resepi kuih sagu

Dalam mengharungi cuaca panas sepanjang beberapa bulan ni, antara menu makanan yang menjadi kegemaran ramai pastinya kuih-muih yang sejuk-sejuk kan. Bukan apa buat penambah selera di petang hari ketika suami dan anak-anak ada di rumah. Nak goreng menggoreng, kita sendiri pun dah tak larat nak menghadap api lama-lama. 


Puas juga memikirkan menu demi menu yang hendak di sajikan buat minum petang sekeluarga. Kadang-kadang teringat semula kuih muih tradisional yang selalu mak-mak kita buat ketika kita masih kecil atau tinggal bersama mereka. Antara yang sering mak ana buat ialah kuih lompang atau kasui, kuih seri muka, kuih talam dan juga kuih sagu merah ni. Dulu kami panggil kuih ni kuih golek gelantang. Sebab apa, sebab kuih ni kan lembik longlai, bila nak makan kita kena golek-golekkannya atas kelapa parut. Maka jadilah namanya kuih golek gelantang. Maksudnya dalam bahasa Perak, golek sakan lah lebih kurang :) 

Ana membuat kuih sagu ni sebenarnya tanpa sukatan. Main agak-agak sahaja. Namun ana kongsikan resepi nya disini yang di ambil dari blog Azie Kitchen (kredit resepi). Mungkin boleh membantu mereka yang ingin mencubanya kelak. 

Resepi kuih sagu 

Bahan-bahan :
 

3 cawan air
1 cawan sagu
3/4 cawan gula pasir
Beberapa titik sirap perisa rose dan pewarna merah.
Kelapa parut di gaul dengan garam

Cara-caranya :

Didihkan air bersama perasa sirap hingga mendidih. Bila air dah telah mendidih baru masukkan sagu. Kacau rata selama 10 minit.

Kemudian bila dah nampak pekat sikit, baru dimasukkan gula pasir. Kacau sehingga pekat.

Bila dah likat sikit, masukkan ke dalam loyang untuk dikukus. Kukus sehingga sagu kembang dan tiada lagi putih putih (dalam anggaran 20 - 30 minit).* Ada juga yang tidak perlu mengukusnya, jika sagu yang masak telah jernih sepenuhnya.

Sejukkan sagu di luar. Bila kuih masih lembap, potong ikut citarasa and gaulkan bersama sama kelapa putih. Siap untuk dihidangkan.