Bahulu... salah satu menu kuih tradisional Melayu yang tak dapat di pisahkan dengan kedatangan Aidil Fitri. Untuk ana sendiri ia bagaikan satu singkapan nostalgia yang tak akan terpadam hingga lah ke akhir hayat kelak. Bahulu lah antara kuih raya yang wajib ada di rumah dari awrah tok dan opah masih ada, hingga ke hari ini. Mak yang kian kurang kudratnya kini tetap akan membeli bahulu dari jiran sekampung di Teluk Intan untuk pastikan ia ada di meja sebagai sajian di pagi raya. 

Kalau dahulu, mak dan arwah wan esah sedaya upaya memukul telur berpuluh biji untuk menghasilkan bahulu. Ia bukan satu proses yang mudah, bayangkan di bulan puasa, tepung gandum tu mak dan wan akan jemur dahulu di pancaran panas matahari, kemudian dari awal pagi lagi dah mula memukul telur sehingga 50 biji. Pukul dengan kudrat tangan pula tu tanpa bantuan peralatan elektrik, dengan menggunakan pemukul berbentuk spring di dalam pasu tempayan sehingga kembang. 


Bahulu tradisional 



Bahulu tradisional 


Tak habis di situ, dahulu mak dan wan akan membakarnya dengan kaedah cukup tradisional, bakar di dalam periuk peralaskan pasir dengan api atas dan bawah dari tempurung kelapa. Inilah oven mereka ketika itu. Berasap satu rumah namun bahulu yang lembut dan cantik terhasil juga, sama seperti kaedah moden dengan mixer dan oven elektrik. Itulah nostalgia bahulu yang akan terus bermain di benak fikiran setiap kali tibanya Syawal. 

Kini, wan dah tak ada lagi bersama kami menyediakan bahulu, kuih bakar dan wajik. Kuih bakar dan wajik juga dah terlalu asing pada kami di ketika Aidil Fitri. Tak ada siapa yang nak buat lagi dan tak ramai juga yang menjamahnya jika ada pun kerana hadirnya pelbagai menu moden yang jauh lebih dikenali dan trending masa kini. Semua itu sekadar sebuah nostalgia sepi yang kian pudar. 

Petang-petang ni, ana buka bekalan mak, sebekas kuih bahulu yang di tempahnya dari jiran sekampung. Ana bancuh kopi o panas, sambil menikmatinya satu persatu. Sedap.. dan penuh emosi dengan kisah silam. Masa silam yang tak akan berulang kembali. 

Tahun demi tahun mendatang, seorang demi seorang ibu saudara telah pergi mengadap Yang Maha Pencinta. Alhamdulillah.. mak dan abah masih bersama kami hingga saat ini. Walaupun kudratnya kian uzur namun cukup bermakna untuk kami masih merasai kasih sayang mereka. Kami walaupun cuma dua beradik tetapi kami akrab dengan sepupu-sepupu yang ada khasnya sebelah mak. Kerana kami di besarkan bersama, kisah kanak-kanak pun serupa dan inilah laluan perjalanan hidup kami. 

Generasi baharu peringkat anak-anak ni nampaknya haluan mereka berbeza. Mereka dibesarkan jauh dari kalangan keluarga kerana kami bertebaran mencari rezeki di merata. Cuma sekali-sekala dapat berkumpul bersama dan ketika itulah sahaja kesempatan waktu yang ada yang dapat kami semaikan ukhwah untuk mereka saling mengenali dan silaturrahim ini dipanjangkan. Kadang-kadang bermain di benak fikiran, andainya kami tiada lagi nanti, bagaimana agaknya anak-anak ini mencari saudara ? Cukupkah sekadar saudara terdekat sahaja kerana agak janggal untuk mereka bersama kelak. 

Dunia moden kini bagai ada batasan ukhuwahnya. Bertegur sapa pun berkurangan bila masing-masing leka dengan arus permodenan dunia internet. Cukupkah sekadar group whatsapp menjalin ukhuwah, bila bersua nak berborak sakan pun tidak kedengaran ? Inilah dunia hari ini kan. Biarlah.. mereka akan tahu nanti bila tiba ketikanya. 

Habis sudah kopi o secawan, sambil mengenang kisah silam dan merenung masa hadapan. Ana bangga kerana membesar dalam persekitaran yang indah dan damai di kampung tercinta. Membesar bersama saudara mara sepupu yang kini masih ada kemesraan yang luhur tanpa sebarang kepentingan. Begitu juga dengan kawan-kawan sekolah, walaupun kini masing-masing ada kejayaan namun pada kami, kami hanyalah kawan sepermainan. 

Tak semua boleh kita rancang mengikut kehendak kita. Biarlah mereka mencorakkan perjalanan kehidupan mereka sendiri, dan sebagai orang tua, kita sekadar mampu memberi bimbingan dan pendapat yang mana mungkin masih di terima atau tidak. Waallahu a'lam.