Resepi kek mentega sukatan cawan

Dah hampir setahun lebih ana tak mem baking kek. Sejak mixer yang dah ana gunakan hampir sepuluh tahun tu rosak, dan asyik bertangguh nak gantikan dengan yang baharu, memang sejak tu dah tak buat kek. Pernah juga try buat kek guna blender tapi tak berapa cantik kejadiannya. Kalau untuk kek kukus saiz kecil tu boleh lah tapi kalau nak kek besar dan menggunakan teknik bakar, mixer masih di perlukan untuk mendapat hasil kek yang cantik gebu geban. 



Sempena menyambut ketibaan Syawal ni, hasil kumpul duit job dari blog berjaya juga ana dapatkan mixer baharu. Itupun ana beli seminggu lagi nak raya bila terfikir nak buat kan kek untuk mak dan mak saudara ana di kampung. Kesian kat wan yang dah uzur tapi tetap nak kan kek raya, kadang-kadang malam raya baharu nak pukul telur buat kek. Ni ana dah pesan ana akan siapkan dua biji kek untuk mak dan dua biji kek untuk wan dan wancu. Alhamdulillah.. menjadi juga empat biji kek untuk ana bawa ke kampung halaman di Teluk Intan, untuk santapan tetamu di hari lebaran yang lalu. 


Ana nak kongsikan di sini satu resepi asas kek mentega atau " butter cake " asas dalam sukatan cawan yang sangat mudah dan basic. Resepi ni peninggalan arwah ibu saudara ana, we Teja. Dan resepi we ni memang menjadi dan sedap. Ana ni agak old school sikit, sebab ana dahulu sebelum ada blog akan tulis sendiri resepi ni dalam buku resepi sampai kuning dah buku tu akan jadi rujukan. Sekarang ni ana akan terbit kan di blog dan esok-esok nak cari mana-mana resepi Google balik resepi di blog sendiri, kan senang. 




Meh la, untuk sebuah perkongsian resepi kek mentega dengan sukatan cawan yang mudah. Dari base ni korang boleh sahaja jadikannya kek pelangi ke, kek coklat ke atau pun marble kek. Bahan asas nya sama sahaja dan ianya dalam saiz loyang besar ( 10 " kalau tak silap ana )  dan Alhamdulillah naik cantik dan gebu geban dengan teknik pembakaran yang betul. 

Resepi kek mentega sukatan cawan 


Bahan-bahan :

3 cawan tepung kek ( Ana selalu gunakan Tepung Blue Key )
1 1/2 cawan gula kastor 
1 1/2 cawan mentega 
6 biji telur saiz sederhana 
1 penutup botol Esen Vanilla 



Cara buat kek mentega @ butter cake 


1. Pukul gula kastor bersama mentega sehingga menjadi ringan dan berwarna putih. Ana gunakan mixer kelajuan medium. 




2. Pecahkan telur sebiji demi sebiji di dalam mangkuk lain terlebih dahulu dan masukkan ke dalam adunan gula dan mentega yang telah di pukul tadi. Terus mix sehingga adunan nampak ringan dan putih. Masukkan satu penutup botol esen vanilla . 




3. Ayak kan terlebih dahulu tepung kek dan masukkan sedikit demi sedikit ke dalam adunan kek yang siap di pukul. Sekiranya korang nak buat marble kek, bahagikan adunan kepada dua bahagian dan satu bahagian campurkan dengan bancuhan serbuk coklat. 

4. Griskan loyang pembakar dengan mentega dan taburkan sedikit tepung kek untuk menggelakkan kek masak melekat pada loyang. Atau boleh juga korang alas dengan baking paper sahaja agar mudah untuk di terbalikkan kek nanti. 

5. Masukkan adunan kek ke dalam loyang pembakar dan jangan ratakan adunan tetapi hentak-hentak sedikit loyang agar adunan merata ke seluruh loyang secara sendiri. 





6. Panas kan suhu oven terlebih dahulu sebelum memasukkan adunan kek. Ana menggunakan oven jenama Khinn dengan larasan suhu 175'C , menggunakan api atas bawah dengan kipas. Letakkan loyang di bahagian paling bawah oven. 






7. Tetapkan timer pada tempoh masa 45 minit dan bila dah hampir 45 minit, ana cucuk bahagian tengah adunan kek untuk mempastikan ia benar-benar telah masak atau tidak. Sekiranya kita cucuk dengan lidi kek masih basah dan melekat adunan bermakna kita perlu tambah masa lagi dalam 10-20 minit dan kemudian check semula. 




8. Nampak tak kesan kena cucuk pada bahagian atas kek ana tu hehe : ) . Bila dah masak, tutup oven dan keluarkan loyang. Sejukkan terlebih dahulu sebelum korang nak terbalikkan kek kerana kalau terbalikkan dalam suhu yang masih panas, pasti ia akan melekat pada loyang. 




9. Tadaaa!!! Siap dah sebiji kek marble coklat ana yang naik cantik serta tidak terlalu garing dan masih lembab di dalam nya. Selarasan suhu oven amat penting untuk mendapatkan hasil kek yang baik, In Shaa Allah. 




Seperti yang ana bagitahu tadi, dengan bahan yang sama, kita boleh juga menjadikan adunan tersebut sebagai kek belang-belang warna warni. Cuma bahagikan sahaja adunan asas tadi kepada beberapa bahagian dan warna lah ikut kesukaan masing-masing, bakar dan terhasillah pula kek belang atau pelangi ikutlah macam mana korang nak mencorakkannya. 




Selamat mencuba dan semoga bermanfaat buat semua, In Shaa Allah.
Resepi kek mentega sukatan cawan Resepi kek mentega sukatan cawan Reviewed by AJ on June 13, 2019 Rating: 5

7 comments:

  1. tak pernah lagi buat kek! Cantik je kek kak ana buat. Thanks share resipi mana tahu datang mood nak buat nanti hihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe nanti kalau sampai seru kata orang tu jadilah kek FJ, In Shaa Allah

      Delete
  2. Sedapnya kek.. Raya kali ini tak sempat lagi nak buat kek :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. ada kesempatan baru lah menjadi kek ni kan EB :)

      Delete

Powered by Blogger.