Bila usia kian meninggi ni, selera kampung juga yang menjadi pilihan selera tekak. Kalau muda remaja dahulu memang tak gemar sangat nak makan ulam-ulam dan kerabu ni, tapi sekarang ni kalau dapat makan nasi dengan kerabu atau pucuk ulam, Allahu .. itu lah yang membangkitkan selera. Sepanjang PKP dan waktu kita di uji dengan pendamik ni, nak balik ke kampung halaman bukan lah sesuatu yang dapat kita lakukan seperti waktu sebelumnya. Kalau balik pun dah tak merasa lagi nak menikmati makan bersama kaum keluarga reramai dengan menu-menu sajian kampung. Jadi hari ini ana terpanggil untuk berkongsi dengan pengunjung tersayang, 10 resepi dan idea kerabu dari resepi masakan ana sendiri untuk di cuba di rumah. Bolehlah di nikmati seisi rumah menggamit nostalgia ketika makan di kampung atau gerai nasi campur bagai dulu-dulu sebelum kita menjadi insan-insan asing seperti waktu ini. 

10 resepi kerabu ala kampung


resepi kerabu ala kampung

1. Resepi Kerabu bunga kantan 


kerabu bunga kantan


Kerabu bunga kantan ni ana pelajari dari arwah mak mertua yang berasal dari Kelantan.
Bahan-bahannya sangat mudah
- segengganm ikan bilis - buang tulang dan bersihkan
- beberapa biji cili api 
- garam secukup rasa
kesemua bahan-bahan ini kita tumbuk lumat dalam lesung batu
- beberapa kuntum bunga kantan (kita hiris halus-halus atau mayang halus)
gaulkan dengan sambal bilis tadi dan perahkan air asam limau . 

2. Kerabu bunga betik 


kerabu bunga betik


Bunga betik ni juga menu resepi kerabu kampung, kalau di bandar ni payah juga nak dapat bunga betik nak-nak lagi waktu sekarang di mana pasar tani pun tak banyak menjual produk kampung kerana larangan rantas negeri dan daerah kan. Andai kata ada bunga betik boleh lah mencuba. 

Cara membuat kerabu betik 

Bunga betik yang dipetik perlu direbus dengan asam keping terlebih dahulu untuk menggurangkan rasa pahitnya.Kemudian bilas dengan air bersih.Sediakan kerisik,udang kering yang di goreng terlebih dahulu,cili merah dan bawang besar yang dihiris dan gaulkan kesemua bahan.Akhirnya rasakan secubit garam dan gula disamping perahkan air asam limau kasturi.Siap.

3. Kerabu perut air asam 


kerabu perut air asam


Bahan-bahan kerabu perut air asam 

Beberapa keping perut lembu yang telah dibersihkan hingga putih - rebus empuk dan hiris nipis-nipis.
Bawang merah di mayang halus
Cili api ikut kepedasan rasa masing-masing - di mayang halus
Dua batang serai - dihiris halus
Dua biji tomato - dipotong dadu
Sedikit belacan - ikut suka 
Perahan air asam limau
Bancuhan air asam jawa 
Garam
Gula 
Daun sup atau ketumbar

Caranya buat kerabu perut air asam 


Gaulkan kesemua bahan bersama hirisan perut tadi.Masukkan air asam jawa dan sedikit perahan limau.Rasakan dengan garam dan gula serta taburkan daun sup atau daun ketumbar sebagai penambah rasa.

4. Kerabu kobis 


kerabu kobis


Bahan-bahannya pun mudah sangat, korang kena dapat kan kobis yang betul-betul segar baru lah rasanya sedap dan rangup di makan. Kobis segar ni korang hiris nipis sama seperti membuat coleslaw tu. Kemudian hiris kan juga bawang merah dan cili api nipis-nipis. Gaulkan kesemua bahan bersama cuka masakan dan perasakan dengan gula dan garam. Dah siap. Sedap di makan dengan nasi ayam juga tau. Kena cuba sendiri baru tahu rasanya..ala-ala jelatah timun juga rasanya.

5. Kerabu ulam raja 


kerabu ulam raja


Bahan kerabunya, kelapa parut, bawang merah, cili merah atau cili api ikut lah selera masing-masing. Tumbuk bawang merah, cili dan masukkan sedikit belacan. Kemudian tumbukkan juga isi udang kering yang di sangrai seketika. Gaulkan dengan kelapa parut. Akhir sekali gaulkan pula dengan pucuk ulam raja yang di hiris halus tadi. Rasakan dengan garam secukupnya dan perahkan asam limau kasturi atau limau nipis. Ikutlah mana yang ada kan.

6. Kerabu kacang panjang dan sotong


kerabu kacang panjang


Bahan-bahan kerabu kacang panjang dan sotong

Kacang panjang segar - di dadu
Sotong - celur dan hiris nipis
Tomato - di dadu 
Daun limau purut - hiris halus
Bawang merah 
Serai
Cili api
Perahan jus limau kasturi atau limau nipis
Sos ikan (kalau ada buh kalau tak ada pun tak perlu)
Garam
Gula 

Cara buat kerabu ni mudah sangat lah kan, macam nak buat salad sahaja, cuma ni versi Melayu. Potong dan hiris semua bahan nipis. Celur sotong seketika dan hiriskan nipis juga. Gaulkan ke semua bahan dan rasa kan dengan garam dan gula secukup rasa.Perahkan jus limau ketika menghidangkannya. In Shaa Allah sedap buat penggemar kerabu.

