Mati itu pasti ! Ajal maut adalah rahsia Tuhan terhadap hambaNya. Kita tidak pernah akan mengetahui bila ajal bakal menjemput. Perlulah kita bersedia untuk mati ? Kalau tanya ana pastilah jawapannya ya. Kita sebagai hambaNya perlu bersedia untuk saat kematian bukan sahaja dari aspek amalan yang akan di bawa pulang, tetapi juga kepentingan insan-insan yang bakal kita tinggalkan. 

Amalan dan ganjaran pahala adalah bekalan kita di sana kelak. Namun bekalan untuk mereka yang di kasihi yang bakal kita tinggalkan sama pentingnya untuk mereka meneruskan kesinambungan kehidupan. Ini lah pentingnya wasiat dalam pengurusan harta pusaka dalam Islam.  Islam adalah agama yang sempurna dan meliputi segenap aspek kehidupan dari dunia hingga akhirat. Dan hari ini, ana ingin bercerita tentang sesuatu yang amat penting untuk kita ambil berat untuk mempastikan harta pusaka yang bakal di tinggalkan kepada mereka yang lebih berhak. 




Kepentingan hibah harta pusaka dalam islam.

Penulisan wasiat harta pusaka dalam islam

Amat penting masyarakat sekarang menguasai aspek pengurusan harta pusaka kerana ia sangat kompleks untuk difahami secara teori dan praktikal. Walau bagaimanapun, ilmu pewarisan harta pusaka dalam Islam wajib difahami supaya setiap yang masih hidup tidak termakan harta yang batil.




Perkara terbaik yang boleh anda lakukan adalah merancang pembahagian aset kepada siapa yang ingin diberikan dan berapa banyak yang akan diagihkan.

Masyarakat perlu tahu membezakan pelbagai instrumen membabitkan harta pusaka, antaranya memahami bahawa hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja tanpa had.

Wasiat perlu digunakan untuk pembahagian harta pusaka kepada waris dan bukan waris serta terhad kepada satu pertiga daripada harta pusaka. Manakala faraid pula merupakan pembahagian harta pusaka khusus untuk waris sahaja.

Hibah sememangnya sangat penting lebih-lebih yang melibatkan mereka yang mempunyai pelbagai jenis harta pusaka seperti hartanah, rumah dan wang.

Pengurusan harta pusaka tanpa wasiat merupakan satu proses yang sangat panjang dan memakan masa. Proses yang panjang ini boleh menjangkau sehingga 3 hingga 5 tahun dan sudah tentu ia menyebabkan kos yang tinggi.

Masih ramai orang Islam yang menganggap hibah adalah perkara yang tidak begitu penting. Masih ramai lagi orang Islam yang tidak membuat persiapan menulis hibah kerana beranggapan urusan harta diletakkan di bawah faraid sahaja. Sedangkan membuat wasiat adalah perkara yang amat digalakkan dalam Islam.

Orang ramai perlu ada kesedaran akan kepentingan pengurusan harta pusaka. Pemilik harta pula perlu memastikan harta yang ditinggalkan kelak tidak akan menyusahkan dan membebankan waris untuk menguruskannya.


Wasiat harta pusaka dalam Islam amat penting

Apakah itu wasiat?


Wasiat bermaksud pengakuan seseorang yang dibuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat yang digunakan bagi tujuan kebajikan atau apa-apa tujuan yang dibenarkan oleh undang-undang Islam selepas kematiannya. Aset orang Islam yang meninggal dunia akan diagihkan kepada waris-waris mengikut Faraid.

Waris yang ditetapkan dalam Islam adalah suami, isteri, ibubapa serta anak-anak yang sah dengan syarat beragama Islam berhak mewarisi harta si mati. Golongan yang tidak dianggap sebagai waris yang layak mewarisi menurut Islam pula adalah anak angkat, anak luah nikah, ibu bapa angkat dan lain-lain lagi.


Pesanan Imam Ghazali, 
 "Setiap orang Islam hendaklah menulis wasiat setiap kali sebelum ingin tidur malam. "

Manakala hadis daripada Abdullah Bin Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :
 "Seseorang muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat di sisinya."
Riwayat al-Bukhari

Menurut Ustaz Indera Shahril Mohd Shahid yang merupakan Pengurus Harta Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor, walaupun hukum berwasiat merupakan satu perbuatan sunat yang digalakkan, namun hukum berwasiat juga boleh berubah mengikut situasi berikut

Wajib berwasiat.

Wasiat menjadi wajib apabila seseorang mempunyai tanggungjawab yang perlu ditunaikan yang berbentuk 'hak Allah' seperti zakat, kafarah dan haji yang dibimbangi tidak dapat ditunaikan sekiranya tidak diwasiatkan kepada seseorang untuk melaksanakannya. 
Begitu juga tanggungjawab berkaitan hak manusia seperti mempunyai harta yang diamanahkan kepadanya dan hutang yang belum diselesaikan.


