Nostalgia Kuih Raya Tradisional

by - Monday, July 17, 2017

Banyak sebenarnya nostalgia terpahat tahun demi tahun yang diberi olehNya menyambut Hari Lebaran tahun demi tahun sambil meniti usia ni. Segalanya bagai terimbas kembali satu persatu setiap kali menjelmanya Hari Raya. Pelbagai kenangan silam bermain di benak fikiran. Banyak lainnya sambutan Aidil Raya dahulu dan kini. Begitulah putaran masa meniti usia. Dari zaman kanak-kanak lagi betapa ghairahnya menanti ketibaan Syawal, kemudian beralih ke zaman muda remaja, seronok dengan persiapan sambutan Syawal, melangkah ke alam perkahwinan pula, bahagianya beraya bersama suami tercinta dan kini sebagai ibu pula segala persiapan lebih kepada anak-anak dari diri sendiri.

Alhamdulillah, banyak yang telah dilalui dalam kehidupan ini dengan izinNya. Alhamdulillah masih berkesempatan beraya bersama keluarga tersayang walaupun tahun demi tahun yang di lewati, seorang demi seorang ahli keluarga terdekat telah tiada lagi disisi meraikannya bersama, dan yang tinggal hanyalah sisa kenangan lalu yang akan terus dikenang selagi hayat di kandung badan. Dan kali ini ana nak berkisah tentang nostalgia dua jenis kuih raya tradisional yang begitu dekat di hati. Kuih bahulu dan kuih bakar atau ada setengah tempat memanggilnya kuih bangkit.

Kuih Bahulu dan kuih Bakar kuih tradisional Melayu 



Dua jenis kuih tradisional Melayu yang paling sinonim dengan sambutan Aidil Fitri ni sangat dekat dan penuh nostalgianya pada ana. Dua jenis kuih raya ini lah antara menu wajib sajian raya kami sekeluarga dari dahulu lagi. Bukan mudah dahulunya untuk menyiapkan dua sajian tradisi ini. Tak dapat ana bayangkan kalau ana lah yang perlu membuat persiapan membuat kuih tradisional ini sendirian masa kini, memang tak akan menjadi lah nampaknya. Dahulu jauh berbeza cara nak buat kuih bahulu dan kuih bakar ni. Segalanya memerlukan kudrat dan kekuatan semangat yang kuat untuk terhasil.

Namun itu bukanlah alasan, kerana sesukar mana pun situasinya ketika itu, namun tetap menjadi juga sebagai sajian di pagi raya. Amat menyentuh hati bila ana terpandang dua jenis kuih ini, akan pasti teringat arwah ibu saudara ana, Wan Esah yang gigih menyediakan dua jenis kuih ini setiap tahun. Bukan sedikit pula bila membuatnya paling tidak dua ratus biji nak disiapkannya. 



 Allahu..ketika itu ana masih kecil lagi dalam usia di sekolah rendah begitu sekitar tahun 1980-an, bukan mudah nak buat kuih raya ketika itu. Rumah arwah tok tak punyai bekalan elektrik lagi ketika itu, jadi nak buat kuih raya dengan bakar membakar ni segalanya dilakukan secara manual, dari proses memukul telur hinggalah membakarnya. Berasap satu rumah kerana teknik membakar kuih raya ni dibuat dengan kayu arang dan sabut kepala. Menggunakan periuk api bawah dan atas di alas dengan pasir kemudian di alas dengan tin yang dibakar dengan arang dan sabut. Kalau ana ceritapun pasti anak-anak generasi masa kini tak dapat nak bayangkannya.

Dari mula memukul telur pun menggunakan alat pemukul telur yang berat di dalam pasu tempayan. Berjam jugalah memukul telur untuk membuat kuih bahulu ni. Begitu juga nak membuat kuih bangkit, proses menguli tepung juga cukup mencabar, dah laa waktu tu bulan puasa, dengan kudrat yang adalah arwah Wan dan ibu saudara yang lain bergotong royong menyiapkan kuih raya. Ana..masa tu paling kuat pun tukang titik pencelup merah pada tengah kuih bangkit sahaja la sebagai tatariasnya. Yang lain memang sekadar tukang pandang je, dan paling best masa tu masih kecil lagi, kalau tak puasa tu, hat yang reject tu kami mamam lah kan... sungguh seronok masa tu berkobar-kobar nak sambut raya. 

Boleh dikatakan hampir kesemua kuih tradisional lama ni takmudah untuk di siapkan. Tak kurang hebat juga cabaran mengacau dodol, wajik, kuih putu kacang dan macam-macam lagi lah dan kesemuanya memerlukan kudrat tenaga upaya yang gigih untuk di siapkan. Alhamdulillah, dunia kian maju, kini segalanya semakin mudah dengan pelbagai peralatan moden yang mempercepatkan penghasilan kuih muih. Dan paling senang, sekarang ni sediakan sahaja wang, order dan beli, senang kan.

Namun semua itu kini tinggal catatan memori silam yang akan ana bawa hingga ke akhir hayat. Ramai ibu saudara dan bapa saudara kini tiada lagi disisi kami untuk sama-sama menyambut keriangan Aidil Fitri. Yang tinggal kini cuma pusara sebagai tanda untuk kami ziarah dan sedekah Al-Fatihah dan diiringkan doa semoga roh mereka sentiasa di dalam keampuanMu jua, Ya Rabb. Al-Fatihah.. 



You May Also Like

8 comments

  1. nyummeh !! sambil update blog, pun best mengunyah ni.. hee~

    ReplyDelete
  2. Memang sedap kuih tradisional bakar dan buat sendiri

    Ingat lagi dulu pukul telur berjam lamanya

    ReplyDelete
  3. buat pula dgn tangan..dulu2 xde mesin mcm2 mcm skrg..huhu

    ReplyDelete
  4. bahulu ceremai tu memang lagend.. bagi Ain bahulu paling sedap di dunia ni hanya yang dibuat homemade oleh Mak Long ain sendiri.. di bakar dengan dapur kayu.. memang tiada tandingan..!! :)

    Al-Fatihah buat yang telah pergi.

    ...

    ReplyDelete
  5. Susah dah nak jumpa baulu homemade bakar dengan arang atau sabut. Teksturnya yang padat, wangi & garing. Adoi....mana nak cari lagi la ni...

    ReplyDelete
  6. Kalau bakar dengan dapur arang atau sabut lagi nostalgia

    ReplyDelete
  7. setuju. kuih tradisional mmg susah nak buat. kagum dengan org org dulu yang boleh buat semua kuih nie.

    ReplyDelete
  8. My feveret kuih bahulu ni kak anak. ANak-anak pon suka jugak. Dulu mak buat dan bakar sediri kuih bahulu. Bukan pakai oven. Tapi tradisional punya style. Sedap betul dapat makan kuih bahulu fresh2 dan panas. Rindunya zaman dulu ☺

    ReplyDelete