Bila terlihat posting beberapa keping gambar di facebook sehari dua ni, Masyaa Allah.. teringat kembali dunia kanak-kanak ana dulu-dulu. Membesar sebagai anak 80-90an ni terlalu banyak kenangan yang kami lalui yang tidak lagi di alami oleh anak-anak zaman kini. Ketika itu bermain dengan persekitaran yang ada, berkawan bergaduh berebut dan baik semula adalah asam garam persahabatan zaman sekolah. 

Bersekolah rendah di sebuah sekolah kebangsaan aliran Inggeris waktu tu, Methodist Girl School, Teluk Intan atau kami kenali dengan nama sekolah MGS. Rakan-rakan terdiri dari pelbagai kaum dan lapisan komuniti. Masa tu kalau anak cikgu dah di anggap anak orang senang dah lah kan, pergi sekolah naik kereta. Kami yang biasa-biasa ni akan naik bas atau pun ada yang mengayuh basikal sahaja ke sekolah. Masa tu tak ada pula kes jenayah yang banyak, Alhamdulillah. Kalau takut pun takut kena kejar dengan orang tak siuman atau pun di momokkan dengan cerita benggali bawa guni nak potong kepala buat jambatan. Huhu !! Tak tahu lah mana datang cerita tu tapi kalau nampak je benggali atau kaum Sikh ni bawa guni cukup takut ya amat. 


Kami bermain semula ketika reunion dua tahun lepas di sekolah rendah kami 




Dunia kanak-kanak 1980-90an


Bermain dengan persekitaran yang ada bersama kawan-kawan mahupun saudara mara di rumah atau sekolah. Kalau perempuan macam kami ni, main masak-masak, main anak patung kertas, anak patung kain, main aci kejar, aci nyorok dan sebagainya. Kalau di sekolah pula sampailah ke darjah enam main cop tiang, galah panjang, laililai tam plong dan banyak lagi lah permaianan kanak-kanak ketika itu. 

Siap lah kalau kalah ada yang tak puas hati boleh gaduh tau. Tapi tak lah bergaduh fizikal habis kuat merajuk tak nak kawan seminggu. Siap ada simbul guna jari tu putus kawan, adoi. Pas tu nanti elok lah balik, bukan ada kawan lain pun nak bermain kemudiannya. 


permainan teka anak 



Kalau di sekolah dahulu, kami main macam dalam gambar di atas ni. Seorang kawan akan pukul pergelangan tangan dan tekan pada hujung nya. Kemudian timbul lah biji-biji macam dalam gambar tu, entah apa sebenarnya dalam istilah sains pun ana tak tahu :) . Tapi masa tu kami percaya, itulah bilangan anak yang bakal kami dapat bila dewasa dan berkahwin nanti. Haha!! Kelakar kan.. Bukan nya betul pun tak tetap main juga untuk hiburan. 



Buku biodata 


Gambar ini juga satu kenangan buat ana. Kami panggil ni buku biodata. Setiap murid mesti ada buku tebal yang kami balut cantik-cantik, bungkus plastik dan hias muka depannya. Dalam tu setiap pelajar, selalunya pelajar perempuan lah kan, akan di beri buku ini untuk isi dan tulis kan biodata masing-masing. Sibuk sangat nak tahu cita-cita, hobi, makanan kegemaran, warna kesukaan, rancangan tv kegemaran kengkawan.Siap tulis nama best friend lagi, kau. Buku ni biasanya kawan akan bawa balik dan deko-deko lah pada muka surat yang depa tulis biodata tu. Sampailah ke zaman sekolah menengah ana masih ada buku ni. Tapi masa tu dah advance sikit sebab ada kawan-kawan yang siap gam gambar masing-masing. Alhamdulillah sampai hari ini ana masih simpan gambar kawan-kawan dengan baik, cuma buku tu dah hilang di telan zaman. 


Permainan Nama Negeri 


Ini juga salah satu permainan dalam kelas masa di sekolah dahulu. Ana panggil main nama negeri. Habis koyak buku latihan sebab nak main nama negeri ni. Selalunya kami koyak di bahagian tengah sebab tak lah tertanggal muka suratnya. Hehe :) Buat lah beberapa kolum dan atas tu tulis tajuk Nama, Negeri, Buah, Binatang, Benda dan lain-lain. Selalunya lima kolum sahaja sebab satu kolum jawapan yang berlainan adalah 20 markah , jadi lima kolum markah penuh 100 markah lah. Kalau sama dua orang kawan jawapannya jadi 10 markah seorang dan kalau 3 dan selebihnya sama kongsi lah 5 markah seorang. Setiap pemain akan bergilir memberi satu huruf dan pemain ni kena lah isi mengikut kategori dengan huruf pertama dari abjab yang di beri tu. Contoh kalau di beri huruf A, Nama - Anis, Negeri - Amerika, Buah-Anggur, Binatang - Arnab dan Benda - Almari.. dan seterusnya. Makk Aii!!! Throwback sungguh kan. 

Begitu lah coretan kenangan kami zaman anak-anak 80-90an tanpa sebarang gajet. Main lah dengan apa yang ada. Dan ia akan kekal jadi kenang-kenangan hingga ke akhir hayat. Ada ketika nya rindu itu datang menjengah emosi dan kenangan silam kembali mengisi ruang hati.