Menghampiri penghujung Syawal 2026 ketika entri ini kak ana terbitkan. Baru nak mengasah kembali penulisan dan perkongsian nampaknya. Dah hujung-hujung raya ni, selalunya kita mulalah menghabiskan biskut-biskut raya yang berbaki.
Tahun ni sama seperti tahun-tahun yang lalu, kak ana memang tidak membeli atau menempah biskut raya. Kecuali sebalang semperit tradisional dari sepupu dan selainnya pemberian hamper raya dari pejabat suami serta sebalang tart nanas kerang pemberian besan.
 |
| kuih raya dulu-dulu |
Kuih raya tradisional lama
Sambil duk perabih biskut raya satu persatu kak ana dapati tahun ni sepanjang beraya di kampung dan juga di sini, tak banyak dan tak jumpa dah pun biskut raya orang dulu-dulu seperti kuih bangkit atau kuih bakar, kuih bahulu, biskut makmur, halwa agar-agar, wajik mahupun dodol.
Ya! Sungguh tak nampak dah di hidangkan di rumah-rumah saudara mara atau pun kawan-kawan. Kebanyakannya biskut-biskut moden yang comel dan cantik-cantik serta sedap lah kan. Antaranya biskut chocolate chips, almond london, tart nanas dan sebagainya lah..
Kak ana rasa lah kan, kebanyakan biskut raya sekarang ni orang tempah atau beli yang ready made. Jadi apa yang banyak permintaan itulah yang di tawarkan kepada pembeli. Lagipun orang sekarang ni kebanyakannya bekerja jadi tak dan lah nak membuat sendiri biskut raya di rumah.
 |
| dodol tradisional |
Generasi masa kini pun telah di besarkan dengan biskut-biskut moden. Biskut-biskut raya lama tak banyak dah yang mengenalinya. Lama kelamaan ia semakin pupus dan di lupakan. Tambahan pula untuk penyediaan membuat kuih-kuih raya lama ni bukan mudah.
Contohnya dodol dan wajik. Dua sajian wajib dahulu tiap kali raya. Arwah mak saudara dan pak saudara kak ana pasti akan usahakan juga menyiapkan dodol dan wajik tiap kali menjelang hari raya. Proses pembuatannya bukan lah mudah.
Wajik di buat daripada pulut di tanak terlebih dahulu, kemudian di kacau pula bersama gula merah. Tak boleh berhenti kacau , nanti ia akan berkerak dan keras. Ambil masa juga lah nak masakkannya betul-betul sempurna. Rasa manis leting :) Kurang di minati oleh golongan muda termasuk lah kak ana dahulu pun tak menggemari makan wajik nih.
 |
| semperit tradisional |
Sama juga kisahnya dengan penyediaan dodol. Dodol perlukan banyak tenaga untuk di siapkan. Waktu kak ana kecil dahulu, arwah pak saudara akan adakan aktiviti kacau dodol ni beberapa hari sebelum hari raya. Memang mencabar lah..
Dah lah di lakukan waktu siang di bulan puasa. Kena pula duk tepi api mengadap kawah besar untuk mengacau dodol. Dari pagi sampai dekat Asar barulah nak siap kacau. Memang lah biasanya ramai sepupu-sepupu lelaki dan pak pak saudara berkumpul mengacau tapi waktu dodol masih cair lah.
Bila dah mula pekat, tinggal lah hat tua-tua yang terus kan mengacau sampai siap , hat muda-muda hilang seorang demi seorang. Kenangan mengusik jiwa sungguh bila di ingati kembali.. Allahu Rabbi.. Terima kasih atas pinjaman pengalaman usia ini..
 |
| kuih putu kacang |
Begitu juga dengan penyediaan kuih-kuih tradisional lama yang lain. Seperti kuih putu kcang di dalam gambar di atas. Hat tu kawan kak ana yang bawa sewaktu dia beraya ke rumah hari tu. Bukan mudah juga menyediakannya.
Kalau zaman 1980-90an dahulu, kacang hijau tu di sangai kemudian di tumbuk halus untuk menghasilkannya. Di terap dalam acuan kayu berukir kemudian di jemur di panas matahari. Begitu juga kuih bakar, kuih bahulu dan sebagainya.
Semperit tu boleh di katakan agak moden jugalah tetapi resepi tradisional dahulu masih sama. Paling azab nak menekan acuan bunga tu. Sakit lah ibu jari. Cuma beza laa nih boleh di bakar di oven berbanding ketika kak ana kecil-kecil dahulu , masih ingat arwah mak dan mak-mak saudara menggunakan bara api dan tin biskut di jadikan oven kerana sekitar tahun 1980-an kebanyakan rumah belum beroleh bekalan letrik.
Semua itu menjadi memori untuk kak ana kenangi hingga ke akhir usia. Zaman itu raya adalah sesuatu yang sangat di nanti-nantikan, kerana hari raya lah dapat salinan baju baru selalunya 2 pasang dan sepasang kasut baru.
Raya juga dapat duit raya, berjalan-jalan ke rumah saudara mara dan kawan-kawan sekolah. Seronok menghias rumah, jahit langsir dan pasang kusyen di malam raya. Dan paling syok bila dengar lagu-lagu raya dan menonton filem-filem serta rancangan hiburan di tv bila adanya artis-artis kesukaan.
Itulah kan, kisah dulu-dulu, raya cara kami di kampung Teluk Intan, Perak. Kak ana sentiasa bersyukur kerana di rezekikanNya melalui pengalaman zaman berzaman yang berubah di depan mata. Hari raya kini juga tak kurang meriahnya, cuma lain lah kisahnya...
5 Comments
Sepupu Cie jual dodol. Sedap dodolnya. Kakak Cie beli masa raya hari tu. Memang jarang pun jumpa kuih lama2. Kebanyakkan semua biskut moden je.
ReplyDeletetapi generasi lama macam saya ni kalau ada nampak hidangan kuih raya zaman kita membesar tetap dahulukan yang itu,dah tak pandang biskut moden
ReplyDeleteSaya masih menyintai kuih tradisional, terutama dodol yang sekain sedap rasanya.
ReplyDeleteDodol dengan wajik agak manis, kurang sesuai bagi yang ada penyakit. Nak buat agar-agar kering pun risau kerana manis juga.
ReplyDeleteBetullah... Kalau kat bandar ni biasanya kuih yang dijual banyaknya kuih moden. Kalau kat kampung barulah dapat jumpa kuih lama seperti bauhulu, dodol, putu kacang dan lainnya.
ReplyDelete