Ahad, 29hb April 2018.. Alhamdulillah ana berkesempatan menghadiri satu program B.A.C.A World #NegarakuDigital , anjuran MDEC yang berlangsung di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur. Program perkongsian dari Datuk Yasmin Mahmood yang merupakan CEO MDEC sendiri menyampaikan banyak info-info yang sangat bernas dan membuka minda khasnya di kalangan pelajar sekolah serta ibubapa sendiri. Program mendapat sambutan yang amat baik dari beberapa rombongan pelajar dari pelbagai sekolah dan institut pengajian yang kebetulan hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, turut mengambil tempat untuk sama-sama mendengar penjelasan demi penjelasan dari Datuk Yasmin. 



Antara kupasan yang dapat ana berikan dari program ini ialah yang memperkatakan mengenai teknologi masa kini yang berkembang pesat selari dengan keperluan dunia semasa, di mana masyarakat mempunyai kemudahan untuk menggunakan teknologi untuk meneruskan kehidupan harian. Ada banyak perkara yang berlalu setiap hari menggunakan IT yang telah dicipta. Mahu atau tidak, kita terpaksa menggunakan IT ini kerana ianya bukan lagi satu kemewahan tetapi satu keperluan.





Selari dengan keperluan ini, #MyDigitalMaker diwujudkan agar anak-anak muda yang akan menjadi nadi penggerak ekonomi akan datang di persiapkan dengan pengetahuan untuk membangunkan teknologi-teknologi ini dan bukan sekadar untuk menjadi pengguna. 




Keperluan pekerjaan dalam skop dan bidang yang berbeza akan meningkat selari dengan perkembangan teknologi semasa. Andai kita tidak mengorak langkah untuk sama-sama berada dalam era Ekonomi Digital ini, kita akan ketinggalan dan anak-anak muda kita tidak dapat bersaing dalam dunia pekerjaan akan datang. Datuk Yasmin telah memberikan beberapa contoh kejayaan anak-anak muda dalam negara ini sendiri yang telah berjaya memperolehi pendapatan ribuan malahan puluhan ribu ringgit sebulan selepas menyertai program anjuran MDEC seperti eRezeki dan sebagainya. 




Pereka-pereka atau pencipta aplikasi yang akan di gunakan oleh masyarakat perlu di bentuk agar mereka ini akan menjadi generasi yang menguruskan teknologi sebagai kerjaya mereka, bukan sekadar menjadi pengguna.




Sekumpulan pelajar muda yang digelar Digital Ninjas yang di wakili oleh tiga anak muda yang penuh keyakinan iaitu adik Muhammad Iman dari Sekolah Durian Tunggal, Ayer Keroh, Nurbatrisya Awatif  dan Allysha Amira dari SMK Seksyen 9, Shah Alam turut berkongsi pengalaman mereka bagaimana telah berjaya mencipta aplikasi sendiri.




Para Digital Ninjas ini adalah harapan negara untuk turut sama berdaya saing dalam era Ekonomi Digital. Semakin ramai Digital Ninjas yang boleh di lahirkan, ianya akan memberikan impak yang bagus kepada perkembangan ekonomi negara. 




Untuk itu jangan lepaskan peluang untuk menghadiri satu lagi acara anjuran MDEC iaitu #MyDigitalMaker Fair yang akan berlangsung pada 29-30 September 2018, di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Untuk keterangan lanjut sila layari www.mydigitalmaker.com.




Jika suatu masa dahulu, menggunakan komputer untuk menjana pendapatan mungkin hanya terhad kepada beberapa kerjaya sahaja, kini ianya telah berkembang kepada begitu banyak bidang lain seperti pembangunan aplikasi dan sebagainya. Termasuklah kami, para blogger yang sentiasa menggunakan aplikasi-aplikasi dan bermain dengan media social untuk menjana pendapatan. Terima kasih Datuk Yasmin Mahmood kerana perkongsian yang banyak membuka mata dan minda anak-anak muda untuk lebih terbuka dan berani mencuba di masa akan datang yang lebih mencabar. 



0 Comments