Haram berwasiat.

Wasiat menjadi haram apabila seseorang mewasiatkan sesuatu perkara yang diharamkan oleh syarak atau bertujuan untuk memudaratkan waris.


Harus berwasiat.

Wasiat menjadi harus jika dibuat kepada orang kaya sama ada daripada kaum kerabat atau mana-mana pihak dengan tidak mempunyai tujuan tertentu. 
Jika wasiat itu bertujuan untuk melakukan kebajikan dan menghubungkan tali silaturahim, maka ia menjadi sunat.


Makruh berwasiat.

Wasiat menjadi makruh jika pewasiat mempunyai harta yang sedikit namun pada masa yang sama mempunyai waris yang miskin yang sangat memerlukan harta. 
Demikian juga adalah tidak wajar memberikan wasiat kepada orang fasik atau orang yang sering melakukan maksiat kerana dibimbangi pemberian wasiat itu akan meningkatkan lagi kecenderungannya untuk melakukan maksiat. 

Penulisan wasiat adalah amat digalakkan kerana ia merupakan suatu tindakan mulia untuk menzahirkan keinginan pewasiat terhadap pembahagian harta yang telah dikumpul semasa hidup. Pewarisan harta yang dirancang melalui wasiat ini dapat diagihkan untuk tujuan kebajikan dan kepada keluarga tersayang selepas kematian.


Apakah perkara penting dalam menyediakan wasiat?


Terdapat dua perkara penting dalam menyediakan wasiat dimana orang yang menyediakan wasiat sebelum mati biasanya akan melakukan perkara berikut:

Mengumpul semua dokumen yang diperlukan (berkaitan harta dan waris) 
Melantik pentadbir (wasi). Pentadbir yang dilantik ini boleh terdiri daripada waris, bukan waris, peguam atau institusi pengurusan harta pusaka seperti Amanah Raya Berhad dan Perbadanan Wakaf Negeri untuk Majlis Agama Islam Negeri.
Sekiranya ada wasi yang dilantik, pembahagian harta pusaka dapat dijalankan secara telus. Bagi kes harta kepada anak di bawah umur 18 tahun, pengurusan harta pusaka akan diserahkan kepada pemegang amanah sebelum dipindahkan kepada pewarisa apabila cukup umur dan berupaya mentadbir hartanya sendiri.

Dengan adanya dua perkara ini, pengurusan tuntutan harta pusaka akan menjadi lebih mudah. Apabila kita melakukan wasiat dan melantik wasi, urusan peninggalan harta dapat diuruskan secara profesional oleh wasi yang dilantik.

Jadi, disini diingatkan betapa pentingnya wasiat disediakan semasa hidup supaya proses tuntutan harta pusaka yang panjang dan melibatkan kos yang tinggi ini dapat dielak. Malah, jelas sekali wasiat boleh membantu menjadikan proses tuntutan harta pusaka menjadi lebih mudah dan cepat.

Marilah kita berusaha untuk menguruskan pewarisan harta dengan baik selagi masih hidup ini dengan mempelajari cara atau proses menyediakan wasiat ini untuk kemudahan waris kita kelak.

Tapi perlulah diingat bahawa syaratnya ialah ia mestilah bukan kepada waris kita, dan juga tidak lebih 1/3 harta pusaka.

Sekiranya hendak dibuat buat wasiat kepada isteri dan anak, sah atau tidak ? jawapanya adalah tidak sah, kerana anak ialah waris kita

Jika buat wasiat kepada anak angkat. Boleh ke?


Jawapannya boleh. Cuma terhad kepada 1/3 sahaja. Kalau nak bagi semua harta kepada ahli waris atau anak angkat, maka instrumen hibah adalah yang paling sesuai.


~~  Semoga Bermanfaat buat kita semua ~~



8 Comments

  1. ramai orang dah mula celik pasal wasiat dan hibah ni lebih-lebih lagi selepas apa yang berlaku kan

    ReplyDelete
  2. faraid,wasiat..hibah,,ketiga-tiganya ada fungsi yang tersendiri..ada sasarannya juga yang tersendiri..namun dalam pada itu hibah ini semakin menjadi pilihan.

    ReplyDelete
  3. terkenang time belajar dulu, AJ.
    subjek ni wajib. siap2 kami belajar bahagian2 dlm faraid.
    wasiat. hibah.
    now, bila dikenang2 balik, semua tu berguna sekarang utk diri sendiri & nasihatkan keluarga & kawan2.
    penting!

    ReplyDelete