Hidup ini tak pernah sunyi dari ujian dari Allah swt untuk menguji setiap langkah dalam perjalanan kehidupan sebelum tiba langkah terakhir ke destinasi abadi. Apa sahaja yang kita empunya di muka bumi, bukanlah hak kita kerana ia milik Allah swt. Bila-bila masa sahaja boleh di tarik balik tanpa syarat dan isyarat. Belajar untuk mengenali diri kita sendiri dan siapa kita di sisi Allah swt. Putaran hidup bagaikan roda yang berputar sehingga lah sampai destinasi, ada kala kita berada di atas adakalanya di bawah, ada ketika suka ada ketika sukar. Hadapi lah dengan rasa rendah diri dan ketakutan untuk mendapatkan result ujianNya di alam akhirat nanti. Waallahu a'lam..




Dalam jam 1:45 pagi, telefon ana berdering. Allahu.. setiap kali dapat panggilan tengah malam sebegini hati pasti akan berdebar kencang. Tertera nama adik ana, Lan di skrin handphone,lagi kuat debarannya. Benar ! Lan call bagitau Abah call dia bagitau mak sakit. Lan dalam perjalanan dari Manjung ke Teluk Intan waktu tu, dia kata biar dia balik dahulu tengok keadaan macam mana, nanti dia update ana. Terus sahaja ana call abah dan abah bagitahu mak jatuh ketika nak ke bilik air. Allahu Akbar. Ana tanya abah, mak sedar tak, abah kata sedar cuma mamai. 


Abah bagitahu tunggu Lan sampai baru nak bawa ke hospital atau tidak sebab keadaan mak sedar dan bercakap cuma bagaikan mamai sedikit. Hati dah tak keruan sangat sepanjang masa menunggu panggilan dari Lan atau abah seterusnya. Lebih kurang jam 2:30 pagi, ana call semula, abah bagitau Lan baharu sahaja sampai dan nak bawa ke Unit Kecemasan Hospital Teluk Intan. Abah kata jangan balik sekarang kalau nak balik lepas Subuh sebab dah tengah malam sangat lagi pun Lan dan Adik Ipar ana, Jue ada bersama dah ni.

Tuhan sahaja yang tahu mata dah memang tak mampu nak lelap menunggu pagi. Ana biarkan suami tidur dahulu kerana beliau akan memandu nanti. Ana hanya mampu berzikir, istighfar dan berdoa sepanjang waktu menunggu Subuh. Syukur Alhamdulillah jarak rumah kami ke Hospital Teluk Intan cuma dalam 2 km sahaja. Dekat sangat dan pasti mak dah berada di sana menerima rawatan. Lepas solat Subuh, ana kemaskan pakaian ana untuk beberapa hari, kami bergerak balik ke Teluk Intan berdua. Anak-anak masing-masing di IPTA dan ana tak maklumkan pun sehingga lah Lan sendiri maklumkan dalam group whatsapp keluarga kami.

Anak-anak mula call, risau kan opah mereka. Kak Long tu amat rapat dengan Tok dan Opahnya kerana dia selalu tinggal di kampung ketika menuntut di Tapah, malah dari kecil pun Opah dan Tok yang menjaganya sehingga berusia 5 tahun. Adik pun sama, mak dan abah hanya ada 3 orang cucu kandung sahaja, jadi semuanya kesayangan opah dan tok. Ana suruh mereka berdoa kan kesihatan opah dan apa-apa ana akan updates mereka. 



Dalam perjalanan, abah call bagitahu mak dah di masukkan ke wad untuk pemantauan doktor. Mak dalam keadaan sedar dan abah suruh kami tidak tergesa-gesa dan hati-hati di perjalanan. Lebih kurang jam 9 pagi, kami sampai di Hospital Teluk Intan (HTI) dan minta kebenaran pengawal untuk masuk ke wad kerana di luar waktu melawat. Ana maklumkan, kami baru sampai dari KL dan di minta untuk merekodkan nama dan di benarkan masuk. Terima kasih kepada pengawal yang bertugas.

Mak di tempatkan di Wad 4B, dan kelihatan mak agak lemah dan berbaring sahaja. Mak tanya itu ini juga dengan kami, tanya cucu-cucunya semua okay ke tak? Lega sikit hati kerana mak nampak stabil walaupun lemah. Malam tu, ana teman dan jaga mak di wad. Alhamdulillah mak di tempatkan di bilik kelas 2 kerana Lan menggunakan GL kakitangan awam dan melayakkan kami bermalam di bilik yang agak selesa dengan tandas sendiri di bilik. 

