Bila musim cuti persekolahan ini memang ramai yang mengadakan majlis perkahwinan tak kira di kampung-kampung atau dibandar-bandar.Namun apa yang dapat ana katakan pada era tahun 2000 ni dah banyak elemen-elemen perkahwinan tradisional Melayu yang tidak lagi di buat untuk sesuatu acara resepsi perkahwinan. Memang banyak yang dah berubah ada yang ke arah positif seperti meninggalkan adat-adat resam kuno yang jauh menyimpang dari landasan Islam dan ada pula yang terlalu moden ke arah kebaratan hingga tidak lagi ada unsur Islamik dan kemelayuan didalam majlis-majlis resepsi mereka.

Pada pendapat ana , sesuatu majlis itu biarlah mengikut garis-garis yang telah ditetapkan dalam agama khususnya menerapkan nilai-nilai keindahan Islam itu sendiri disamping mengekalkan keindahan warisan Melayu agar seimbang kedua-dua elemen.Kita ada identiti bangsa dan agama kita yang indah dan tidak perlu terlalu mengikut unsur-unsur kebaratan.Ini adalah pendapat peribadi ana sahaja.

Berbalik pada majlis perkahwinan Melayu di Negeri Perak terdapat unsur-unsur yang unik dan menarik untuk ana kongsikan kepada generasi muda kini yang mungkin tidak pernah atau tidak mengetahui tentang beberapa elemen dalam sesuatu majlis perkahwinan tradisional zaman dahulu.Arus kemodenan kini dan kurangnya permintaan terhadap alat-alat perkahwinan Melayu Perak menyumbang kepada kepupusan warisan budaya ini.

Antara yang dapat ana himpunkan disini menerusi pencarian Encik Google ialah seperti berikut:

Pelamin Tradisional Perak:

foto dari :langkawicraftcomplex.blogspot.com
Majlis persandingan pada zaman dahulu khususnya di daerah kelahiran ana pengantin akan bersanding di atas pelamin yang dihiasi dengan sulaman tekad benang emas sebagai latar belakang, chior atau tempat alas duduk pengantin,kusyen ,kipas dan sebagainya.Pengantin akan bersanding dengan duduk bersila untuk pengantin lelaki dan bersimpuh buat pengantin perempuan.Dikiri kanan pelamin akan di hiasi dengan gubahan bunga telur yang diperbuat daripada kertas berwarna-warni atau berwarna emas.

Persalinan Songket Pengantin dan Aksesori:

foto dari:pengantin.com.my
Jika dahulu pengantin akan memakai persalinan tenunan songket samada baju kebaya atau baju kurung untuk wanita dan sepasang baju melayu dengan samping dan tengkolok untuk lelaki.Bagi pengantin wanita, mereka akan dihias dengan cucuk sanggul atau bunga ketar sebagai aksesori disamping rantai dan pending serta perhiasan emas atau tembaga.Namun kini, Alhamdulillah kebanyakan pengantin Muslimah telah menutup aurat dengan sempurna semasa majlis resepsi mereka.Inilah yang ana maksudkan dengan perubahan ke arah yang positif dengan meninggalkan adat resam yang tidak relevan lagi.Pengantin kedua-duanya memakai inai dijari menandakan mereka baru sahaja menjadi pasangan suami isteri yang sah.

Bilik Pengantin;


Kamar beradu pengantin juga dihiasi dengan cadar dan sarung bantal dari sulaman tekad benang emas.Kainnya dari jenis kain baldu berwarna terang seperti merah,hijau,biru tua dan kuning.Kini cadar sulaman tekad benang emas memang amat sukar untuk di cari lagi kerana harganya yang terlalu mahal dan tidak praktikal untuk digunakan sehari-hari kerana agak susah untuk menjaganya.Mungkin masih terdapat di kampung-kampung tradisional di daerah Kuala Kangsar,Bota dan Kampung Gajah.Seni tenunan tekad benang emas ini juga semakin lama semakin kurang generasi muda mempelajarinya.Walaubagaimanapun ana amat menyukai seni sulaman ini sebagai warisan budaya masyarakat Melayu Perak.

Tepak Sireh:


Jika dahulu tepak sireh ini dipanggil penghulu adat dimana ianya merupakan salah satu elemen penting dalam sesebuah majlis perkahwinan dimana peranannya digunakan didalam adat merisik,meminang,bertunang dan pernikahan.Didalamnya di letak sebungkus beras sebagai alas,daun sirih yang disusun mengikut kiraan yang tersendiri,kapur sireh,cengkih dan gambir.Pada pendapat ana ianya mungkin relevan pada zaman dahulu dimana orang-orang tua yang merupakan tonggak utama didalam acara-acara perkahwinan ini akan menguyah daun sireh ini sambil berbincang mengenai urusan perkahwinan seperti tarikh,hantaran dan sebagainya.Ini pendapat ana sahaja dan pada masa kini ianya lebih kepada elemen warisan yang kalau tidak ada pun tidak menjadi kesalahan malahan merupakan satu pembaziran pula apabila daun-daun sireh itu tidak digunakan dan akhirnya dibuang begitu sahaja...

Kipas Tangan:

foto:remizati.fotopages.com
Selain cadar ,kipas tangan yang digunakan oleh pengapit kedua-dua orang pengantin juga lazimnya di buat dari seni sulaman tekad benang emas.Ia digunakan untuk mengipas pasangan pengantin.Amat jarang untuk kita dapat melihat kipas pengantin tradisional ini lagi pada masa kini.

Pahar Tembaga:

foto:corsages.fotopages.com
Jika dahulu pahar untuk alas hantaran dan bunga telur diperbuat daripada logam tembaga.Ianya amat berat dan perlu dijaga rapi .Begitulah keindahan warisan tradisional Melayu di Negeri Perak yang ana ketahui serba sedikit daripada penceritaan dan pengalaman pada zaman kanak-kanak dahulu daripada sanak saudara yang lebih berpengalaman dalam urusan istiadat perkahwinan.Ada yang harus kita kekalkan dan ada juga yang tidak perlu diteruskan bergantung kepada keperluan masing-masing.Apa yang penting segala yang ingin kita lakukan biarlah berpandukan pada suruhan dan larangan Allah swt.

Ianya adalah satu perkongsian pengetahuan ana yang cetek ini dan sekiranya ada yang terlebih dan terkurang semuanya dari kekurangan pengetahuan ana sendiri.....

Foto-foto dari Google Image.

6 Comments

  1. kalau dapat tgk perkahwinan tradisional perak fully ikot tradisi mesti menarik..
    tp skrg da terlalu byk perubahan seiring keadaan semasa..apapun jgn lupekan tradisi kita..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Miss Za: memang benar namun agak payah utk mendapatkan alat-alat dan aksesori pengantin tradisional pada masa kini...dan yang benar-benar Perak asli juga hanya boleh di rujuk dengan mereka yang masih menetap di kampong-kampong tradisional seperti Kuala Kangsar,Kampong Gajah dan Bota..

      Delete
  2. Terima kasih ats penceritaan yang amat ringkas tetapi padat. Sgt membantu saya dlm mnyiapkan tugasan ttg adat-adat di negeri Perak :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah semoga catatan dari pengalaman Kak ana dapat membantu Sharifah .:)

      Delete
  3. Replies
    1. sila kan, semoga bermanfaat buat Hidayah Husin.:)

      Delete