Sekeping kad jemputan perkahwinan yang telah 22 tahun berada dalam simpanan ana. Berwarna biru, design yang sangat mudah, bak kata anak-anak kalau macam ni buat sendiri pun boleh. Namun ketika dan masa tersebut, tak punya kecanggihan komputer dan editor seperti sekarang. Jadi kad jemputan kahwin yang sesimple itu juga perlu di tempah di kedai percetakan. Inilah kad jemputan perkahwinan ana dan suami 22 tahun yang lalu.




Nostalgianya, kad jemputan ini, abah ana yang tempah, dan rasanya ia adalah harga yang paling murah masa tu. Ada satu lagi jenis kad jemputan perkahwinan seiring masa tu, jenis yang cetakan di atas sehelai kertas A4 dan dilipat sahaja kepada beberapa bahagian.Zaman itu, kad jemputan tidak lah secanggih sekarang dengan gambar bakal pengantin atau pun plan ke lokasi rumah pengantin.Semuanya simple sahaja maklumlah jemputan pun sekitar saudara mara dan para sahabat sahaja. Jadinya dah pastilah para jemputan sudah mengetahui lokasi majlis kan.


Satu lagi, ketika itu, mak dan abah akan menghantar sendiri kad jemputan ini kepada para jemputan. Bak kata orang sekarang ni 'by hand'. Sejauh mana pun akan pergi menjemput tetamu dengan mulut dan kad jemputan di berikan sebagai satu tanda ingatan, iaitu untuk diingati tetamu jemputan tarikh dan siapa yang menjemput. Kalau tak pergi pun, mak dan abah bakal pengantin akan mewakilkan saudara-mara terdekat untuk menjemput. Beza dengan sekarang  serba mudah untuk berkomunikasi, kita mudah menjemput di whatsapp, FB dan Mesenger sahaja kan. Kalau zaman dahulu tak jemput dengan datang sendiri ke rumah, pasti ada saudara mara yang akan berkecil hati dan silap haribulan tak datang la ke majlis.




Inilah kisah sekeping kad jemputan yang kian usang di mamah masa. Alhamdulillah dengan kad jemputan yang murah dan simple inilah, tetamu telah datang meraikan perkahwinan kami. Iringan doa dan kasih sayang mereka lah yang dengan izinNya, rumahtangga kami kekal bahagia hingga ke saat ini. Alhamdulillah. Ketika itu segalanya tidak mewah. Majlis penuh gotong royong, masak memasak secara rewang saudara mara dan jiran taulan. Bunga telur sebagai goodies juga sumbangan mak saudara, beras, minyak masak, gula dan sebagainya juga disumbangkan oleh saudara mara terdekat, namun ia tetap meriah dan berlangsung dalam suasana kerjasama dan kasih sayang yang sangat erat.

Inilah uniknya majlis kami waktu itu. Dan ana sentiasa berdoa agar ikatan perkahwinan ini sentiasa di dalam rahmatNya dan kasih sayangNya sentiasa. Ramai di antara mak dan bapa saudara yang menjadi tulang belakang majlis ana ni telah tiada lagi. Al- Fatihah buat mereka semua dan terima kasih yang tak terhingga kepada mereka yang masih bersama kami.



Kad ini suatu masa nanti pasti akan hilang mahupun kian lusuh dan usang, namun biarlah cinta antara kami tetap teguh dan kukuh selagi hayat di kandung badan dan mudah-mudahan kami kekal sebagai suami isteri hingga ke syurga Mu. Selama 22 tahun ni, banyak yang telah kami lalui penuh onak ranjau dugaan kehidupan. Dikurniakan dua orang puteri kesayangan kami yang kian meniti usia remaja. Syukur Alhamdulillah dan ana berserah kepada Allah swt supaya kami terus istiqomah dalam melayari bahtera perkahwinan sambil meniti usia selagi diizinNya. Aamiin Ya Rabb.

7 Comments

  1. walaupun sekarang dah moden, ramai lagi yang still akan merajuk kalau dapat jemputan pakai wasap or fb je.terutama orang2 tua.saya suka kad dulu2.simple dan tak membazir.nanti orang buang juga

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu Sal, dikampung-kampung kad jemputan masih digunakan sehingga ke hari ini. Cuma dahulu ianya simple dan murah berbanding trend masa kini.

      Delete
  2. Jemputan mulut masih dipraktikan walaupun kad diberi pengganti diri.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sungguh Kak Mala, masa di lakukan di kampung halaman ana, cuma di bandar2 faktor masa mungkin lebih mudah menggunakan applikasi moden paling tidak pun meletakkan kadjemputan di dalam peti pos jiran :)

      Delete
  3. Sweetnyee...Sha pun harap kad jemputan Sha terjaga mcm k.ana...ye,,skrg jemput kt whatapps ..fb..rasanya masa sha kawen whatapps xde lg kot..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Simpan elok-elok Sha, jadi kenang-kenangan di masa hadapan nanti , boleh tunjuk kat Zaryth dan Fathia :)

      Delete
  4. haha memei tak ler Ain, gambar zaman jahiliah masa dedulu tu :) antik sangat dah haha

    ReplyDelete