

Andai diizinNya nanti, ana ingin sekali memasuki semula ke dalam kawasan sekolah ni. Pasti bergenang air mata bila melihat sudut-sudut yang pernah kami terokai suatu masa dahulu. Padang, kantin, library, makmal, bilik darjah malahan tandas sekali pun ada memorinya. Inilah dia sekolah kebanggaan ana yang telah banyak melahirkan insan-insan cemerlang di atas muka bumi ini. Sekolah yang banyak menabur bakti dan terima kasih tak terhingga buat semua guru-guru yang pernah  menjadi pendidik kami. 

Biarpun blok-blok lama sekolah ini kian usang, dan terdapatnya satu blok baru dibahagian belakang sekolah, namun kisah dan kenangan ana disini tidak pernah usang malahan tetap segar di dalam ingatan. Terima kasih Horley Methodist, terima kasih cikgu-cikgu, terima kasih cinta dan persahabatan. Andai satu hari nanti, ana akan tinggalkan dunia yang sementara ini, biarlah coretan ini menjadi saksi bahawa ana pernah hadir disini, mencipta memori di SM Horley Methodist, Teluk Intan, Darul Ridzuan.

2 Comments

  1. memang kenang kembali bila masuk sekolah..mula senyum kosong..hahaa

    ReplyDelete
    Replies
    1. kan Nad, kalaupun dulunya pahit tapi sekarang semuanya indah belaka :)

      Delete