Setiap kali Syawal hadir di kesempatan waktu yang masih berbaki pinjaman usia ini, setiap kali itulah kerinduan terhadap Wan kian amat teramat terasa. Rindu akan kegigihannya membuat persiapan menyambut ketibaan raya, dengan kudrat yang ada meski pun sedang berpuasa, nak juga menyediakan kuih bahulu, kuih bakar dan juga wajik. nak juga mengecat tangga kayu di anjung rumah arwah Tok agar nampak cantik walaupun tangga itu kian uzur di telan waktu. Pelita panjut pasti di nyalakan untuk memeriahkan halaman rumah, anak cucu nak bermain bunga api bersama. 

Itulah dia arwah Wan Esah, ibu saudara ana, adik kepada mak yang banyak jasa dan pengorbanannya terhadap ana sendiri dan keluarga yang terdekat. Wan bagaikan mak kedua pada ana, kerana banyak membesarkan ana dengan kasih sayangnya. Wan tak pernah berumahtangga dan pada ana lah di memberikan sepenuh kasih sayang kerana waktu kecil hingga ke alam remaja ana tinggal di rumah arwah Tok. 




Tidur malam pun dengan Wan, bangun pagi nak ke sekolah pun Wan yang akan kejutkan. Tak mungkin ana dapat melupakan kasih sayang Wan hingga ke akhir hayat ana pula menyusul nanti. Syawal 1429H / 2008 adalah Syawal terahir kami bersama Wan. Walaupun Wan dah berusia waktu itu, namun nak juga masakkan wajik walaupun kami dah bagitau tak payah buat. Siap juga wajiknya dan kebetulan adik sepupu ana bakal bertunang beberapa hari lepas raya. Wan siapkan wajik delima, wajik berwarna pink dengan butir-butir merah. Dan itulah wajik terakhir dari airtangan Wan. 

Selesai majlis pertunangan sepupu, Wan nampak tak beberapa sihat. Wan kata Wan penat agaknya, dia sakit di bahagian dada. Adik sepupu yang lain nak bawa Wan ke hospital, tapi Wan tak nak. Wan kata tunggu ana bawa. Allahu.. ana akan ingat sampai bila-bila yang ana sendiri bawa dan teman kan Wan ke Hospital Teluk Intan pagi tu. Wan di tahan di wad untuk pemeriksaan lanjut. Hari kedua di wad, ana terpaksa balik ke KL kerana suami dan anak-anak akan mula berkerja dan bersekolah. 

Sebelum balik, kami singgah ziarah Wan di wad. Dan yang tak mungkin ana lupa hingga saat ini ialah renungan Wan pada ana sebelum ana bergerak keluar bilik CCU. Tuhan sahaja yang tahu beratnya hati ana nak tinggal Wan ketika itu. Renungannya amat panjang dan ana peluk Wan erat bagitau Wan makan ubat ye, dengar nasihat doktor. Wan hanya angguk dan masih memandang tepat pada wajah ana. 

Esok malamnya ana terima panggilan dari adik ana lebih kurang 10 malam, bagitau Wan dah tak ada. Demi Allah, masa tu ana cakap kat Adik, jangan tipu, Wan sihat je masa akak balik semalam. Tapi itulah hakikatnya Wan dah tak ada. Wan telah di jemput PenciptaNya Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Kami redha. Wan terlalu penat di dunia ni, bekerja untuk sentiasa nak mempastikan urusan rumah sempurna yang mungkin. 



Sejak Syawal 2008, 11 tahun Syawal tanpa Wan, tiada lagi wajik istimewa Wan, bahulu Wan yang pasti di rindui semua. Wan kalau buat bukan sikit-sikit, sampai 50 biji telur ayam di pukul dengan tangan di bakar dengan arang dan sabut kelapa. Nak jamu orang datang, nak sedekah jiran-jiran dan kawan-kawan katanya. 

Sejak Wan tiada, semuanya bagai terasa kehilangan, kerinduan yang tak mungkin ada penghujungnya. Ana rindu Wan, tiap kali raya ana akan ke pusara Wan, cukuplah sekadar memandang sepetak kuburan dan sepasang nesan yang tercatat nama Wan dan ketika itu ana rasa dekat dengan Wan. Doa tak pernah putus ana kirim kan buat Wan di setiap kesempatan waktu yang ada. Wan, adalah mak ana yang kedua dan akan kekal begitu hingga ana pula akan ke sana nanti. 

4 Comments