Aidil Adha 2018 Diiringi Airmata Duka
Awal pagi lagi ana dan anak-anak membuat persiapan masak nasi impit, sambal kacang, serunding ikan dan agar-agar bunga rose. Bukan apa, kali ini kami balik pun malam raya sebab suami ana masih bekerja dan habis jam 5 petang nanti. Cadangnya dalam jam 6 lebih nak bertolak. Memandangkan mak tak berapa sihat, adik pun balik tengahari menjelang raya tu, ana dah call mak bagitahu nak masakkan sambal kacang dan nasi impit. Mak pula beriya nak masak rendang ayam pencen. Mujur juga adik ana dan adik ipar dapat juga balik awal, ada lah pembantu mak masak. Masak ayam pencen ni bukan senang, ambil masa berjam juga nak empuknya.
Alhamdulillah, dalam 9:30 malam kami sampai ke Teluk Intan. Itu pun sebab suami singgah masjid Tanjung Malim untuk berbuka puasa Arafah dan solat Maghrib. Lewatlah sikit sampainya. Sedang kami berbual-bual malam raya tu, bapa saudara ana, Cik Mat singgah beritahu isterinya Wan Ani atau kami panggil Wan Tok yang merupakan adik kepada mak ana sedang tenat di wad Hospital Teluk Intan. Dah beberapa hari Wan berada di wad. Wan memang tak sihat lama dah terlantar di katil sahaja selama ni di jagai oleh suaminya sejak bulan Mei tahun ini. Beberapa kali juga keluar masuk wad.
Adik ana, Lan ajak kami ke Hospital Teluk Intan juga malam tu nak ziarah Wan walaupun dah jam 10:30 malam. Boleh masuk katanya kalau dah tenat macam ni, cuma tak boleh masuk ramai lah. Kami pergi berempat sahaja, mak nak ikut pun kami tak bagi sebab mak tak sihat sakit kaki nak berjalan jauh ke wad nanti. Ana, suami, Lan dan abah. Sampai di HTI, Cik Mat masih di sana dan kami masuk berdua selang berdua. Abah dengan Lan masuk dahulu, beberapa lama kemudian baharu lah ana dan suami pula.
Ketika tiba di katil Wan, Allahu.. sedihnya Tuhan sahaja yang tahu. Wan kini bergantung sepenuhnya pada bantuan pernafasan dan dua mesin tekanan darah dan jantung di sambungkan ke tubuh nya yang dah tak bermaya. Wan tidak sedarkan diri. Dan menurut doktor yang merawat, tidak mencadangkan untuk melakukan kejutan jantung atau sebarang rawatan lagi kerana keadaan Wan yang terlalu lemah. Kebergantungan kepada Allah swt sahaja lah pada ketika ini. Sebelum ana turun, Adik Anom sepupu ana dan Wancu, adik mak dan Wan sampai. Kami pun turun kerana tidak boleh berada ramai di katil. Balik ke rumah.
Dalam jam 3 pagi telefon abah berdering. Dapat panggilan dari Adik Anom yang rupanya tidak balik dari tadi bersama Wancu menemani Wan di wad. Innalillahi wainnailaihi rojiun. Wan dah tak ada, Wan dah dijemput Yang Maha Pencipta. Berakhirlah kesakitan yang Wan lalui selama ini. Allahu.. Wan pergi di malam Aidil Adha 1439H.
Sekali lagi abah, Lan dan ana ke HTI jam 3 pagi untuk menguruskan pengambilan jenazah arwah Wan. Sampai di wad 3B, Wancu dan Adik Anom ada di sana. Kami sempat menghubungi saudara mara terdekat untuk memaklumkan berita. Dalam 20 minit kemudian, ketika ana di sisi katil arwah Wan, tibalah dua lelaki petugas membawa perusung untuk membawa jenazah Wan ke rumah mayat HTI mengikut prosedur hospital. Kami mengikut bersama dan setiba di rumah mayat, berjumpa Cik Mat dan Heri anak kedua Wan di sana untuk urusan dokumentasi dan selang beberapa minit sampailah kereta jenazah untuk membawa Wan ke rumah.
Hampir jam 4 pagi, jenazah Wan selamat sampai di rumah dan telah menanti saudara mara terdekat dengan persiapan yang sewajibnya. Jenazah di letakkan di katil di ruang tengah rumah dan bergilir membacakan surah Yaasin sementara menanti Subuh menjelang. Lepas berkumandang azan Subuh ana, mak, abah dan adik balik ke rumah untuk membersihkan diri dan solat Subuh.
Anak-anak yang turut berada di sana tadi, tertidur semula dan jam 8 pagi hanya ana, suami dan abah sahaja yang berkesempatan menunaikan solat sunat Aidil Adha pagi itu. Lan menemani Heri untuk urusan tanah kubur dan sebagainya, mak pula tak berapa sihat dan anak-anak ketiduran. Alhamdulillah, Aidil Adha ana rasa amat sempurna selepas selesai solat sunat Aidil Adha di masjid At-Taqwa.
Selepas menjamah juadah yang telah tersedia, kami terus ke rumah Wan dan ahli khairat Masjid Selabak sedang membuat persiapan mandi dan kafan jenazah. Ana buat pertama kalinya turut memandikan jenazah arwah Wan memandangkan Wan tidak mempunyai anak perempuan. Turut sama tiga menantu Wan, Kak Ita, Hana dan Milah serta Adik Anom.
Selepas di kafankan, di sembahyangkan.. ana menemani Wan buat kali terakhir di dalam kereta jenazah ke tanah perkuburan Islam Durian Sebatang bersama cucunya Akmal dan Cik Mat. Alhamdulillah segalanya di permudahkan Allah swt dan selesai dengan sempurna.Tinggallah Wan di sana sementara kami menanti giliran untuk menyusuri kemudian. Aidil Adha kali ini penuh tiada yang lebih akan di ingati sekadar iringan airmata kesedihan kehilangan seorang lagi ibu saudara yang rapat dan penyayang sangat ketika hayat dengan ana. Al- Fatihah buat Wan, semoga di ampunkan segala dosa dan di tempatkanNya disisi hamba-hambaNya yang beramal soleh.. Aamiin.
8 Comments
Selamat hari raya aidil adha.
ReplyDeleteTakziah buat anak sekeluarga.
terima kasih kak Mala
DeleteSalam takziah kak Ana sekeluarga
ReplyDeleteterima kasih Rodiah
Deleteallahuakhbar. salam takziah..
ReplyDeleteterima kasih CT
DeleteSalam Aidiladha.. Takziah buat AJ sekeluarga..
ReplyDeleteTerima kasih Ejulz
Delete