Nasi Mmanggey Di Warung Cikgu,Bukit Puchong 




Sabtu lepas kami ke Serdang melawat rakan baik suami yang di masukkan ke hospital. Selepas makan angin ke Putrajaya seketika kami singgah sekali lagi ke Warung Cikgu di Bukit Puchong untuk mencuba menu nasi mmanggey yang agak terkenal di media sosial masa kini. Jika sebelumnya ana pernah ceritakan makan colek ayam menu istimewa Warung Cikgu di bulan Ramadan di SINI , kali ini ana kongsikan pula kisah nasi mmanggey yang pertama kali ana nikmatinya.

Nasi Mmanggey di Warung Cikgu ni memang disajikan di dalam kertas bungkusan walaupun untuk makan di sini. Dan ianya satu-satu menu yang ada di waktu malam kerana menu-menu lain yang dipamerkan adalah mengikut waktu-waktu tertentu.Contohnya nasi lemak dan nasi berlauk untuk sajian sarapan pagi sahaja.Oleh itu, pengunjung yang datang ke Warung Cikgu untuk makan malam atau tengahari hanya ada pilihan nasi mmanggey ni sahaja.

Nasi Mmanggey di sertakan kuah kari ayam, sambal dan ayam goreng kunyit berempah yang di potong kecil-kecil. Dari segi rasa pada selera ana, biasa-biasa sahaja.Lebih kurang menu nasi kukus yang sering dijual di merata tempat. Sambal memang pedas dan untuk kanak-kanak lebih baik tidak meletakkannya ke dalam sajian yang di pesan. Disini semuanya layan diri, jadi kita perlu ke kaunter untuk mengambil makanan.





Harga untuk nasi mmanggey sebungkus hanya RM4.50 dan sangat berbaloi kerana ia memang mengenyangkan.Salah satu keistimewaan Warung Cikgu ialah menu air kelapa baldinya serta coconut shake yang teramat sedap. Sebaldi kecil air kelapa baldi ni boleh diminum untuk dua orang. Kita boleh memilih untuk menambah air gula dan ais batu atau minum air kelapa sahaja. Sedap sangat. Air kelapa baldi berharga RM 3.50 manakala coconut shake RM 3.






Warung Cikgu terletak No: 1, Jalan BP 6/7, Bandar Bukit Puchong, Selangor.Tanpa bantuan Waze atau GPS memang boleh sesat jika pertama kali ke sini. Namun bagi yang sudah biasa dengan lokasi ini tentu tidak ada sebarang masalah , In Shaa Allah.