Rumah Tradisional Melayu 


Ana sangat sayang dan kagum dengan apa sahaja elemen tradisional Melayu lama ni.Ia satu keistimewaan buat kita orang-orang Melayu yang kaya dengan pelbagai tradisi dari segi pakaian, makanan, seni bina, budaya dan adat serta lain-lain lagi yang merangkumi pelbagai etnik dan mempunyai ciri-ciri yang unik. Salah satunya ialah keunikan dan keindahan senibina rumah tradisional Melayu yang semakin hari kian hilang di telan arus permodenan.

Kalau ada pun cuma di galeri-galeri pameran atau muzium-muzium tempatan dan paling tidak pun terdapat di kawasan kampung-kampung Melayu seperti di sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan jika di Perak ni, kebanyakkannya ana jumpa di Kuala Kangsar, Bota, Kampung Gajah dan sebagainya.Di Teluk Intan sendiri sudah tidak lagi kelihatan rumah-rumah tradisional Melayu, dan rumah arwah Tok sendiri sudah tinggal separuh yang tradisional dari papan kerana di bahagian dapur telah diubah suai kerana telah uzur.Maklumlah rumah pusaka sebelum Merdeka lagi usianya.






Istana Satu


Ketika berada di Muzium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini, yang sangat menarik perhatian ana ketika itu ialah senibina rumah tradisional Melayu yang ada pada Istana Satu yang terletak di hadapan pintu masuk ke muzium. Sangat unik dan menarik bercirikan elemen Melayu lama.Jom kita lihat apa yang sempat ana rakamkan untuk perkongsian disini.



Ukiran yang terdapat pada pemegang anak tangga untuk naik ke rumah ini sangat  cantik dan sudah jarang kita temui lagi.Berciri awan larat dengan motif tumbuhan rebung selalunya memberi inspirasi kepada pengukir yang gigih menghasilkan satu hiasan tradisional Melayu yang kian pupus ketika ini.Turut di jadikan penyeri anjung hadapan rumah-rumah Melayu suatu ketika dahulu.



Kemudian perhatikan pula pada dinding Istana Satu ini terdapat ukiran kayu yang sangat mempersona dengan motif bunga dan susunan pada dinding papan yang kemas dan unik.Tiang juga dipasak dengan kuat sebagai dasar rumah Melayu yang tinggi dan di alas batu di bawah setiap tiang rumah ini.Tidak kurang juga garapan pada tingkap-tingkap rumah tradisional Melayu yang luas dan terbuka untuk memberi pencahayaan ke dalam rumah.




Ruang dalaman Istana Satu



Seni bina tangga batu juga salah satu elemen rumah tradisional Melayu khasnya di negeri Melaka. Bentuk tangga yang terbuka di katakan membawa maksud selamat datang kepada tetamu rumah.Ia kemudian dihias dengan ukiran atau susunan jubin pada sisi dan anak tangga.


Latar belakang Istana Satu yang terdapat di Muzium Negara,Kuala Lumpur.

Inilah sahaja perkongsian ana kali ini, mengenai keindahan seni bina rumah tradisional Melayu yang terdapat pada Istana Satu, di perkarangan Muzium Negara,Kuala Lumpur.Ana menulis berdasarkan pengalaman peribadi sahaja dan mungkin ada beberapa kesilapan di sini, harap dapat diperbetulkan.Sekadar berkongsi pengalaman dari sebuah catatan perjalanan.