29hb November 2016 yang lalu, hari terakhir Adik Ika menduduki SPM.Kertas Kimia merupakan last papernya. Ini bermakna, berakhirlah sudah Adik Ika menggalas tugas sebagai seorang murid sekolah. Dunia persekolahan dengan uniform biru putih akan di tinggalkannya. Tiada lagi menyusuri perjalanan setiap pagi Isnin hingga Jumaat ke pagar sekolah. Tiada lagi galasan beg sekolah dengan cerita-ceritanya setiap hari berbual tentang kisah kawan-kawan sekelasnya.Tiada lagi bebelannya kepenatan dari kelas tambahan hingga ke pusat tusyen. Habis...ia telah berakhir Adik..

Dan diam tak diam juga berakhirlah jua tugas ana sebagai ibu yang mengejutkannya setiap pagi untuk siap ke sekolah. Dan yang paling akan ana rindui ialah menggalas tugas sebagai seorang 'supir' menghantar dan mengambil anak-anak ulang alik ke sekolah. I am retired, pencen sudah.





Ana meninggalkan dunia kerjaya ketika Kak Long berusia enam tahun atas permintaan suami yang inginkan ana sendiri menguruskan persekolahan anak-anaknya. Dan sejak dari itu lah, ana menjadi suri rumah sepenuh masa, menguruskan setiap keperluan suami dan anak-anak. Apabila Kak Long berusia enam tahun, dan mula memasuki alam TADIKA di Early Learning Centre atau ELC, Taman Keramat. Ana yang asalnya berbasikal pun tak pandai, menggagahkan semangat mengambil lesen dan memandu kereta setiap hari dari rumah ke ELC demi mempastikan keselamatan anak.


Setahun kemudian, Kak Long mula melangkah ke alam sekolah rendah di SK AU Keramat. Kami kemudian memiliki kediaman sendiri di Ukay Perdana. Bermula pula episod baru, berulang-alik dari Ukay Perdana ke AU Keramat. Setengah jam sebelum waktu sekolah tamat, ana dah menuruni bukit kerana bimbang ada aral yang akan menyebabkan ana sampai lewat ke sekolah. Maklumlah perjalanan di sekitar memang tak dapat di jangka, pelbagai rintangan yang ada.

Adik Ika mencapai usia enam tahun, dia pula memulakan alam Tadika di Impian Bestari, Ukay Perdana. Jarak tak jauh sangat dari rumah dalam taman yang sama. Setahun kemudian, Adik Ika juga mengekori Kak Long bersekolah di SK AU Keramat. Dua dalam satu, satu sessi pagi satu sessi petang. Ulang alik dua syif kali ini. 

Rezeki kami mendiami rumah yang lebih selesa dengan berpindah ke BCH. Kedua-dua puteri menyambung belajar di SK Taman Desa 2 dan kemudiannya ke STAND 2. Dan 29hb November yang lalu,Adik Ika menamatkannya di sana.

Selesai sudah ana menjalankan tugas yang di amanahkan oleh suami menjaga dan mempastikan keselamatan zuriatnya. Alhamdulillah...segala urusan dipermudahkanNya jua. Berbagai jenis kereta juga telah ana bawa sehingga ke hari ini. Banyak pengalaman pahit manis sepanjang menguruskan anak-anak ke sekolah. Dipertemukan dengan beberapa sahabat yang sama seperti ana dan kemudian menjadi akrab seperti saudara sendiri.

Ana tidak sahaja menghantar dan mengambil anak-anak ana sahaja. Sering kali ana bawa dan hantar juga kawan-kawan anak-anak ni. Maklumlah mereka sudah seperti anak ana sendiri, manja malahan memanggil ana dengan panggilan ibu juga. Itulah dia, walaupun anak ana cuma dua orang, sepanjang perjalanan di sekolah ni, Alhamdulillah ramai telah ana berikan kasih sayang kepada anak-anak sebaya mereka. 

Syukur Alhamdulillah... ana telahpun melengkapkan tugas dengan selamatnya. Alhamdulillah juga syukur kepada Allah swt pengorbanan meninggalkan kerjaya tidak sia-sia. Setiap tahun puteri-puteri solehah membangga kan ibu dan ayah dengan naik ke pentas menerima pelbagai Anugerah Cemerlang dalam akedemik dan juga aktiviti ko-korikulum. Mereka cemerlang dengan jayanya dan Kak Long kini telah pun menamatkan Diploma dengan Anugerah Dekan. Adik..perjalanannya bakal bermula selepas mendapat keputusan SPM tahun hadapan, In Shaa Allah.

Dari UPSR sehinggalah ke PMR dan SPM mereka berdua berlumba-lumba membawa pulang straight A dalam setiap keputusan.Inilah hadiah yang amat bermakna buat kami ibu-bapa dan merupakan perjalanan yang bakal mereka tempuhi di masa hadapan. Kami tidak menjanjikan kemewahan, hidup dalam serba sederhana namun Alhamdulillah mencukupi. Perjalanan mereka masih panjang, namun bekalan telah kami sediakan. Andai satu hari nanti, kami bakal meninggalkan mereka di pentas dunia, semoga segala galasan tanggung-jawab yang telah ibu dan ayah lakukan dengan sebaik mungkin ini akan menjadi panduan mereka untuk terus ke hadapan.

Hanya Allah swt sahaja yang mengetahui apa yang tersirat dan tersurat di dalam benak hati setiap ibu ayah di atas muka bumi ini. Ana bertuah ditakdirkan dapat mengurus sendiri anak-anak di hadapan mata dengan kudrat empat kerat yang ada. Namun takdir mereka berbeza, ana pasti setiap ibu ayah mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka. Namun yakinlah..apa sahaja takdir perjalanan kita sebagai ibu ayah, iringilah anak-anak dengan titipan doa disetiap waktu. Berikan kasih sayang, usap dan belailah mereka walaupun mereka telah meningkat dewasa. Waallahu a'lam.


6 Comments

  1. Alhamdulillah..syukur..moga lepas ini adik dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi..amin. :)

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah kak ana. Pengorbanan kak ana berhenti kerja masa kak long di darjah 6 insyaallah berbaloi ��
    .
    Masa yang dihabiskan bersama mesti berkualiti kan

    ⛔⛔ Jemput singgah blog mazni & komen. Komen terbaik akan memenangi RM50 setiap bulan ⛔⛔

    ReplyDelete
  3. alhamdulillah,.. apa yg disemai pasti akan mendapat tuaian yang hebat kerana kita semua ibu yang hebat...

    hebatkan diri kita dengan emas pg

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah...semoga anak2 kak ana beroleh kejayaan...amin....

    ReplyDelete
  5. Terkenang zaman sekolah dulu, hari-hari ibu hantar dan jemput dari sekolah. Sampai kadang2x terbawa-bawa ke zaman kerja. Haha. Selamat berjaya adik2x.. =)

    ReplyDelete
  6. Alhamdulillah..semoga anak2 kita memperoleh kejayaan & tahniah k.Ana..bjaya membesarkan anak2..seronok tgk k.ana dan anak2 ni..

    ReplyDelete