Alhamdulillah.... segalanya telah selamat dan dipermudahkan Allah swt untuk anak sulung kak ana, kak long bersalin pada 10hb Ogos 2023 di Hospital Cyberjaya. Bagaimana dia dapat bersalin di Hospital Cyberjaya ada kak ana kongsikan di SINI untuk pengetahuan mereka yang bercadang nak bersalin di sana. 


menu dalam pantang
sup daging, ikan selar air fryer, limau sunkist, nasi putih panas dan air suam


Selepas sahaja discaj keesokkan harinya, baby H masih ada di NICU untuk pemantauan doktor kerana semasa bersalin kak long mengalami masalah keputihan di akhir trimester. Alhamdulillah semalaman sahaja, kemudian baby H discaj dan terus balik ke rumah kak ana untuk tempoh berpantang.

Sejujurnya, kak ana sendiri tidaklah pandai dalam menjaga dan menguruskan anak waktu berpantang ni. Bukan apa, waktu kak ana melahirkan kedua-dua puteri, semua kaedah berpantang di jaga dan di uruskan oleh arwah mak dan arwah opah di kampung.


menu dalam pantang
masakan dari besan - ikan tenggiri masak asam nasi putih panas bersama bawang putih 


Waktu tu kak ana cuma jaga baby dan ikut sahaja segala telah di siapkan oleh mak dan opah. Dari menu makanan, berurut, mandi , tangas dan segalanya lah. Relakan diri sahaja selama 44 hari di kampung dahulu dan mudah pula nak dapatkan bahan-bahan penjagaan berpantang kerana arwah opah kak ana seorang bidan kampung.


menu dalam pantang
bubur nasi kosong dan ikan bilis air fryer bersama bawang putih dan taburan lada hitam 


Ni tiba giliran kak ana menjaga kak long, banyaklah kak ana membaca info di internet, bertanya pada sepupu-sepupu dan kawan-kawan rapat di whatsapp dan juga bertanya dengan besan, Ida dan jiran, Zura. Alhamdulillah.. selain dari kena demam denggi waktu dalam pantang, selebihnya semuanya baik-baik sahaja hingga ke hari ke 44. 


menu dalam pantang
ikan siakap masak asam bersama halia, bawang putih dan lada hitam 


Menu-menu dalam pantang


menu dalam pantang
ikan bawal kukus bersama halia dan bawang putih taburan serbuk lada hitam 


Sebagai blogger , macam biasa apa sahaja yang kak ana rasakan ada manfaat buat semua, kak ana akan cuba kongsikan pengalaman kehidupan ini. Cuma kak ana nak tegaskan disini, kaedah pantang yang kak ana lakukan pada kak long tidak lah terlalu ekstrem tradisional tetapi tidak juga terlalu moden. 

Apa sahaja yang tidak memudaratkan kesihatan kak ana ikutkan sahaja. Contoh dari segi pengambilan air, tidak ada had untuk minum air banyak mana pun tetapi kak ana akan pastikan kak long minum air suam dan bukan air sejuk walaupun air coway, kena suam kan.


ikan selar masak asam dan ikan bilis bawang putih air fryer 


Begitu juga dengan memilih menu, di awal berpantang, kak ana masih tidak memberikannya makan menu ayam dan telur hingga lah lepas jahitan luka dan sembuh sepenuhnya selepas di periksa jururawat yang datang ke rumah, baharulah kak ana berani memberikannya. 


menu dalam pantang
ikan bawal mas bakar  dan nasi putih tabur lada hitam 


Pilihan ikan juga kak ana bertanya dan dapatkan info di internet , ikan apa yang sesuai untuk orang dalam pantang. Bila kita bertanya ni , kadang-kadang kita akan keliru dengan pelbagai jawapan yang kita terima, jadi kak ana akan buat kesimpulan dengan lojik akal, ikan apa yang tidak bisa dan gatal. 

Kak ana juga masakkan menu masakan berkuah untuk kak long, kerana kalau makan menu yang kering sahaja seperti ikan bakar , pasti tak berapa selera pula kan. Kalau tak makan tentu badan tak kuat dan bertenaga dan lambat sembuh. 

