Pengat Keladi Dari Kampung

Bukan pengat keladi ni ana bawa dari kampung, tapi keladi tu yang mak ana bagi masa kami balik kampung Raya Haji yang lalu. Lama dah entri ni terpedam sebelum di terbitkan sebenarnya. Keladi ni mak ana beli di pasar tani Kampung Selabak depan dataran Nanas tu. Setiap hari Rabu, kata mak ada pasar tani kat situ, dekat je dengan rumah kami. Mak suka pi pasar tani sebab murah dan macam-macam ada. Selalu mak beli jagung, keladi, keledek dan macam-macam lagi lah. Bila anak cucu nak balik, selain dari masak makan di rumah, mak tu ada sahaja nak kirimkan pada ana ni haa..suruh bawa balik. Sana payah nak jumpa, katanya. 

Keladi mak bagi ni seketul je tapi besar juga lah. Ana ni paling tak pandai nak pilih atau beli ubi keladi mahupun batang keladi untuk masak. Bukan apa takut dapat yang gatal, kan naya. Tapi Alhamduillah, mak atau wancu ana cukup pandai pilih keladi ni, selalu kalau yang depa beli tak ada yang gatal bila di makan. 


Pengat keladi bersama sagu 




Sebahagian ubi keladi ni, ana goreng kan sahaja buat menu minum petang dan separuh lagi ni lah ana jadikan pengat keladi. Keladi ni empuk sangat isinya kejap sahaja di goreng atau di masak dah lembut dimakan. Pengat keladi ni jarang juga ana masak sebab biasa lah anak-anak ni kurang berminat dengan bubur atau pengat kecuali bubur jagung, hat tu depa suka. Tapi ana buat kan juga sebab tak banyak pun separuh je dari ubi keladinya. Dapatlah seperiuk kecil untuk ana dan suami. Sedekah juga sebekas pada jiran kami Man dan Ida. Meh la.. ana nak kongsikan resepi pengat keladi ni yang sangat lah senang untuk di masak. Nak bagi sedap dan banyak ana campurkan dengan sagu halus. 

Resepi pengat keladi 

Bahan-bahan nya :

Ubi keladi
Santan kelapa
Gula secukup rasa
Biji sagu
Daun pandan
Secubit garam

Cara masak pengat keladi : 




kukus terlebih dahulu ubi keladi agar tidak hancur bila di masak pengat 


1. Mak ana ajar, kalau nak keladi ni cepat empuk dan tak hancur bila di masak pengat, potong dadu dan kukus seketika di dalam mangkuk. Dah empuk padam api dan sejukkan seketika. 

2. Sagu di basuh dan toskan.

3. Masakkan santan di dalam periuk dan campurkan gula secukup rasa. 

4. Masukkan sagu dan kacau sentiasa agar tidak pecah minyak santan sehingga sagu agak jernih. 

5. Baharulah masukkan isi keladi yang dah di kukus tadi. 

6. Rasakan dengan secubit garam untuk menaikkan rasa lemak santan dan masukkan seikat daun pandan. 

7. Kacau perlahan dan bila sekali didih matikan api. Sejukkan dan sedia untuk di nikmati seisi keluarga. 

Selamat mencuba satu lagi resepi ibunda, menu orang kampung :) 
Pengat Keladi Dari Kampung Pengat Keladi Dari Kampung Reviewed by Ana Jingga on September 05, 2019 Rating: 5

3 comments:

Powered by Blogger.