Mak mula makan sedikit demi sedikit walaupun tak berapa selera. Malam tu, ana turun ke cafe dan belikan mak kuih pau. Mak makan sebiji habis. Sepanjang malam di wad mak semakin kembali stabil, setiap jam jururawat datang ambil tekanan darah, pemeriksaan tahap gula dan sebagainya. Malam yang panjang buat ana kerana tak mampu terlelap langsung. Mak tidur agak lena cuma terganggu seketika setiap kali jururawat datang memeriksa.Kemudian mak lelap semula. 

Ana pegang mak setiap kali nak ke tandas, bila mak lelap baharu rasa tenang walaupun ada sahaja kembinbangan selagi belum terbit fajar. Di luar bilik kedengaran mesin-mesin bantuan perubatan berfungsi dan tiba-tiba kedengaran bip nya terhenti. Kedengaran jururawat dan doktor bergegas ke katil tersebut. Ana pasti satu nyawa telah kembali ke pangkuan Yang Maha Pencipta. Begitulah kita, ajal adalah yang paling hampir setiap saat pasti ada yang telah sampai janjinya.

Esok paginya, seawal jam 5 pagi mak dah sedar. Mak nak mandi katanya. Ana pimpin ke tandas, mandikan mak dan siap tukar baju yang di berikan jururawat seawal pagi tu. Selepas Subuh mak tenang di katil, tunggu orang hantar sarapan katanya. Lapar lah tu. Mak makan sedikit air teh dengan roti bakar, mak suruh ana turun beli makanan. Abah dan Lan telefon tanya nak makan apa, rupanya pagi mereka boleh naik seketika untuk hantar sarapan. 

Pagi tu abah ambil giliran teman kan mak, abah suruh ana balik ke rumah mandi dan tukar pakaian dan rehat sekejap sementara tunggu doktor sampai untuk pemeriksaan lanjut. Dalam jam 12 tengahari, kami call abah, abah bagi tau mak dah boleh discaj hari ni. Alhamdulillah. Mak masih di masukkan ubat dan vitamin dan doktor nyatakan mak tidak mengalami stroke tetapi lemah kerana terlalu kurang garam dalam badan.

Allahu, mak ada tekanan darah tinggi, kerana itu mak amat jaga kandungan garam dalam masakannya. Akhirnya kerana kurang garam mak tumbang pula. Apapun, syukur sangat tiada yang serius, tekanan darah normal, jantung semua masih berfungsi dengan baik dan lain-lain kerana itu mak di benarkan balik ke rumah. Lewat petang juga hampir selepas Asar baharu kami dapat surat discaj dari doktor. 

Seminggu ana di kampung menjaga mak. Terima kasih pada suami yang memberi keizinan ana untuk menjaga mak sehingga sihat. Mak kembali sihat cuma kena follow up check-up ke Hospital dan bakal menjalani rawatan fisioterapi mulai 7 Mei nanti.

Allhamdulillah... syukur kepadaMu Ya Allah.. memberikan mak kesihatan semula. Syukur atas segala yang telah dipermudahkanNya sepanjang kami di wad, di rawat dengan sebaik mungkin oleh kakitangan hospital. Ana juga ingin merakamkan ucapan terima kasih buat semua staff dan pegawai perubatan malahan pengawal keselamatan di Wad 4B, Hospital Teluk Intan yang memberikan layanan yang amat baik. Ana memang banyak bertanya di kaunter jururawat kerana ini merupakan kali pertama ana menjaga pesakit di wad. Sebelum ni masuk wad bersalin je sebanyak dua kali. Hihi.

Dan juga terima kasih di atas segala doa dan kunjungan dari saudara mara yang jauh dan dekat. Ramai adik beradik, anak-anak buah mak saudara mara datang menziarah mak ketika di wad mahupun selepas kembali ke rumah. Hanya Allah swt sahaja yang dapat membalas segala kebaikan kalian. Aamiin. 

10 Comments

  1. Alhamdulillah, mak Ana beransur sihat semula. Syukur Ya Allah.

    Kakcik faham perasaan Ana itu...

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah.
    Mudah2an sihat berpanjangan.

    ReplyDelete
  3. Semoga dipermudahkan segala urusan Mak Ana..

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah..SA dah alami perasaan yang sama..sekarang mak SA dialysis

    ReplyDelete
    Replies
    1. SA anak yang baik menjaga kedua ayah bonde sebaik mungkin, Alhamdulillah

      Delete
  5. Alhamdulillah.. Semoga mak kak ana diberi kesihatan yang baik.. Aamiin..

    ReplyDelete