Bolehkah menemani pesakit bermalam di wad
Apa yang bakal ana kongsikan ialah berdasarkan pengalaman ana menemani mak ketika di masukkan ke wad di Hospital Teluk Intan pertengahan bulan yang lepas. Ini pengalaman pertama ana bermalam di wad sebagai peneman. Kalau masuk wad sebagai pesakit tu pernah lah dua kali ketika melahirkan kedua-dua orang puteri 21 & 19 tahun yang lalu. Alhamdulillah..masih diberikanNya kesihatan yang baik.
Memandangkan mak dimasukkan ke wad untul pemantauan doktor selepas dikejarkan ke unit kecemasan HTI kerana jatuh pitam, ana bergegas balik ke kampung bersama suami. Malam tu ana menemani mak di wad 4B, HTI. Dan untuk bermalam sebagai peneman mak, pasti terlebih dahulu ana dapatkan kebenaran dari jururawat yang bertugas. Alhamdulillah, memang kita dibenarkan menemani atau penunggu pesakit di wad. Dan memandangkan wad tersebut wad wanita, hanya SEORANG waris wanita sahaja dibenar kan bermalam.
Untuk memudahkan urusan kita keluar masuk wad khasnya selepas waktu melawat, kita perlu mendapatkan pas ataupun sekeping surat kebenaran dari kaunter jururawat yang bertugas di wad yang menempatkan pesakit yang ingin di jaga. Bukan apa, kadang-kadang kita perlu keluar masuk wad melalui pintu utama di mana akan ditutup oleh pengawal keselamatan yang bertugas. Dengan adanya surat kebenaran ini, tak perlu kita bersoal jawab dah dengan pengawal yang menjalankan tugasnya menjaga keselamatan penghuni hospital.
Pada ana, ini satu peluang yang berharga kerana ana dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak kepada ibunya. Dan hospital kerjaan pastilah ada peraturan yang lebih ketat berbanding dengan hospital swasta kerana mereka perlu menghadapi jumlah pesakit dan pelawat yang ramai dalam satu-satu masa.
0 Comments