Anak-anak ana tak berapa minat sangat makan puding sagu atau apa-apa yang berkaitan dengan sagu ni. Ia lebih kepada selera resepi ibunda zaman silam. Ana masih ingat lagi, puding sagu gula melaka ni lah resepi pertama yang ana belajar ketika di tingkatan satu kelas Sains Rumah Tangga di sekolah menengah. Pastu, mak pun selalu masak resepi ni untuk juadah buka puasa masa kami kecil-kecil dulu. 


Kadang-kadang teringin juga nak makan menu-menu resepi ibunda ni, jadi baru-baru ini ana masak semula puding sagu gula melaka untuk minum petang. Tak buat banyak pun satu bekas kecil je sebab tahu sangat anak-anak tak berapa minat nak makan. Sempat juga ana hulurkan kepada jiran sebelah dari tak habis kan, baik kita beri pada jiran. Dan ana simpan lah resepi ni disini dan mungkin juga membawa manfaat kalau-kalau ada yang mencari resepi ni, dah dekat-dekat nak Ramadan ni kan..


Resepi Puding Sagu Gula Melaka

Resepi ni terbahagi kepada 3 bahagian, sagunya, santan dan gula melaka. Cara masak puding sagu gula melaka adalah seperti berikut ye puan-puan .. :)

Bahan dan cara masak sagu:

1 cawan biji sagu (ana gunakan sagu yang dah berwarna hijau)
1 liter air
1 helai daun pandan - carik & simpul



Cara-Cara:

Rendam biji sagu lebih kurang setengah jam atau sehingga agak kembang sedikit.  Kemudian toskan airnya.

Didihkan air bersama daun pandan dalam periuk. Setelah mendidih, masukkan sagu tadi dan masak sehingga sagu bertukar jernih. Tutup api dan biarkan seketika.

Toskan sagu dan lalukan dibawah air paip yang mengalir untuk buang kanji.Letakkan ke dalam bekas dan sejukkan di dalam petiais.


Cara Masak Kuah Santan :


Didihkan seketika santan pekat dan masukkan secubit garam untuk menambah lemak masin, baru ngam kan..masukkan seikat daun pandan untuk aroma tradisional.


Cara masak kuah Gula Melaka :


Untuk gula melakanya pula, cuma cairkan di dalam periuk perlahan-lahan dan masukkan juga daun pandan sebagai aromanya.



Dan nak makan juadah ni, campurkan sahaja ketiga-tiga sagu, santan dan juga gula melaka. Sedap di makan sejuk kan.. :)