Memang lama dah ana tercari-cari gambar dapur kayu api bakar bahulu zaman dahulu. Sekitar awal tahun 1980-an , masih tergambar jelas di ingatan memori ana bersama mak dan arwah mak saudara membuat persiapan raya dengan membakar kuih bahulu dan kuih bakar atau ada orang panggil kuih bangkit dengan teknik ini. Alhamdulillah.. terjumpa beberapa keping foto di Facebook, dapatlah ana kongsikannya semula disini buat tatapan kita bersama.

Subhanaallah... Betapa susahnya proses orang dahulu untuk menyediakan juadah kuih muih hari raya dalam keterbatasan peralatan yang ada. Namun kemeriahannya di pagi Syawal adalah terlalu indah untuk di kenang. Mungkin juga waktu itu, ana masih kanak-kanak riang, tiada apa yang hendak di fikirkan, yang di tunggu-tunggu sepanjang tahun adalah hari raya. 


kuih bahulu zaman dahulu


Rasanya dah beberapa kali ana terbitkan entri kisah raya tahun 1980-an ini, namun bila terjumpa sahaja foto-foto ini membuak rasa untuk mencoretkannya semula. Hari raya adalah hari yang paling gembira buat ana waktu itu. Pagi itulah nak pakai pakaian baharu, selalunya abah akan belikan 2 pasang, sepasang baju kurung dan sehelai lagi baju dress tak pun seluar dengan blause. Tak lupa juga sepasang kasut baharu. 

Sampailah ke alam remaja begitu lah rutinnya setiap tahun, cuma bila dah remaja dah pandai pilih ikut trend masa kini waktu itu. Bab duit raya bukanlah yang di cari sangat waktu itu, cukup dapat makan minum juadah yang sedap-sedap, berjumpa sanak saudara dan bermain bunga api dan pelita panjut di waktu malam. Itulah raya pada kami.

Kembali menyoroti nostalgia kuih bahulu, ingin ana kongsikan betapa azabnya nak menyiapkan kuih muih raya waktu itu. Bekalan elektrik tak ada di rumah, sehinggalah akhir tahun 1980-an baharulah dapat bekalan elektrik dari LLN ( Lembaga Letrik Negara ). Jadi bila dah tak ada letrik, maka tak adalah peralatan letrik. Mixer, oven, peti sejuk , dapur gas semua tak ada malahan tv pun guna kuasa bateri.



Namun semangat nak sambut raya dengan menyediakan juadah untuk tetamu yang bakal hadir tetap berkobar-kobar. Selalunya pertengahan Ramadan, arwah mak saudara ana, Wan Esah lah yang pakar dalam bab membuat bahulu dan kuih bakar ni. Dalam keterbatasan peralatan tu, paling tidak Wan akan buat 100 biji telur ayam untuk bahulu. 

Dah lah bulan puasa, proses memukul telur ayam hingga kembang secara manual di dalam pasu tembikar di pukul dengan spring hingga lah ke tengahari baru kembang seperti yang di ingini Wan. Tepung gandum yang nak di gunakan pula perlu di jemur di bawah matahari. Apa sebabnya Waallahu a'lam. Itu resepi arwah Wan. 

Bila dah siap adunan bahulu, mulalah proses pembakaran. Inilah rupa oven kami dahulu. Di dalam periuk yang besar , selalunya periuk yang dah lama, di dalamnya di isi pasir rata di permukaan periuk. Di bawahnya api dari kayu api, bukan api tapi bara sahaja. Dan di atas periuk di alaskan dengan kepingan tin roti yang di belah dua. Atas nya sekali lagi diletakkan pasir dan bara dari sabut kelapa. Masyaa Allah.. Ini lah oven orang dulu-dulu.


nostalgia kuih bahulu


Bayangkan dalam cuaca yang panas tanpa kipas angin, membakar kuih bahulu sehingga seratus biji dan berpuasa pula tu. Kuatkan jiwa dan semangat mereka yang terdahulu. Sekadar nak menjamu tetamu di pagi raya, bukan untuk jualan pun. 

