Khamis lepas, suami ajak balik kampung nya di Benta, Kuala Lipis, Pahang. Ada urusan tanah pusaka sambil tu nak balik jengok adik beradiknya, mertua ana dua-dua dah tak ada, jadi kalau balik pun ke rumah abang dan kakak ipar di kampung. Memandang suami cuti hari Khamis, kami balik berdua sahaja, Adik Ika ada kelas online dan Kak Long kena temankannya di rumah. Balik hari bekerja ni senang sikit, lancar perjalanan kerana kalau tak hujung minggu selalunya sesak lah lebuhraya Karak tu kan. 

Kami bertolak awal pagi ikut Batang Kali melalui Genting Highlands dan singgah Bentong rumah kakak ipar ana yang sulung. Sampai je biras buka durian Musang King sebiji. Anak buah suami tu kerja kilang memproses durian Musang King di Bentong ni, katanya durian ni untuk eksport ke China. Dapatlah beli dengan harga murah tapi gred yang murah juga lah durian Musang King ni. Ana tak makan pun, suami yang bedal. 




Ikan patin tempoyak di Raub 

Lepas berbual seketika kami meneruskan perjalanan ke kampung dan suami nak singgah makan tengahri di Raub. Mengidam nak makan gulai tempoyak ikan patin Pahang, katanya. Ye lah lama dah tak jumpa ikan patin sejak PKP hari tu, payah nak jumpa kan. Kami singgah di perkarangan masjid Raub dan menikmati semangkuk ikan patin tempoyak. Untuk kepala ni satu bahagian tu di jual pada harga RM12. Makan ikan patin ni kena tanya harga dahulu, takut terkejut pula kan. Sedap lah juga, Alhamdulillah cuma kurang rasa tempoyak dan tak banyak daun kesumnya. Tapi ikan patin dia cukup segar dan tak berbau langsung. 




Durian kampung Kuala Lipis 


pokok durian kampung

Lepas makan teruskan perjalanan ke Benta, Kuala Lipis. Pekan Benta ni tak sampai ke bandar Lipis cuma berada di daerah nya sahaja. Sebuah pekan kecil dan kampung arwah mertua di Kampung Jerangsang, lebih kurang 16km dari pekan Benta. Perkampungan Melayu tradisional. Sampai rumah abang ipar , dan rumah pusaka arwah mertua pula di huni oleh adik ipar ana sekeluarga. Pokok durian adalah keliling rumah dalam 10 pokok juga lah. Tapi semua durian kampung. Kalau dahulu banyak pokok pisang, rambutan, pulasan dan sebagainya tapi sekarang cuma pokok durian yang berbuah setahun sekali bila musim nya. Pokok buah lain dah tak berjaga sangat, abang ipar pun dah tak berapa sihat. 



Biras ana dah siap masakkan laksam untuk kami berdua. Kakak ipar dan adik ipar pun ada sekali kat sini, nak bincang pasal tanah tadi kan. Laksam tu, biras ana buat sendiri laksanya. Gigih lah sekeping demi sekeping dia kukus atas tudung periuk. Siap dengan ulam dan sambal, sedap sangat, terima kasih Mek Su. 




Kami jamak siap-siap Zohor dan Asar kerana sepanjang perjalanan masjid dan surau masih di tutup pagarnya. Ana tak pasti apa SOP nya sama ada untuk jemaah kariah sahaja atau memang di tutup untuk orang luar. Sedih juga lah kan, bila melihat masjid dan surau berkunci pagarnya. Jadi kalau nak perjalanan jauh pastikan jangan lupa niat musafir dan jamak solat, naa. 

Abang ipar bekalkan 15 biji durian untuk di bawa balik. Dah lah kami bawa MPV hari ni kerana kereta AXIA di bengkel terlibat kemalangan kecil sebelum balik Perak hari tu. Bayangkan lah duk MPV satu kereta dengan buah durian. Kalau kereta sedan tu ada juga isi dalam bonet ye tak. Ini satu kereta duk dengan durian, adoiyai. Nak buka tingkap pula dalam perjalanan balik tu, hujan dari Benta ke Raub. Bertabah lah on aircond bersama buah durian. Walaupun suami dah letak daun pandan, tetap aroma durian mengatasinya.. 




Kakak ipar ana ada juga bekalkan sebekas tempoyak, masih baharu lagi tempoyak ni. Cuma tempoyak Pahang ni buh garam beza dengan tempoyak kami orang Perak memang pure isi durian tak buh garam. Lain orang lain lah carana kan. Kita raikan perbezaan, tak ada hal lah kan. 




Sampai rumah terus bagikan durian di kalangan jiran-jiran terdekat termasuk lah Leong jiran sebelah rumah ana ni. Leong ni pandai berbagi juga kalau balik Johor ada sahaja buah-buahan yang di berikan pada kami kerana keluarganya di sana berkebun buah-buahan. Seronok dapat jiran yang baik-baik kan, walaupun berbeza kaum. Alhamdulillah. 

Isi durian kampung ni tebal dan lemak cuma ia bersabut. Tapi gemok-gemok lah ulasnya, puas makan. Cuma kalau yang beli timbang kilo durian kampung ni agak kecewa juga lah kalau dapat isi yang nipis kan. Maklum lah bila kita beli timbang kilo ni, kulit ajer dah berapa gram isi pula belum tentu elok. Ikut nasib. Harga bukan murah pula tu. Sebab tu kalau tak beriya sangat ana dan suami jarang nak beli durian. Dan bila musim macam ni seronok berkongsi rezeki sesama jiran. Selebihnya, kami kupas siap-siap isi dalam bekas dan frozen kan. Bila teringin nanti boleh lah di makan atau di jadikan menu. 

12 Comments

  1. Seronok balik kampung dapat makan buah durian.

    ReplyDelete
  2. Duriaaannn lama tak makan durian!

    ReplyDelete
  3. Seronoknya cuti cuti balik kampung kak ;)

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah dapat balik kampung makan durian.

    ReplyDelete
  5. seronoknya balik kg walaupun sekejap. memang langkah kanan, ada durian, ada laksam, siap boleh pekena patin tempoyak lagi

    ReplyDelete
  6. bestnya dapat tempoyak...masak2 atau buat ikan bakar tempoyak best juga ni

    ReplyDelete
  7. kann D, agaknya memang resepi depa macam tu, kita belah Perak ni pekat poyak dan kesumnya, baru kaw hehe :)

    ReplyDelete