Hari ini 25hb Disember merupakan sambutan perayaan Hari Natal atau Krismas di kalangan penganut agama Kristian. Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, berlegar-legar di media sosial dan pesanan whatsapp yang mengharamkan pengucapan " Merry Christmas " di kalangan orang Melayu kepada yang meraikan nya. Laju je di shared dan forwarded tanpa merujuk terlebih dahulu kepada yang lebih arif dalam bidangnya. Entah dari mana sumber pun tak tahu, terus percaya dan sebarkan. Sedihkan.. 


kredit instagram Pu_rahmat 


Sebagai pemain media dalam arena ini, ana terpanggil mencari beberapa rujukan sahih sebelum berani membuat perkongsian dan bimbang akan di jadikan rujukan oleh pihak lain. Selalu ana ikuti akaun Instagram Mufti Wilayah Persekutuan , Ustaz-ustaz pilihan, Pencetus Ummah, Imam Muda dan lain-lain ahli yang sahih dan dari situlah ana berani menulis sesuatu fakta. Alhamdulillah.. jelas bahawa adalah tidak menjadi satu kesalahan untuk kita umat Islam memberikan ucapan " Merry Christmas " , sama seperti ucapan Selamat Tahun Baru Cina, Happy Deepavali kepada kaum-kaum yang berlainan anutan sebagai ucap selamat. 

 Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, ia adalah berdasarkan beberapa hujah, antaranya ucapan yang diberikan merupakan simbol perpaduan untuk masyarakat yang hidup secara majmuk. Bagaimanapun, katanya umat Islam tetap perlu mematuhi beberapa 'syarat' seperti melafazkan ucapan tanpa niat mengagungkan, dan tidak membabitkan diri dalam ritual keagamaan yang dilakukan.

Kenyataan itu turut memetik beberapa ayat al-Quran, seperti Surah al-Mumtahanah ayat 8 hingga 9. Ayat itu antara lainnya menggalakkan umat Islam berlaku adil dan saksama kepada orang-orang bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam.

Menurut kenyataan itu lagi, hal ini juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 tahun 2007 yang berbunyi:

"Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.”

Petikan dari : http://www.astroawani.com/gaya-hidup/ucapan-merry-christmas-diharuskan-mufti-wilayah-126240

Seharusnya kita umat Islam memberikan contoh yang terbaik dalam pergaulan kerana agama kita sendiri menyarankan hidup dalam kedamaian dan saling menghormati kepercayaan agama lain selagi tidak bercanggah dengan pegangan iman dan aqidah. Pelihara iman dan kekuatannya , In Shaa Allah di mana jua kita di campakkan kita akan kekal dalam Iman dan Islam. Usah mudah goyah dengan penyebaran info yang belum tentu sahih dan percaya bulat-bulat tanpa merujuk sumber yang sah. Waallahu a'lam dan semoga bermanfaat .