Di dalam periuk itulah di letakkan acuan kuih bahulu. Sama ada bentuk buah ceremai, bentuk buah kana yang seperti dalam foto di atas atau pun bahulu bentuk ikan. Itulah pilihan yang ada waktu itu. Acuan bahulu di ikat dengan dawai supaya senang di angkat dan di letakkan bila masak bahulunya nanti. Kuis lah dengan sebatang kayu sebagai pengangkatnya. Sama juga nak angkat api atas periuk tu pun kami guna dua kayu api. Siap-siapkan tempat nak letak kepingan tin berbara tadi. 

Dah masak kuis dengan lidi keluarkan kuih bahulu. Kemudian sapukan minyak supaya tak melekat pada acuan dan tuangkan adunan ke dalam acuan. Sambung bakar hingga lah habis. Begitu juga proses buat kuih bakar. Dah hampir raya, gotong royong pula sediakan dodol dan pulut wajik. Kadang-kadang arwah mak saudara yang sulung, We Ijah akan buat agar-agar kering. Warna warni agarr-agar manis di jemur di bawah matahari hingga kering. 


Bahulu ikan ( kredit foto Azzu Bahulu ) 


Dah ada letrik dan oven baharulah kami merasa buat kuih biskut moden seperti semperit, biskut kacang, biskut kelapa dan juga kek. Allahu Akhbar... kenangan yang akan ana bawa hingga ke akhir hayat. Susahnya nak menyediakan kuih raya bukan alasan waktu itu, yang penting kami nak raya bersama seisi keluarga. Ada ketupat daun palas, lemang, rendang ayam dan daging juadah istimewa. 

Syukur Ya Allah atas pinjaman usia ini. Banyak yang dah ana lalui. Semuanya manis-manis kecuali bila kehilangan seorang demi seorang kaum keluarga tercinta. Tiada lagi arwah opah dan tok di kedua belah mak dan abah. Begitu juga mak dan pak saudara , hanya rindu yang hadir bila terkenang semula. Inilah janji Tuhan, tiada yang kekal dan abadi melainkan Dia.


bahulu cermai
Bahulu cermai ( kredit foto Resepi Kehidupanku ) 


Tahun ini belum pasti, apakah kali keduanya untuk kami raikan raya tanpa dapat pulang ke pangkuan mak dan abah serta saudara tercinta. Tahun lalu, Aidil Fitri penuh airmata dan sepi ,tahun ini masih menaruh harapan walaupun tipis. Doa tetap doa, berserah pada Mu jua... Apalah erti Aidil Fitri buat kami anak rantau tanpa kembali ke kampung halaman. Orang boleh berkata apa sahaja tetapi hati tidak mungkin dapat di bohongi... 


Terima kasih buat pemilik foto kerana sudi berkongsi kenangan terindah zaman dahulu..

8 Comments

  1. Ada beza rasa bahulu dulu dengan bahulu sekarang. Teringat kecik-kecik dulu suka celup bahulu dalam minuman kopi!

    ReplyDelete
    Replies
    1. ada beza jua amie mungkin sebab teknik bakar tu yang lain kan :)

      Delete
  2. Ya Allah nostalgia nya Kak Ana! Sama macam cerita zaman kanak-kanak sy dulu. Paling best time cungkil bahulu dgn lidi tu. Dapat bau aroma bahulu baru diangkat tu rasa nikmat sungguh. Maklumlah bila menjelang raya baru dapat makan kuih-muih sebegini. Arwah mak dulu guna telur itik utk buat bahulu ni...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Allahu.. betul PH seronok dapat cungkil dari acuan kan, tapi kadang2 ada yang melekat juga, betul guna telur itik lagi cantik dan gebu kejadian bahulu nya :)

      Delete
  3. nak buat kuih bahulu dulu2 mmg panas berpeluh alang2 rajin xkan menjadi

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu kak PI penuh kegigihan dan kesabaran

      Delete