Masak lemak kulat sisir dengan kerang resepi warisan arwah mak ...
Zaman dulu laa, waktu kak ana masih kanak-kanak, kulat sisir ni arwah mak saudara kami, Wan Esah akan kutip sahaja di belakang rumah di batang-batang pokok getah yang tumbang. Cendawan ni akan tumbuh pada batang pokok getah bila musim hujan.
Selalu mak pesan, jaga-jaga kalau nak beli cendawan ni kerana bimbang ia tumbuh di batang atau kebun getah yang di racun rumpai dan terkena pada kulat. Jadi kami memang tak berani nak beli di mana-mana melainkan kutip di belakang sekitar rumah arwah tok sahaja.
Sekarang ni payah sangat nak makan kulat sisir , orang jual pun tak jumpa di bandar ni, apatah lagi nak pungut di batang getah sebab pokok getah pun dah tak ada. Bila kak ana dapat tahu dari Adik ada orang usahakannya secara komersil dan boleh beli di Shopee,lega sangat. Boleh lah order nanti bila teringin.
Resepi masak kulat sisir gulai lemak kerang
Ini lah resepi kesukaan arwah mak akan masak kan kami sekeluarga dahulu. Kulat sisir gulai lemak kerang. Mudah sama macam masak gulai lemak biasa. Cuma istimewanya buh laa isi kerang. Jom kak ana kongsikan resepinya untuk korang semua kalau nak mencuba.
Bahan-bahan :
Kulat sisir / Cendawan kukur - 1 pek kecil sahaja tapi bila dah rendam ia akan kembang.
Kerang - kak ana guna 1 kilo
Cili api - ikut kepedasan masing-masing
Bawang merah - 1 ulas
Kunyit hidup atau serbuk kunyit
Santan
Daun kunyit
Garam
Cara masak kulat sisir masak lemak kerang
1. Mula-mula rendam dahulu kulat kering ni hingga lembut dan ia akan berwarna perang airnya. Rendam agak lama juga dalam 1 jam bagi ia betul-betul lembut.
2. Sementara tu korang boleh lah rebus kerang dan kopek isi nya. Rebus kerang nak bagi kekal bulat tak over cooked, cara kak ana rebus air hingga didih dahulu kemudian masukkan kerang. Tutup periuk dan matikan api. In syaa Allah ia masak sempurna dan bulat-bulat lagi isinya.
3. Bila dah lembut kulat sisir kita, bilas bersih beberapa kali dan toskan. Ramas-ramas kulat hingga lebih lembut. Kalau arwah mak dahulu mak gigih tumbuh kulat dalam lesung batu bagi lembut.
4. Tumbuk cili api, bawang merah, kunyit .
5. Masukkan dalam kuali atau periuk kulat yang dah bersih bersama bahan tumbuk. Masukkan santan cair terlebih dahulu. Masak hingga cendawan empuk, ambil masa juga nak lembut jadi kacau selalu naa.
6. Kemudian masukkan daun kunyit yang di carik dan perasakan dengan garam secukupnya.
7. Masukkan santan pekat dan isi kerang. Kacau sebati.
8. Lepas sekali didih lagi boleh lah matikan api dan siaplah hidangan gulai lemak kulat sisir dengan isi kerang.
Adik kali pertama makan cendawan kukur ni dan Alhamdulillah dia suka sangat. Adik memang penggemar cendawan. Kak ana ajarkan dia makan menu warisan lama ni, mudah-mudahan dia kenal akan resepi lauk pauk lama macam ni.
Anak yang di besarkan di kampung macam kak ana ni, begitu lah kehidupan kami. Makan dengan apa yang ada dikeliling rumah. Sekali sekala rindu pada menu-menu nostalgia begini. Begitulah putaran masa yang berlalu yang tak mungkin berulang kembali. Yang hadir hanya rindu... Subhanaallah..
4 Comments
Makanan memori zaman dolu2 time pokok getah banyak belakang rumah.
ReplyDeletemakanan zaman saya kecil2 juga ni kak ana..campur dengan telur dadar pun sedap kan..
ReplyDeletekulat sisir campur kerang sedap tu lain rasanya
ReplyDeletefuhh.. telan air liur tgk gambar ni kak ana... sy masak lemak apapun sy akan suka
ReplyDelete