resepi rendang pegaga
kredit foto : FB azura hawa 



Kali ini ana nak kongsikan satu resepi tradisional dari jiran tersayang Azura Hawa. Bukan tradisional Perak seperti yang sering kali ana update di www.anajingga.com tetapi paling menarik kerana ianya resepi dari arwah abahnya yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan. Ermm memang meleleh air mata bila di makan, namun percayalah tak boleh berhenti menyuap ke mulut. Lagi dan lagi. Subhanallah.. teramat sedap.

Sejak berumahtangga ni, ana memang menggemari masakan orang Negeri Sembilan. Dari awal perkahwinan, diberiNya peluang mengenali kakak angkat ana, kak Emimy orang Paroi, yang selalu  menyajikan masakan lemak cili apinya dan yang paling segar dalam ingatan ialah lemak cili api ketam serta lemak cili api ayam kampung dan maman.Kemudian semasa menghuni di Ukay Perdana dahulu, jiran paling akrab ialah Yati dan keluarganya dan hampir setiap minggu bertukar juadah istimewa dari negori yang sedap-sedap air tangan Wan. Alhamdulillah disini pula, di takdirkan berjiran dengan Zura yang rajin menghulur rezeki masakan-masakan lazat orang negori dan Melaka yang pasti terkenang-kenang kesedapan.Inilah nikmatnya ukhuwah berjiran.

Jom ana kongsikan resepi rendang pegaga yang diberikan sendiri oleh Zura dan dengan izinnya, ana kongsikan semula di ruang abadi ini, yang mana mungkin dapat memberi manfaat buat orang lain, In Shaa Allah.

Resepi Rendang Pegaga



Bahan-bahannya:

6 ikat daun ulam pegaga ( direndam dengan air garam seketika dan dibasuh bersih)
1/2 kilo atau 500 gram ikan bilis ( dikopek, bersihkan dan ditumbuk)
Kerisik (dalam setengah biji kelapa parut )
Santan kelapa ( 1 kg )
Bawang merah ( 3 ulas - dikisar) 
Bawang putih ( 3 ulas- dikisar )
Halia ( 1 inci - di racik )
Kunyit hidup ( 3 buku - di tumbuk  )
Serai ( 3 batang - di ketuk )

Bahan rempah:

Cili kering (anggaran RM1 - di blend )
Lada hitam (1 sudu )
Kayu manis ( 2 batang )
Ketumbar ( 4 sudu )
Jintan manis / jintan putih (1 sudu )
Buah pelaga, cengkih, lada putih ( ikut rasa )


Cara-cara memasak rendang pegaga 

1. Sangai semua bahan rempah kering dan di blend halus.(Sangai ialah goreng tanpa minyak ) 
2.Masukkan semua rempah, cili kering, kunyit, ikan bilis,bawang merah , bawang putih, halia, serai ke dalam kuali dan masukkan garam secukup rasa.
3. Masukkan daun pegaga, letakkan sedikit air.Kacau sampai kecut.
4. Masukkan santan pekat dan biarkan kering sedikit barulah masukkan kerisik.
5. Kacau sampai kering kehitaman. Resepi ini tidak menggunakan minyak.
Bak kata Zura 'leburkan aje ' di dalam kuali dan kacau sentiasa. 


rendang pegaga



Selamat mencuba