Pandangan biasa hari ini, beberapa orang kawan atau sebuah keluarga, duduk semeja, memesan makanan dan minuman, kemudian suasana sunyi sepi. Masing-masing leka memandang smartphone, membaca mesej dari whatsapp yang masuk, membalas mesej, menyusuri Facebook dan like gambar-gambar di Instagram, dan sebagainya.Apa nak hairan kan, inilah teknologi masa kini. Bukan setakad anak muda, mak pak pun sama gak. 


Rupanya inilah yang ditakutkan oleh Albert Einstein suatu masa dahulu. Kini dah jelas dan nyata ketakutan beliau adalah realiti hari ini. Smartphone, mendekatkan yang jauh, menjarakkan yang di depan mata. Benar, banyak kebaikannya, dengan pelbagai aplikasi yang terdapat pada smartphone, segala aktiviti, perkhabaran dari sahabat handai, saudara mara tak kira dari pelusuk dunia mana pun dapat diketahui dengan kadar yang segera. Alhamdulillah,postifnya di situ. Kisah  mak long masuk wad, hari lahir sepupu, ulangtahun kelahiran anak saudara, keputusan SPM anak mak andak semua kita boleh tahu.Live update gitu.

Tapi yang tak bestnya lepas tahu, kita buat andaian pula, alaa saja nak menunjuklah tu dia bahagia, saja nak tayang lah tu keputusan anak dia semua A, cik Peah sempat selfie lagi kat katil pak Mat yang sedang berbalut wayar keliling badan dalam ICU dan seribu satu andaian kita tafsirkan. Negatif laa pula dah. Cubalah bersangka baik kan, tapi bukan mudah juga nak mendidik hati, betul tak? Dah nama lagi manusia kan.

Okay berbalik pada ketakutan Albert Einstein, nyata walau duduk semeja, jarang dah kedengaran gurau senda sesama rakan, ibu ayah menjawab pertanyaan anak-anak yang bertalu-talu, adik bercerita dengan kakak kisah budak tomboy kat sekolah tadi kena tarik telinga, dan seribu satu kisah lagi yang dahulunya rancak memeriahkan suasana.

Teringat kembali era 90-an dahulu, ana dan sepupu namanya Intan. Kami satu sekolah duduk sebelah-sebelah rumah sahaja pun. Jarak usia dua tahun beza. Dah sakan dah jumpa kat sekolah, bila di rumah, petang-petang lepak atas titi depan rumah sambil berborak balik kisah sekolah. Dari kisah budak lelaki kena denda masa perhimpunan, ada mamat bagi surat tabur bedak, kisah Cikgu Displin gunting rambut murid dan macam-macam lagi lah. Selagi mak atau makcik tak jerit ' udah-udah le tu, tak cukup ke di sekolah cerita tu, dah nak Maghrib pun sambung lagi kisah yang sama!!, Balik cepat, hari dah senja!!' ambik ko.

Itulah kami dahulu. Kini masih lagi berhubung dan kalau berjumpa semula dengan sepupu sepapat, pelbagai nostalgia silam kami bualkan semula. Kenangan main masak-masak atas reban ayam, kisah berebut jajan, kisah kutip tiket bas di tepi jalan dan segalanya tercatat indah di dalam lipatan kenangan untuk di cerita kan semula.

Agaknya, sepuluh atau dua puluh tahun akan datang, apa ye yang akan di bualkan oleh anak-anak kita untuk mengimbas kenangan lampau. Barangkali, 'ingat tak Nora Danish upload gambar dia bercuti kat London'. Haha... 

Zaman sekarang sukar nak mencoretkan kenangan. Contohlah gambar-gambar di smartphone. Sekarang ni boleh sahaja bergambar 16 ribu keping dalam sehari,gambar makanan pun kita rakamkan (ana lah tu, nak masuk Instagram) , namun akhirnya memori penuh, delete, terpadam sudah. Jika dahulu gigihlah ke kedai gambar hantar untuk dicetak, dulu kami panggil cuci gambar. Dan walaupun ada gambar mata terpejam, mata jadi merah namun masih elok tersimpan hingga ke hari ini. Anak-anak masih boleh gelak besar bila lihat gambar sekolah mak pak yang kelakar habis dengan seluar ketat ala-ala Amy Search, baju sekolah kain senteng. Rock O mak kita dulu. 

Panjang pula membebel di sini. Namun inilah teknologi. Ia dicipta oleh manusia untuk memudahkan urusan duniawi. Namun kita lah yang diberiNya akal dan fikiran, mengawalnya, bukan ia yang mengawal kita. Ana dan keluarga kecil kami menetapkan syarat dengan sangat mudah. Off data ketika makan, ketika berada di luar rumah. On hanya bila perlu sahaja. Nikmatilah saat-saat indah disamping insan-insan tersayang, ciptalah memori bersama mereka, kerana waktu yang berlalu tak mungkin dapat diulang kembali. Waallahu a'lam dan sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah swt, dan yang buruk adalah dari kekerdilan ana sebagai hambaNya yang tak lekang dari melakukan kesilapan.