7. Kerabu mangga ikan bilis 


kerabu mangga ikan bilis


Bahan-bahan kerabu mangga :

Beberapa biji mangga muda 
Ikan bilis kopek dan bersihkan
Cili api
Serbuk lada 
Garam
Gula 
Sos ikan nampla ( jika suka ) ana tak letak pun

Cara buat kerabu mangga 

1. Kupas kulit buah mangga muda,basuh dan toskan airnya biar kering. Hiris nipis atau kalau nak mudah gunakan penyagat.
2. Tumbuk lumat ikan bilis yang telah di bersihkan bersama cili api mengikut kepedasan masing-masing. Taburkan serbuk lada dan tumbuk sebati. 
3. Satukan dengan hirisan mangga tadi, gaulkan dengan gula dan garam secukup rasa. Kalau nak letak sos ikan nampla pun boleh sahaja cuma hati-hati bila masukkan garam kerana sos ikan pun dah ada rasa masinnya. Ada orang perahkan asam limau, tapi ana tak pula sebab mangga tu pun dah cukup masam dah.

8. Kerabu sare mudah 


kerabu sare'


Resepi kerabu sare yang ana nak share ni bukanlah resepi original Kelantan, ni resepi kerabu sare sempoi dan mudah sahaja resepi dari jiran ana , Zura. Kalau resepi asal dari Kelantan tu rumit dan banyak bahan serta step yang kena buat. Hat ni mudah sangat kalau nak cuba tapi sedap rangup bila di makan. 

Zura bagitau, sare' ni nak masaknya kena rendam 12 jam sampai lembut. Tapi sedap hat yang Zura buat ni, lembut dan bersih. Rumpai laut ni risau ada berpasir jer kan. Bahaya gak kalau di makan, takut ada kesan sampingan di masa hadapan. Zura buat kerabu ni dengan gaulkannya dengan udang yang di celur, bawang dan cili padi yang di hiris. 

9. Kerabu bayam brazil 


kerabu bayam brazil


Bahan-bahan kerabu bayam brazil 
Pucuk bayam brazil - petik sehelai-sehelai dan hiris kecil-kecil supaya mudah lah nak makan nanti. 
Kelapa parut
Bawang merah
Cili merah
Belacan - ana suka bakar terlebih dahulu
Telur masin - ikut suka tak buh pun tak apa boleh gantikan dengan udang kering 
Taugeh 
Garam
Gula
Hirisan limau nipis

Cara buat kerabu bayam brazil 

- Tumbuk bawang merah dan cili merah. Masukkan belacan sedikit sahaja.
- Masukkan telur masin ke dalam lesung dan lenyet-lenyetkan sahaja. 
- Di dalam mangkuk besar, gaulkan bayam brazil, taugeh dan bahan tumbuk tadi bersama kepala parut. 
- Rasakan dengan gula dan garam. Sedia untuk di hidang kan.
- Letakkan hirisan limau nipis bila nak makan bolehlah perahkan jus limau nipis.

10. Kerabu meggi 


kerabu meggi

Bahan kerabu meggi

2 peket meggi tomyam Thai 
Udang segar - bersih dan celur seketika
beberapa batang crab stick atau apa-apa bebola seafood ( celur seketika ) 
1 biji tomato - di hiris nipis
1 ulas bawang merah - di hiris nipis
setangkai daun ketumbar
cili api jika suka pedas
beberapa sudu sos ikan nampla

Cara buat kerabu meggi

1. Celurkan meggi Thai dan toskan. 
2. Masukkan ke dalam mangkuk besar, campurkan kesemua bahan yang ada, udang, crab stick, tomato, bawang, cili api, daun ketumbar dan adun bersama sebati dengan perencah meggi tomyam , gula, garam dan sos ikan. Gaul sebati.
3. Siap untuk hidangan dengan letakkan perahan jus limau nipis ke atas kerabu.

Itulah dia 10 pilihan resepi kerabu dari koleksi resepi yang ana sendiri pernah buat dan makan, bukan copy paste dari resepi orang lain naa... Semoga dapat memberi serba sedikit idea untuk kita sama-sama menyajikan menu makanan untuk keluarga sambil mengembalikan nostalgia makan di kampung halaman bersama keluarga yang di rindui sentiasa. 

14 Comments

  1. sedapnya makan kerabu...ratah saja pun boleh....

    ReplyDelete
    Replies
    1. kan naimy sedap kerabu2 ni selera kampung :)

      Delete
  2. Sedap sebab bahannya cuma digaul sebati. kalau sayur tu rangupnya masih terasa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu PC kalau kerabu kena ulam yang segar baru sedap kan :)

      Delete
  3. paling suka kerabu maggi je hehehe...

    ReplyDelete
  4. banyaknya jenis jenis kerabu...

    ReplyDelete
  5. adeeehhhh.... teringin kerabu perut air asam....yummy!

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum. wah,,, kerabu ni salah satu makanan yang mendapat sambutan dlm negara. SS suka kerabu perut. heheh...

    ReplyDelete
  7. Kerabu ulam raja tu memang menggamit memori. Teringat arwah opah selalu buat kerabu ulam raja tu tuk cucunya ni. Rindu opah

    ReplyDelete
  8. semua jenis kerabu sedap dimakan dgn nasi

    ReplyDelete
  9. Sedapnya semua kerabu tu.Kerabu perut je akak tak pernah makan lagi.

    ReplyDelete
  10. Sy paling suka kerabu perut campur tauge. Enaknya!

    ReplyDelete