Selepas ke Muzium Diraja, Istana Negara Lama ( entrinya di SINI ) , kami ke Tugu Peringatan Negara pula. Pertama kali buat anak-anak buah ana Capwan, Hilmi, Faris dan si kecil Hasbi ke sini. Bila bawa wan dan wancu, emosi mereka agak berubah bila berada di hadapan monumen Tugu Negara ni. Banyak yang mak dan mak-mak saudara ana bercerita bagaiman arwah tok bertugas ketika menentang pergerakan komunis ketika itu di dalam Rejimen Askar Melayu Diraja berpangkat Sarjan. Pastinya bila merenung monumen Tugu Negara ni, jiwa patriotik kita akan turut berkobar dan bencinya pada pihak komunis yang kejam untuk mengambil alih kerajaan pada masa itu. 

Walaupun ana sendiri sekadar mendengar cerita dari mak dan keluarga terdekat kerana ketika arwah tok masih ada, ana masih kecil lagi. Arwah tok meninggal dunia pada usi ana cuma 10 tahun aktu itu. Allahu.. tiba-tiba rindu pula pada arwah tok yang selalu manjakan cucunya ni, kerana hanya ana cucunya yang tinggal serumah dengan tok. Semoga arwah tok Saidin sentiasa di dalam kasih sayang Allah swt, di ampunkan segala dosanya dan di tempatkan di sisi hamba-hambaNya yang beramal soleh. Aamiin.



Beberapa fakta mengenai Tugu Peringatan Negara Malaysia, Kuala Lumpur 



Tugu Negara dibina bagi mengenang jasa pahlawan yang berjuang untuk keamanan dan kemerdekaan negara terutamanya sewaktu ancaman komunis. Berdiri megah di dalam kawasan Tugu Negara ialah salah sebuah arca tembaga berdiri terbesar di dunia. Ia diukir dalam tahun 1966 oleh Felix de Weldon yang juga merupakan pengukir monument Iwo Jima di Washington. 


Related image
credit photo : wikimedia


Terdapat tujuh ukiran tembaga manusia di atas batu asas berbentuk segi empat panjang. Setiap ukiran melambangkan satu dari tujuh kualiti: keberanian, kepimpinan, pengorbanan, kekuatan, kesengsaraan, perpaduan dan kewaspadaan.

Ukiran paling atas di bahagian tengah memegang bendera Malaysia. Ia diapit di kiri dan kanan oleh dua lagi askar yang kedua-duanya bersenjata. Ukiran di sebelah kiri bersenjata senapang mesin manakala sebelah lagi memegang rifel dan bayonet. ( kredit sumber : www.malaysia.travel





Merujuk sumber wikipedia menyatakan, Tugu Peringatan Negara (atau juga dikenali sebagai Tugu Negara) telah disiapkan pada 8 Februari 1966 sebagai penghormatan kepada lebih 11 ribu perajurit yang gugur dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), Perang Dunia Kedua (1935-1942) dan semasa Darurat (1948-1960). Ia terletak di ibu negara, Kuala Lumpur berhampiran dengan bangunan Parlimen.

Pada setiap tahun, 11 November, satu perbarisan hormat akan diadakan di Tugu Negara. Tugu tersebut menggambarkan sekumpulan tentera mengibar bendera negara, Jalur Gemilang. Setiap patung gangsa tersebut melambangkan pimpinan, getir, persatuan, siap sedia, kekuatan, keberanian, dan pengorbanan.

Dibina pada tahun 1966, tugu tersebut berdiri setinggi 15 meter, diperbuat daripada gangsa dan direka oleh pengukir Austria, Felix de Weldon yang bertanggungjawab bagi Tugu Peringatan Perang USMC (USMC War Memorial) di Virginia, Amerika Syarikat. Tugu ini juga adalah arca berkumpulan yang tertinggi di dunia.

Mulai 2010, lokasi sambutan Hari Pahlawan dipindahkan dari Tugu Negara ke Putrajaya.Tiada lagi upacara meletakkan bunga dan bertafakur di hadapan Tugu Negara yang dianggap perbuatan syirik dan khurafat. Selama ini upacara memperingati Hari Pahlawan diadakan setiap 31 Julai setiap tahun. Sidang media tentang keputusan itu diberikan oleh Menteri Pertahanan, pada waktu itu , Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Jamil Khir Baharom. Upacara menghormati pengorbanan dan jasa pahlawan negara itu diadakan sejak 1963 .

Keputusan ini sesuai dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berbincang pada 6 hingga 7 Oktober 1987 yang telah mengeluarkan fatwa bahawa ianya adalah amalan yang bercanggah dengan Islam dan syirik.

Serba sedikit fakta mengenai Tugu Peringatan 




Di laluan pintu masuk utama kita akan menemui sebuah monumen seperti tiang tinggi di atas yang di namakan Tugu Peringatan. atau Cenotaph . Beberapa fakta menarik mengenai Tugu Peringatan yang ana perolehi dari rujukan di http://putegha.blogspot.com/2013/08/kenali-tugu-negara-dan-tugu-peringatan.html adalah seperti berikut : 

- Dibina pada 1920-1921 oleh pihak British bagi memperingati tentera-tentera British yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918).

- Lokasi asal ialah di Jalan Tugu (Bulatan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur)

- Asalnya tercatat ukiran "To Our Glorious Death" dan plate logam tertulis "1914 (FMS) 1918" dan diikuti senarai nama tentera British yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama.

- Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, terdapat tambahan ukiran yang menjadikan terukir "1914-1918" dan "1939-1945" (berturut ke bawah) dan tambahan senarai nama tentera British yang terkorban dalam Perang Dunia Kedua.

- Kemudian, selepas tamat darurat, ditempa pula "1948-1960" oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada cenotaph tersebut.

- Kerajaan Malaysia pada 1963 mengambil keputusan untuk menempatkan cenotaph di Kompleks Tugu Negara memandangkan tugu ini mempunyai rekod peperangan yang melibatkan pendudukan Jepun dan darurat menentang komunis di Tanah Melayu selain memberi ruang pembinaan 'flyover' di tapak asal tugu berkenaan.

- Menjelang perasmian Komples Tugu Negara, ayat "Untok Mengingati Jasa Pahlawan-Pahlawan Yang Gugor" diatas "To Our Glorious Death".

- Kini cenotaph secara rasminya dikenali sebagai Tugu Peringatan.





Waktu lawatan ke Tugu Negara ialah mulai dari jam 7 pagi sehingga jam 6 petang. Masuk adalah PERCUMA dan ia terletak di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Berhadapan Taman Botani Kuala Lumpur yang dahulunya di kenali sebagai Taman Tasik Perdana. Salah satu tempat menarik yang wajib di kunjungi jika berada di Kuala Lumpur untuk mengenal sejarah tanahair kita Malaysia yang tercinta. 


4 Comments

  1. Dah lama benar tak singgah melawat Tugu Negara

    ReplyDelete
  2. tak pernah pergi Tugu Negara.. tapi selalu duk tengok dalam tv aboh bercerita kisah pasal tugu biasa la bekas askar ni pengalaman dia lebih banyak dengan kisah penjajah dulu2

    ReplyDelete
    Replies
    1. satu hari nanti ekin bolehlah datang sini kan :)

      Delete