Dah hampir sebulan lebih kejadian ni berlaku. Sehari sebelum kami balik kampung selepas dibenarkan rentas negeri yang lalu. Tengahari tu, ana , suami dan kak long ke Nagoya untuk cari kain langsir. Balik terus ke kedai tak jauh dari rumah dalam 1 km sahaja lebih kurang dari rumah. Lepas selesai beli barang dan ke farmasi belikan mak abah facemask, suami terus pandu nak balik rumah. Waktu tu hujan renyai-renyai. 

Sampai sahaja di simpang masuk bulatan kecil di Saujana menuju je Taman Desa, ana perasan ada sebuah kereta yang laju menuju ke arah kami yang nak keluar. Ia menentang arus yang mana sepatutnya dia masuk ke bulat tetapi ia masuk ke arah bertentangan. Ana jerit dah kat suami , bagitau ada kereta cuma suami tak perasan kerana ia dari arah yang tak sepatutnya kan. Semuanya berlaku sekelip mata. Kereta nya bergesel dengan kereta kami. Suami brek mengejut dan berhenti. 




Pemandu kereta Pesona tu pun berhenti dan keluar dari keretanya. Seorang lelaki India dan soalan pertama dari suami , "awak mabuk ke ?". " Sorry, sorry bang, saya tak mabuk, saya ikut waze," jawabnya. Suami keluar lihat keliling kereta kami, teruk juga bahagian depan di gesel. Kemek juga bumper dan no plat kereta pun melekat kat celah tayar kereta Pesona tu. Apapun Alhamdulillah kami semua okay dan dia pun okay. Semuanya dengan izin Allah swt, sedetik lewat atau cepat memisahkan kami dengan ajal kerana kereta tu memang melungsur laju depan kami. 

Berapa lama laporan polis kemalangan jalan raya siap ? 



Begitulah kalau perkara nak terjadi, tak jauh mana dari rumah dan sekelip mata sahaja. Bila kita dah berhati-hati, ada pula orang yang melanggar peraturan sewenang-wenangnya. Ana keluar ambil beberapa keping gambar di tempat kejadian termasuk plat nombor kereta nya. Dia pun nampak macam orang yang baik, bukan lah jenis baran. Suami bertukar no telefon dan masing-masing akan buat laporan polis. 

Lepas zohor, ana teman kan suami ke Balai Polis dan membuat laporan. Kami hubungi adik ipar ana yang bekerja di syarikat insuran kereta kami tu, dan dia suruh bawa ke bengkel kereta. Proses laporan polis ni ambil masa tapi boleh sahaja ke bengkel terus. Nanti lepas keluar keputusan pihak polis baharu bengkel akan claim dari mana-mana insuran yang di dapati bersalah. Kejadian tu berlaku hari Jumaat dan esok pagi kami plan nak balik kampung. Isnin sahaja lah nampaknya kami akan ke bengkel. 


Hantar bengkel kereta terlibat kemalangan untuk proses insuran 




Pagi Isnin, suami ke bengkel dan servis Perodua dan dari nasihat pegawai di sana menyuruh kami ke bengkel panel Perodua yang tak jauh dari situ kerana kalau di Perodua akan mengambil masa yang lama untuk baik pulih kereta. Kami hantar ke bengkel panel dan berurusan dengan Puan Nita yang menguruskan soal insuran. 

Lepas seminggu lebih kurang, kereta dah siap dan kami boleh ambil terlebih dahulu sebelum keputusan polis keluar. Laporan polis mengambil masa 14 hari bekerja. Beberapa hari lepas baharu suami mengambil keputusan dari IPD Gombak dan Alhamdulillah, pihak pemandu Pesona telah di kenakan saman RM300 bermakna kami tidak bersalah dalam kemalangan ini. 

Kami hantar laporan keputusan polis kepada Puan Nita ( bengkel ) dan semua tuntutan insuran akan di pindahkan kepada pihak yang melanggar. Bermakna insuran kami tidak di usik. Alhamdulillah. Semoga perkongsian pengalaman ini boleh menjadi rujukan mereka yang senasib dengan kami. 

Apapun setiap kejadian yang berlaku ada hikmah dan peringatan dariNya. Betapa dekatnya kita dengan ajal setiap detik kehidupan ini. Berhati-hatilah sentiasa di jalan raya. Syukur juga kami berhadapan dengan insan yang baik dan tidak berlaku sebarang pertelingkahan semasa kemalangan berlaku. Semua urusan pun di permudahkanNya. Ini kali kedua, Axia terlibat dalam kemalangan dan dua-dua pun bukan kesalahan kami.