6hb Ogos 2022 lepas , genab dah sebulan arwah mak meninggalkan dunia dan isi alamNya. Tiada lagi insan yang boleh kak ana panggil mak, untuk bertanya itu dan ini, untuk merujuk pelbagai perkara. Kami redha akan janji Allah swt, setiap yang bernyawa pasti akan kembali kepada Yang Maha Pencipta, giliran kita bakal menyusul cuma bezanya jarak waktu dan masa sahaja..

Minggu lepas kak ana kembali semula ke kampung, ada urusan di HTI dan kami nak tempah batu nesan untuk mak. Sempat kak ana ke kubur ziarah mak. Dan kak ana juga uruskan abah untuk buat tuntutan Khairat Kematian BKM nya. 


cara tuntutan khairat kematian BKM 2022


Sebelum ini kak ana ada hubungi hotline BKM di talian 1 800 88 2747 untuk bertanya mengenai cara untuk membuat tuntutan khairat kematian BKM ,dokumen yang diperlukan dan di mana tuntutan boleh di lakukan. Alhamdulillah kak ana mendapat penjelasan dari pegawai yang bertugas dan tengahari tu kak ana bawa abah ke cawangan BSN Teluk Intan untuk membuat tuntutan. 

Jumlah tuntutan khairat kematian BKM untuk waris yang di daftarkan ada lah sejumlah RM1000 dan di bayar tunai di kaunter BSN terdekat. Mudah dan cepat urusan kerana kak ana dah sediakan semua dokumen yang di perlukan. 

Cara tuntutan khairat kematian BKM

Abah adalah penerima BKM dan pasangan yang meninggal adalah mak, maka abah layak untuk membuat tuntutan tersebut. Ketika kak ana hubungi hotline BKM, mulanya di nyatakan antara dokumen yang di perlukan adalah surat nikah arwah mak dan abah. 

Namun surat nikah mereka dah hilang dan tak ada dalam simpanan. Maklumlah usia perkahwinan arwah mak dan abah melebihi 50 tahun, Alhamdulillah kekal hingga ke akhir hayat mak. Menurut pegawai yang bertugas, kak ana boleh kemukan sijil kelahiran sebagai ganti. Maknanya sijil kelahiran kak ana atau salah seorang adik beradik , anak arwah mak dan abah.

Syukur sangat kak ana masih ada simpan sijil kelahiran asal dan kak ana bawa sebagai lampiran dokumen yang di perlukan. Jadinya antara dokumen yang kak ana bawa ke kaunter BSN hari itu adalah:

1. Sijil kematian arwah mak ( asli dan salinan )

2. Kad pengenalan abah ( asli dan salinan )

3. Sijil kelahiran kak ana - sebagai anak mengantikan sijil nikah  mak & abah (asli dan salinan ) 

Itu sahaja. Dan abah kena hadir kerana abah adalah penama penerima BKM . Jika waris , maka warislah yang didaftarkan itulah yang perlu hadir ke BSN untuk membuat tuntutan. Pergi ke kaunter BSN terdekat dan semua akan di uruskan oleh pegawai kaunter dan bayaran tunai RM1000 akan diberikan terus selepas selesai semua urusan. Alhamdulillah.. 

Untuk matlumat dan pertanyaan mengenai tuntutan khairat kematian BKM korang boleh lah baca di SINI . Semoga perkongsian kak ana nii ada manfaat nya, In Syaa Allah.. 





4 Comments