Resepi apam nasi mudah



Comel tak apam berwarna terlajak pink ni? Ini hasil seni ana dan adik Ika Sabtu lepas, selepas mendapat resepi dari adik sepupu ana, Ija yang menyuruh ana mencuba sendiri apam nasi, satu resepi yang sangat mudah dan ringkas untuk di sediakan.Bahan-bahannya juga memang sentiasa ada di rumah dengan bahan utama ialah nasi sejuk.Nasi sejuk ye, bukan nasi basi tau... nasi sejuk yang masih elok.Jom ana kongsikan resepi ringkas ini, mana tahu petang ni juga boleh kita sajikan buat anak-anak.


Bahan-bahan apam nasi

2 cawan nasi sejuk
2 cawan tepung gandum
2 cawan tepung beras
1 1/2 cawan gula
2 1/2 cawan air
2 sudu yis
pewarna
Kelapa parut (untuk sajian)

Cara-cara menyediakan apam nasi

~Blend nasi sejuk dengan air hingga hancur, seperti menyediakan bubur nasi bayi tu.
~Masukkan gula dan blend semula.
~Ayak tepung gandum,tepung beras dan campurkan yis.Masukkan adunan yang telah di blend tadi ke dalam campuran tepung dan gaul sebati.Masukkan pewarna mengikut kesukaan masing-masing.
~Perap selama 3 jam sehingga adunan naik sekali ganda.


Adunan yang telah digaul sebati, direhatkan selama 3 jam

~Selepas adunan naik dan gebu, sudukan ke dalam acuan kuih lompang yang telah disapukan minyak supaya ia tidak melekat apabila kita keluarkannya nanti.
~Kukus didalam pengukus dan pastikan menutup acuan dengan kain atau ana menggunakan alluminium foil supaya apam nampak cantik dan gebu.Ini untuk mengelakkan titisan air kukusan masuk ke dalam adunan kuih yang sedang dikukus.
~Keluarkan dari acuan dan sajikan bersama kelapa parut yang di campur secubit garam.
~Selamat mencuba resepi mudah ini.


Adunan selepas direhatkan akan naik gebu dan lembut