Dah lama sebenarnya ana mencari tudung saji tradisional atau salah satu alatan tradisional Melayu lama ni. Kalau di Perak ni, kami panggil 'sangei'. Tudung saji fesyen lama ni semakin hari semakin pupus di telan arus permodenan. Mungkin dah tak relevan lagi dengan genarasi muda masa kini, namun ana sebagai pencinta khazanah Melayu Klasik, teringin sangat untuk memiliki koleksi peribadi sendiri suatu hari nanti,dengan izinNya jua. 

Berhari raya ke rumah keluarga adik ipar ana, Julia Alisya di Taman Karentina baru-baru ni, ana terpandang sepasang tudung saji lama atau sangei' ni di dinding rumah Makcik Lamah. Tertarik sungguh dan ana abadikan gambarnya sebagai kenang-kenangan disini.

Tudung Saji  atau Sangei'


sangei


Ini lah salah satu tudung saji tradisional Melayu lama yang tergantung di dinding rumah Makcik Lamah. Cantikkan, ada seni hiasan yang bermotifkan bunga yang menjadikannya amat unik dan tradisi. Jika dahulu, tudung saji ini menjadi satu keperluan di setiap rumah untuk menutup sajian makanan yang terhidang diatas tikar atau meja makan. 


Masih ana ingati, mak ana sendiri memiliki beberapa buah tudung saji lama sebegini. Pelbagai warna dan corak motif bunga yang cantik-cantik menjadi pilihan mak. Biasanya hiasan pada tudung saji ini, dibuat daripada tali rafia berwarna-warni yang diisi kapas didalamnya membentuk motif bunga. Tidak kurang juga guntingan  kain baldu yang dijahit pada badan tudung saji.

Tudung saji lama kalau tidak salah ana diperbuat daripada anyaman daun mengkuang. Dibentuk rangkanya daripada raut buluh kemudian di alas cantik dengan kain satin berwarna sebelum didekorasi dengan pelbagai motif bunga-bungaan.Lama benar ana tidak melihat pelbagai koleksi tudung saji yang cantik sebegini.



sangei


Dari tinjauan maklumat yang ana perolehi daripada rakan-rakan di Facebook ketika ana menanyakan di mana boleh ana perolehi semula tudung saji lama sebegini, ramai yang mengatakannya ia ada dijual di Kampung Gajah atau Kuala Kangsar,Perak. In shaa Allah, jika ada rezeki ana, pasti akan menjadi koleksi peribadi suatu hari nanti. Memang teringin sangat nak memilikinya. 

Kebanyakan rumah masa kini, tidak lagi memilih tudung saji sebagai pelindung sajian makanan. Kita lebih gemar menggunakan tudung saji dari plastik yang ringan dan murah di pasaran. Tudung saji kini  menjadi salah satu alatan tradisional yang semakin dilupakan. Terpulanglah pada setiap individu itu sendiri untuk memperingati pelbagai alat-alat kegunaan tradisi Melayu lama sebagai tinggalan khazanah peradaban lama.Waallahu a'lam ..