Pusat Konservasi Tuntung di Bota Kanan,Perak


Memandangkan kesesakan trafik yang teruk di sepanjang lebuhraya PLUS sempena perayaan Hari Raya Aidil Fitri yang lalu, kami mengambil keputusan menggunakan laluan alternatif semasa berjalan raya kali ini.Destinasi kami sekeluarga adalah menuju ke Taiping, rumah adik sepupu ana, sambil mengambil peluang singgah ke bandar Kuala Kangsar untuk makan angin. Berkonvoi dengan 3 buah kereta kami melalui jalan alternatif ke Kuala Kangsar dari Teluk Intan melalui pekan Bota Kanan menghala ke Manong dan sampai ke Kuala Kangsar tanpa sebarang kesesakan trafik.Alhamdulillah.

Kami singgah sarapan di pekan Bota Kanan dan kebetulan dibelakang gerai tersebut terlihat papan tanda Pusat Konservasi Hidupan Liar (Tuntung) tidak jauh dari situ.Agak kelakar bila ana tanya pada anak-anak yang bersama kami, apakah itu tuntung? Macam-macam jawapan yang diberi, ada yang mengatakan sejenis ayam, kera dan sebagainya.Sebenarnya tuntung adalah spesis kura-kura atau penyu yang tinggal di sungai-sungai berpasir di sekitar Sungai Perak.Secara tidak langsung, dapatlah anak-anak belajar sesuatu mengenai tuntung disini.



Pusat konservasi ini merupakan salah satu projek pembiakan tuntung yang dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Negeri Perak.Bertujuan untuk mengelakkan kepupusan spesis tuntung.Tuntung menjadikan sungai yang berpasir sebagai habitat, kian terancam pembiakannya akibat kerakusan manusia yang mengambil pasir-pasir sungai untuk sektor pembinaan.


Tuntung dewasa

Disini, terdapat beberapa kolam disediakan untuk mengasingkan ibu-ibu tuntung yang bertelur dan anak-anak tuntung yang dijaga sehingga berusia dua tahun dan kemudian akan dilepaskan semula ke habitat asal mereka di sekitar Sungai Perak.


Kolam-kolam pengasingan tuntung

Selain dari itu, disini juga terdapat seekor bangkai buaya yang sudah diawet.Panjang dan besar juga buaya ini dan anak-anak kecil agak takut untuk menghampirinya.

Buaya yang diawet

Sesuatu yang sangat menarik perhatian ana sebelum meninggalkan pusat konservasi tuntung di pekan Bota Kanan ini ialah nukilan sajak bertajuk 'Seekor Tuntung Tua' hasil penulisan Safiah bt Mohamad dari SMK Seri Iskandar yang terdapat disini.Sangat puitis dan membawa maksud yang mendalam.



~berkongsi info disini~