Kak ana tukar-tukar jenis ikan, tukar-tukar menu masakan dan akan beri buah seperti limau sunkist, buah pear dan epal untuk memberikan vitamin C padanya. Ini juga untuk mengelakkannya dari mendapat sembelit sebab azab sembelit dalam pantang, Tuhan sahaja yang tahu, cuaknya lepas bersalin kalau sembelit ni. 


menu dalam pantang
nasi putih , lobak putih masak lemak bersama lada hitam , ikan siakap air fryer 


Itu juga sebab kak ana tak halang dia untuk minum air lebih kerana risau sembelit dan kekurangan air. Tambah lagi waktu kena denggi waktu tu, doktor memang suruh minum air lebih untuk pemulihan. Jadi air suam memang kak ana suruh dia ambil lebih dalam sehari. 

Untuk sarapan pagi, selalunya kak ana bancuhkan milo atau horlicks. Ada pendapat yang mengatakan teh dan kopi boleh berangin badan dan tak tahan. Untuk jalan selamat , kak ana beri dia milo dan horlicks sahaja bersama roti bakar, roti butter, roti-roti yang di beli di kedai dan juga kuih . 


sarapan dalam pantang
roti bakar butter dan air milo atau horlicks


Selalunya kak ana beri kak long kuih donut, kuih talam dan bihun goreng singapore tanpa rencah udang kering . Cuma waktu dalam pantang, kak ana kurang berinya sayuran kerana takut sejuk dan berangin. Sebab itu kak ana gantikan dengan buah-buahan sebagai sumber vitamin C dan serat.

Antara ikan yang kak ana beri makan kak long antaranya ikan siakap, bawal mas, bawal hitam dan putih, ikan selar, ikan cencaru, ikan kerisi, ikan tenggiri dan ikan bilis. Daging dan ayam kak ana beri selepas 2 minggu macam tu. 


makanan dalam pantang
buahan kering seperti buah tin, apricot dan kismis 


Kak ana juga berikan serat dari makanan sunnah kering yang kak ana beli di Mahnaz Food. Macam buah apricot, buah tin dan kismis. Memang bagus untuk penghadamannya selain buah-buahan segar. 

Kalau resepi masakan dalam pantang , selalunya kak ana kukus, singgang, masak asam, rasem, bakar atas kuali atau pun menggunakan air fryer dan dah hujung-hujung kak ana goreng. Yang penting dalam setiap resepi masakan ni, kak ana masukkan lada hitam, bawang putih dan halia yang banyak, untuk mengelakkan kan angin .


masakan dalam pantang


Rasanya setakad ini sahaja yang sempat kak ana coretkan untuk perkongsian dengan korang semua. Sekiranya ada pertanyaan boleh letakkan di ruang komen, tak banyak yang kak ana sempat ambil gambar menu , mana yang dann jer dapat ambil gambar hehe :)


makan ayam dalam pantang
ayam goreng taburan halia, bawang putih dan lada hitam , sedikit kicap untuk rasa - hat ni dah sebulan baru kak ana bagi makan goreng berkicap..


Setiap kita ni lain penerimaan makanan dalam tubuh badan. Mungkin pada sesetengah orang makanan ini sesuai dan pada sesetengah orang pula memudaratkan. Ikutlah keserasian tubuh masing-masing dan banyak bertanya pada yang lebih berpengalaman. 

Terima kasih pada semua yang membantu kak ana setiap kali ada pertanyaan di whatsapp , juga kepada besan sama masakkan dua tiga menu untuk kak long serta jiran kak ana, Zura yang masakkan sup daging untuk kak long. Semoga semua di dalam perlindungan Allah swt, diberikanNya kesihatan yang baik dan selamat sehingga habis tempoh pantang.. Aamiin. 










4 Comments

  1. Sedapnya lauk orang ebrpantang ni kan...terus rasa nak pantang..eh..nak makan lauk orang pantang..wakakaka

    ReplyDelete
  2. masakan org berpantang mudah saja tapi sedap

    ReplyDelete
  3. Sayur sawi biasanya ok je untuk orang berpantang. Macam kobis ada setengah orang tak boleh makan. Kalau kat hospital semua sayur dibagi je.

    ReplyDelete
  4. menu berpantang mmg menu yang paling Liez suka.. terutama ikan tenggiri masak ladi hitam, ikan bilis goreng asam...

    ReplyDelete