Dah jiwa kampung lah katakan, bila usia kian meningkat jiwa kian kembali ke persekitaran di kampung semula. Aktiviti bercucuk tanam yang sinonim dengan jiwa kampung kami. Mempunyai minat yang sama seperti ana dan suami bertani dalam bandar bak kata wartawan Harian Metro dalam artikelnya tentang kisah ana berkebun entrinya di SINI , sepupu yang juga bff ana , Intan dan suaminya Salleh juga mempunyai hobi yang sama berkebun. Kalau ana bertanam di halaman belakang rumah, Intan dan Salleh lebih unik untuk ana kongsikan disini kerana mereka berkebun di dalam pasu sahaja di keliling rumah.




Tanaman dalam pasu 

Mendiami rumah setingkat lot tepi menjadikan bonus buat mereka suami isteri memanfaatkan setiap ruang yang ada dengan mengatur pasu-pasu yang subur dengan tanaman pokok bunga mahupun sayuran dan herba. Dah lama dah ana nak ke rumah Intan Salleh yang tak lah jauh mana pun dengan rumah ana, satu daerah lebih kurang, cuma kekangan waktu yang membatasinya. Minggu lepas ketika cuti Thaipusam, ana dan suami ke rumah Intan Salleh,sambil nak menziarahinya yang demam dua tiga hari dah tak sihat. Sampai turun kereta je, terkasima kejap melihat kesuburan dan keindahan pokok dalam pasu di keliling dinding tepi rumah Intan.




Cuba korang tengok tu, berderet pasu-pasu di tepi dinding dan di atas longkang rumah yang di alas Salleh terlebih dahulu agar tidak mengganggu aliran airnya. Nampak sejuk mata memandang kan dengan pelbagai jenis keladi berwarna-warni , pokok puding , bunga-bunga dan yang paling menarik perhatian ialah tanaman sayuran dan herba. Subur menjadi..Alhamdulillah.








Dari pokok-pokok bunga, sampailah ke pokok cili, cili api, limau kasturi, limau purut, terung, tomato dan segala neka ada di tanam oleh pasangan Intan & Salleh ni. Kata Intan,Salleh yang rajin mengadap pokok-pokoknya setiap kali balik dari kerja. Ana sempat juga bertanya, mana mereka dapat benih tananam ni? Kebanyakannya mereka beli dari nurseri Sungai Buloh dan ada juga dari semaian anak benih dari kedai Eco... alaaa kedai RM2 tu. Erm... korang percaya lah , boleh je semai benih dan menjadi juga tanaman dari benih yang di beli dari kedai Eco tu.




Ana pun bercadang nak cuba juga tanam benih terung panjang ni, bukan apa, sebelum ni ana ke kedai runcit Acheh bila timbang sebiji tu berharga RM2, Ambik kau, mahal ya amat kan. Kalau kita tanam sendiri nak pakai sebiji dua tu cukup lah untuk sekali masak buat keluarga kecil kami ni. Semangat nii nak tanam terung haha 😉😉










Tak rugi berbudi pada tanah ni, hasilnya akan dapat kita nikmati dengan penuh kegembiraan hasil tanaman titik peluh kita sendiri. Namun tak semua orang ada minat macam kami ni, lain orang lain kelebihan yang Allah swt berikan. Pada yang mempunyai keinginan dan minat dalam bercucuk tanam ni, gunakan segala ruang dan peluang yang ada, teroka dan kreatif , usahakan dengan penuh kesungguhan, nescaya akan mendapat satu nikmat kepuasan, In Shaa Allah.