Kuih muih tradisional ni kalau bukan kita untuk memperkenalkannya semula kepada genarasi muda, tak mustahil ia akan pupus di telan zaman. Banyak kuih muih yang kian hari kian sukar untuk di nikmati sekarang ni. Kalau ada pun dah di moden dan komersilkan dengan pelbagai citarasa kini. Orang sekarang ni lebih suka pada menu  yang viral dan popular. Kuih-kuih lama ramai anak-anak tak kenal dah pun. Zaman berubah, pilihan pun banyak.

Bila ana balik kampung di Teluk Intan ni, pasti suka sangat ke pasar tani atau pun gerai kuih muih di Kampung Bahagia atau pun di Padang Tembak sana tu. Di sana masih banyak di jual kuih muih tradisional lama yang jarang di temui di bandaraya. Yang penting keaslian rasanya masih sama. Macam-macam kuih muih tradisional lama ada di jual disini. Harganya mungkin ada perubahan kerana kos bahan mentah yang kian naik, namun keaslian rasa dengan lemak manisnya masih yang terbaik. Alhamdulillah. 


Kuih Dangai 




Kuih Dangai


Berkunjung ke Pasar Tani pagi Ahad di Teluk Intan baru-baru ni, ana beli lah sepeket kuih dangai ni. 3 keping tu berharga RM3. Panas-panas lagi ketika di beli dan adik penjual nya pun masih membakarnya lagi. Kuih dangai ni di perbuat dari 3 bahan sahaja iaitu kelapa parut, gula dan tepung pulut. Menu ini di isi dalam acuan dan di bakar. Ana beli bawa balik rumah nak kenalkan dengan anak-anak. Depa makan secubit rasa dah tak nak :( . Yelah kan rasa kelapa parut bakar sahaja bagi depa. Tapi paling tidak pun ana kenalkan juga dengan menu tradisional lama ni. Dulu-dulu ana sendiri pun tak berapa suka kuih dangai ni, tapi bila dah lama di tinggalkan teringin tu ada nak menikmati nya semula. 


Kuih Peria 


kuih peria 


Ini satu lagi kuih tradisional lama yang amat jarang nak jumpa di kediaman ana mahupun di sekitar KL. Kalau ada pun mungkin tak sesedap yang ana makan di kampung baru-baru ni ketika majlis doa selamat di rumah mak saudara kami, Wan Ati. Sedap sangat kuih peria yang Wan Ati hidangkan, dia beli je kuih ni. Lapisan luar tepung beras tu lembut macam kuih koci dan inti kelapa dalamnya pun sedap tak terlalu manis dan rasa lemak kelapa parut tu. 

Kuih ini ana tak pasti sangat apakah namanya yang betul-betul. Ana panggil kuih peria sebab bentuknya macam buah peria warna hijau pula tu kan. Tapi hasil dari beberapa carian di internet kuih ini juga ada yang berwarna warni lain selain dari hijau. 

Bila ana kongsikannya di FB, daripada komen rakan-rakan nama kuih peria ni berbeza mengikut daerah dan negeri. Di Melaka ia di kenali sebagai Kue sahaja dan intinya pula di buat dari kacang merah. Kat Trengganu pula depa panggil Loklit . Ermm.. macam-macam kan. Begitulah keindahan kepelbagaian dalam mewarnai perbezaan budaya dan resepi setempat. Kita raikan perbezaan dengan penuh keceriaan dalam budaya dan resepi tradisional. 

Apam nasi 



apam nasi 


Dan yang ini pula apam nasi. Apam nasi ni selalu ada sahaja di jual di sekitar taman kediaman ana mahupun di mana-mana jua. Ia cukup sedap di makan dengan kepala parut putih yang bercampur secubit garam. Ana sendiri pernah buat apam nasi dan Alhamdulillah menjadi lembut dan sedap. Kalau korang nak resepinya boleh klik sahaja --> RESEPI APAM NASI . Mudah juga nak buat dan apam nasi paling sedap dan jenis buat tanpa resepi sukatan bagai adalah dari air tangan arwah opah ana, Opah Teh. Memang sedap sangat dan arwah opah selalu buat dalam loyang dan kemudian potong-potong makan dengan kelapa parut. 

Banyak lagi sebenarnya kuih-kuih tradisional lama yang kian pupus jika kita tidak mengambil inisiatif untuk memperkenalkannya kepada anak-anak. Warisan menu-menu Melayu ini perlu kita promosikannya sebaik mungkin agar ia akan dapat di nikmati oleh generasi akan datang, In Shaa Allah.