Ana tak nafikan ramai yang musykil tentang persoalan mengenai hukum menyimpan patung permainan kanak-kanak di rumah. Memang ana akui sendiri ketika anak-anak ana masih kecil dahulu, selalu juga membelikan mereka mainan anak patung sebagai barang permainan. Ini kerana ana dahulunya juga suka bermain anak patung bersama sepupu-sepupu di kampung. Macam-macam anak patung ada termasuk lah anak patung kertas atau paper dolls tu selain dari mainan masak-masak. 

Namun bila dah makin besar dengan sendirinya permainan ni hilang entah ke mana. Ada yang dah rosak dan ada yang dah beri pada anak-anak buah. Sekadar permainan zaman kanak-kanak sahaja dan bila anak-anak dah membesar pun dengan sendiri mereka dah tak nak main anak patung dah kan. Bagi menjawab persoalan di atas macam biasa, ana akan serta kan disini rujukan dari mereka arif dalam bidangnya dan pastilah dari Instagram Mufti Wilayah Persekutuan, Dato' Seri Dr Zulkifli Muhamad Al Bakri yang menjawab persoalan " Hukum menyimpan patung permainan kanak-kanak di rumah ". 






Hukum menyimpan patung permainan kanak-kanak 


Berdasarkan nas al-Quran dan hadith , jelaslah kepada kita bahawa pengharaman patung tersebut adalah berkaitan haram mengukir patung yang menyerupai ciptaan Allah SWT dan haram untuk disembah atau dimuliakan.

Adapun selain daripada perkara tersebut seperti patung sebagai alat permainan dan pembelajaran bagi kanak-kanak, maka hukumnya adalah harus. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah RA:

Maksudnya: Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sehabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda. Lalu Baginda SAW menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku.

Hadis riwayat al-Bukhari: (6130)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam mensyarahkan hadith ini berkata: Para ulama berdalil dengan hadis ini tentang hukum harus terhadap patung mainan untuk kanak-kanak. Hadith ini adalah pengecualian dari keumuman hadis yang melarang membuat tandingan yang serupa dengan ciptaan Allah. Keharusan ini ditegaskan oleh al-Qadi ‘Iyadh dan beliau katakan bahawa inilah pendapat majoriti ulama. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 10/527)

Hal ini kerana patung permainan kanak-kanak bukanlah sesuatu yang disembah atau dimuliakan. Bahkan, kanak-kanak tersebut dengan tabiatnya akan mematahkan dan merosakkan patung tersebut seperti terputus kepala atau anggota badannya. Ini jelas menunjukkan bahawa ia adalah sebagai patung permainan bagi mereka dan jauh sekali untuk dihormati, apatah lagi disembah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang baik dalam agama serta memberi taufiq dan hidayah kepada kita untuk beribadat dengan ikhlas kepadaqNya. Amin.

WaAllahu a’lam.

kredit sumber dan rujukan http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3596-al-kafi-1331-hukum-menyimpan-patung-permainan-kanak-kanak?fbclid=IwAR2WQr9qXIz2pbnTp8cu_EurOAKOaRCsiF7fgwhsAp70HugZPFjcuUBQw5E