Hari ini telah masuk 1 Ramadan 1441H.. Hari pertama umat Islam seluruh dunia menunaikan rukun Islam ke 3. Cuma tahun ini, kali ini ianya amat berbeza, situasi yang amat baharu dari norma yang biasa kita lalui sepanjang hayat ini. Bohong lah kalau ana katakan jiwa tak terusik, hati tidak sayu malahan dalam sujud mengalir airmata pilu membasahi sejadah. 

Bercelaru jiwa dengan ujian yang sedang kita tempohi ini. Bagi sesetengah orang mungkin tiada terkesan, tapi pada ana ia sangat-sangat memerlukan kekuatan hati untuk melawan emosi yang kian rapuh. Ana tak biasa dan inilah kali pertama Ramadan sesepi ini, sepilu ini yang bakal di jalani. 

Ramadan kali ini hanya untuk kami berempat di rumah jalani. Apapun tetap bersyukur kerana suami dan anak-anak disisi. Menikmati juadah yang seadanya kerana banyak yang perlu di jimatkan. Akan datang tak pasti apakah yang bakal berlaku kerana ekonomi kian merundum. 




Ramadan kali ini amat di rasai kesedihannya bila tak akan berpeluang untuk sama-sama berbuka dan bersahur bersama mak abah, adik beradik di kampung. Rindu dan sayu bila tak dapat sama-sama ke bazar Ramadan Teluk Intan, menikmati juadah idaman seperti bandung tarik, rojak dan mee Mastan Ghani, popia Rahiman dan lain-lain lagi. Tiada lagi berbuka beramai-ramai selepas masak di dapur wan dan wancu, berebut air minuman, anak-anak buah comel tumpahkan air dalam nasi.. Allahu.. rindu serindunya pada semua .

Ramadan kali ini juga setiap saat teringatkan mak dan abah berdua di kampung. Pasti hati mereka lebih sedih puasa kali ini anak cucu tak dapat balik dan bersama bangun sahur. Rindu masakan mak.. Tuhan.. lemahnya jiwa bila mengenangkan semua ini. 

Ramadan kali ini juga tidak semeriah sebelumnya, deruman motor lalu di halaman menuju masjid menunaikan Tarawih  dan moreh. Tadarus kejiranan juga tiada dapat di ulangi lagi. Hebatkan ujian kita kali ini. 




Namun, jiwa ini perlu kuat untuk tempohi jua . Entah apa lagi yang bakal mendatang kita tak pasti. Kadang-kala hati ini hadir juga rasa marah, namun pada siapa yang harus dipersalahkan. Ini ujian, ujian buat kita semua. Situasi kita mungkin tak sama, takdir kita juga berbeza. Semua orang boleh berbicara mengikut nalurinya sendiri. Terpulanglah.. asal jangan sampai menyakiti sesama insan. 

Tuhan.. Semoga semua ini akan segera berakhir. HambaMu takut dengan setiap petanda yang hadir satu demi satu waktu ini. Namun masih bersangka baik padaMu, masih mencari hikmah yang tersembunyi, dan masih utuh berdoa mengharapkan keampunan dan keehsananMu agar kami masih berpeluang melalui hari-hari mendatang dalam kehidupan sedia kala...Aamiin.. Aamiin Ya Rabbal A'laamiin. 

Selamat menunaikan ibadah puasa,menjalani ibadah sepanjang Ramadan Kareem 1441H dalam suasana yang baharu,normal yang baharu katanya.. Semoga amalan kita akan diterimaNya jua.. Maafkan saya andai pernah coretan di ruang sepi ini ada mengguris hati walau sebesar zarrah sekali pun kerana saya adalah manusia biasa yang tak mampu kalis dari dosa. Salam penuh kasih sayang dari - www.anajingga.com 💕